SOALAN:
Bolehkah kita menerima dan mengambil manfaat daripada kebenaran kata-kata daripada seorang yang jahat, atau daripada orang kafir?
RINGKASAN JAWAPAN
Islam mengajar umatnya untuk berlaku adil kepada setiap orang tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang mereka dalam setiap urusan. Prinsip ini ditegaskan melalui pelbagai ayat al-Quran dan al-Hadith yang menyuruh kita memelihara hak orang lain, berlaku adil, mengiktiraf kebenaran daripada siapa sahaja yang mengucapkannya dan memperakui pandangan yang terkandung dalamnya ciri kebenaran. Sikap ini diamalkan oleh para ulama Islam hatta ketika membahaskan aliran-aliran yang menyeleweng daripada manhaj Islam yang sebenar.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Islam menyeru umatnya untuk berlaku adil dalam setiap perkara, kepada setiap golongan. Firman Allah SWT:
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآَنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى
Maksudnya: “...dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum mendorongmu untuk bersikap tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat dengan taqwa.”
Surah al-Ma’idah (8)
Allah SWT juga berfirman:
وَلَا تَبْخَسُوا النَّاسَ أَشْيَاءَهُمْ
Maksudnya: “...dan janganlah kamu mengurangkan hak orang lain...”
Surah Hud (85)
Begitu juga dengan firman Allah SWT:
قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Maksudnya: Ratu itu berkata: “Sesungguhnya menjadi adat raja-raja apabila mereka menakluki sesebuah negeri, mereka akan memusnahkannya dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hamba yang hina, dan begitulah selalunya mereka lakukan.
Surah al-Naml (34)
Menurut Imam Ibn al-Jauzi, salah satu tafsiran menyebut bahawa frasa وَكَذلِكَ يَفْعَلُونَ (dan begitulah selalunya mereka lakukan) merupakan ikrar daripada Allah SWT sendiri tentang kebenaran kata-kata ratu tersebut. Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti turut bersetuju dengan pandangan ini.[1]
Begitu juga kita dapati prinsip yang sama dalam hadis-hadis Nabawi. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
وَكَّلَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم بِحِفْظِ زَكَاةِ رَمَضَانَ، فَأَتَانِي آتٍ، فَجَعَلَ يَحْثُو مِنَ الطَّعَامِ، فَأَخَذْتُهُ فَقُلْتُ: لأَرْفَعَنَّكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم. فَقَصَّ الْحَدِيثَ، فَقَالَ: إِذَا أَوَيْتَ إِلَى فِرَاشِكَ فَاقْرَأْ آيَةَ الْكُرْسِيِّ لَنْ يَزَالَ عَلَيْكَ مِنَ اللَّهِ حَافِظٌ، وَلاَ يَقْرَبُكَ شَيْطَانٌ حَتَّى تُصْبِحَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم: صَدَقَكَ وَهْوَ كَذُوبٌ، ذَاكَ شَيْطَانٌ.
Maksudnya: Rasulullah ﷺ mewakilkan aku untuk menjaga kutipan zakat fitrah, lalu datang seseorang kepadaku dan mula mencuri daripada hasil kutipan zakat tersebut. Aku menangkapnya, lalu aku berkata: “Aku akan hadapkan kamu kepada Rasulullah ﷺ. Lalu Abu Hurairah menceritakan kisah penuhnya (yang terdapat dalam hadis Sahih al-Bukhari dalam riwayat yang lain) lalu lelaki itu berkata (untuk memujuk supaya tidak dihadapkan kepada Rasulullah): “Apabila engkau hendak tidur, bacalah ayat al-Kursi, nescaya Allah akan mengutuskan penjaga yang akan menjaga engkau sepanjang malam, dan syaitan tidak akan mampu mendekati engkau hinggalah pagi menjelma.” Maka Rasulullah ﷺ bersabda: “Dia berkata benar, meskipun dia itu pendusta besar; dia ialah syaitan.”
Sahih al-Bukhari (2311