Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #130: HUKUM MENGUCAPKAN 'R.I.P' KEPADA ORANG BUKAN ISLAM

Template Header Al Afkar page 001 4

 

Soalan

Assalamualaikum wrt. wbt. Isu berkenaan ucapan Rest in Peace oleh umat Islam terhadap orang bukan Islam ini kembali diperdebatkan warga internet susulan kematian Ratu British baru-baru ini. Mohon pencerahan Datuk Mufti tentang pandangan sebenar Islam terhadap isu ini supaya ia tidak lagi menjadi polemik tak berkesudahan. 

Ringkasan Jawapan

Seseorang muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas. Ucapan “R.I.P” atau “Rest in Peace” merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya. Namun Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam. Wallahua’lam.

Huraian

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, keluarga Baginda, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari akhirat kelak. 

Dalam persoalan yang diberikan di atas, memberi doa keamanan dan ketenangan buat orang bukan Islam yang meninggal dunia adalah dilarang menurut nas. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT:

مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن يَسْتَغْفِرُوا۟ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوٓا۟ أُو۟لِى قُرْبَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

Surah al-Taubah (113)

Menurut Syeikh Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya, para nabi dan orang-orang beriman tidak boleh turut serta dalam urusan memohon keampunan Allah SWT bagi orang-orang yang syirik. Ini kerana konsep keimanan islam dan kenabian tidak menerima pengampunan orang yang mati dalam keadaan syirik, maka tidak perlu memohon keampunan untuk mereka. Perkara ini termaktub seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 116, yang mengatakan bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa golongan yang syirik.[1]

[Lihat: Tafsir al-Munir, 11/60]

Syeikh Ahmad al-Sawi pula mengatakan umat Islam tidak boleh berdoa untuk memohon keampunan bagi orang bukan Islam yang mati dalam keadaan kafir/syirik. Ada pun doa kepada orang bukan Islam yang masih hidup, maka ada perbahasan yang perlu diteliti. Jika tujuan doa tersebut untuk mendoakan agar beliau dikurniakan hidayah Islam atau kebaikan dunia maka ia dibolehkan. Tetapi jika doanya untuk memohon keampunan bagi dosa beliau ketika hidupnya memang dalam keadaan kafir maka tidak diterima doa tersebut.[2]

[Lihat: Hasyiyah al-Sawi, 2/159]

Para ulama fiqh bersepakat bahawa perbuatan memohon keampunan bagi orang yang mati dalam keadaan bukan islam atau kafir adalah dilarang. Bahkan ada pendapat yang lebih keras mengatakan individu yang memohon keampunan bagi orang kafir juga turut dihukum kafir. Ini kerana ia berlawanan dengan nas yang jelas bahawa Allah SWT tidak akan mengampunkan sesiapa yang berlaku syirik kepada-Nya, ditambah lagi dengan nas bahawa sesiapa yang mati dalam keadaan kafir maka dia akan menjadi ahli neraka.[3]

Ada pun bagi orang Islam yang mendoakan orang kafir agar diberi hidayah maka tidak mengapa. Perkara ini dipersetujui oleh ulama mazhab Hanafi dan diizinkan untuk mendoakan hidayah menurut mazhab Hanbali. Sebahagian daripada ulama juga menzahirkan untuk berdoa memohon keampunan kepada bayi dan anak-anak orang kafir, kerana itu termasuk daripada undang-undang di akhirat kelak.[4]

[Lihat: Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 4/43]

Dibenarkan Ucapan Takziah Kepada Orang Bukan Islam

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, maka jelas kepada kita bahawa mendoakan orang bukan islam yang mati dalam keadaan syirik adalah tidak wajar dan perlu dielakkan. Namun begitu dalam kehidupan yang penuh dengan suasana manusia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, apakah ucapan terbaik untuk diucapkan ketika adanya kematian? 

Islam membenarkan penganutnya untuk mengucapkan ucapan takziah kepada ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan yang kematian orang terdekat tanpa mengira agama dan bangsa. Bahkan hukum mengucapkan takziah adalah sunnah. Syeikh al-Mawardi menukilkan kata-kata Imam al-Syafie dalam kitabnya berkenaan ucapan takziah bagi orang Islam yang ibu bapanya meninggal dalam keadaan bukan Islam:

أعظم الله أجرك وأخلف عليك

Maksudnya: “Semoga Allah menambahkan ganjaran kepada kamu dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik”.[5]

Manakala ucapan untuk orang yang bukan Islam pula seperti berikut:

أخلف الله عليك ولا نقص عددك

Maksudnya: “Semoga Allah menggantikan yang lebih baik bagi kamu, dan semoga bilangan kamu (semua) tidak berkurang”.[6]

Maka apa sahaja ucapan takziah yang sesuai dan baik adalah dibolehkan kepada orang bukan Islam selagi mana dia tidak memusuhi agama Islam. Ini membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang harmoni dan fleksibel dalam urusan keduniaan terhadap semua golongan tanpa mengira agama.

Kesimpulan

Kesimpulannya, seseorang muslim tidak boleh berdoa memohon keampunan bagi orang bukan Islam kerana itu termaktub di dalam nas yang jelas. Ucapan “R.I.P” atau “Rest in Peace” merupakan doa yang dibacakan oleh orang bukan Islam, maka umat Islam dilarang daripada mengucapkannya. Namun Islam sangat menghormati kematian manusia di mana sunnah bagi orang Muslim untuk mengucapkan takziah dan ucapan-ucapan yang baik kepada orang bukan Islam. 

Wallahua’lam.

 

[1] Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, (Beirut: 1991), Cetakan Darul Fikr al-Maa’sir,

ما ينبغي للنبي والمؤمنين، وليس من شأنهم أن يستغفروا أو يدعو الله بالمغفرة للمشركين، أو معناه ليس لهم ذلك على معنى النهي (١)؛ لأن النبوة والإيمان مانعان من الاستغفار للمشركين، ولا تستغفروا، والمعنيان متقاربان، وسبب المنع قوله تعالى: {مِنْ بَعْدِ ما تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحابُ الْجَحِيمِ} [التوبة ١١٣/ ٩] وقوله تعالى: {إِنَّ اللهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ، وَيَغْفِرُ ما دُونَ ذلِكَ لِمَنْ يَشاءُ} [النساء ١١٦/ ٤]

[2] Ahmad bin Muhammad al-Sawi, Hasyiyah al-Sawi ala Tafsir al-Jalalayn, (Beirut), Cetakan Dar al-Jiil،

(ماكان للنّبيّ والذين امنوا ان يستغفروا للمشركين ولو كانوا اولى قربى) ذوى قرابة (من بعد ما تبين لهم انهم اصحاب الجحيم) النار بأن ماتوا على الكفر . (قوله ماكان للنّبيّ) اى لاينبغى ولا يصح (قوله بأن ماتوا على الكفر) اى فلا يجوز لهم الاستغفار حينئذ. واما الاستغفار للكافر الحيّ ففيه تفصيل ان كان قصده بذلك الاستغفار هدايته للاسلام جاز، وان كان قصده ان تغفر ذنوبه مع بقائه على الكفر فلا يجوز

[3] Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait), Cetakan Darul Salasil

اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الاِسْتِغْفَارَ لِلْكَافِرِ مَحْظُورٌ، بَل بَالَغَ بَعْضُهُمْ فَقَال: إِنَّ الاِسْتِغْفَارَ لِلْكَافِرِ يَقْتَضِي كُفْرَ مَنْ فَعَلَهُ، لأَِنَّ فِيهِ تَكْذِيبًا لِلنُّصُوصِ الْوَارِدَةِ الَّتِي تَدُل عَلَى أَنَّ اللَّهَ تَعَالَى لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ، وَأَنَّ مَنْ مَاتَ عَلَى كُفْرِهِ فَهُوَ مِنْ أَهْل النَّارِ

[4] Ibid,

وَأَمَّا مَنِ اسْتَغْفَرَ لِلْكَافِرِ الْحَيِّ رَجَاءَ أَنْ يُؤْمِنَ فَيُغْفَرَ لَهُ، فَقَدْ صَرَّحَ الْحَنَفِيَّةُ بِإِجَازَةِ ذَلِكَ، وَجَوَّزَ الْحَنَابِلَةُ الدُّعَاءَ بِالْهِدَايَةِ، وَلاَ يُسْتَبْعَدُ ذَلِكَ مِنْ غَيْرِهِمْ، كَذَلِكَ اسْتَظْهَرَ بَعْضُهُمْ جَوَازَ الدُّعَاءِ لأَِطْفَال الْكُفَّارِ بِالْمَغْفِرَةِ، لأَِنَّ هَذَا مِنْ أَحْكَامِ الآْخِرَةِ

[5] Al-Mawardi, Al-Hawi al-Kabir, (Beirut: 1999), Cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah,

قال الشافعي رضي الله عنه: " وَأُحِبُّ تَعْزِيَةَ أَهْلِ الْمَيِّتِ رَجَاءَ الْأَجْرِ بِتَعْزِيَتِهِمْ وَأَنْ يُخَصَّ بِهَا خِيَارُهُمْ وَضُعَفَاؤُهُمْ عَنِ احْتِمَالِ مصيبتهم ويعزى المسلم بموت أبيه النصراني فيقول " أعظم الله أجرك وأخلف عليك 

[6] Ibid,

" ويقول في تعزية النصراني لقرابته " أخلف الله عليك ولا نقص عددك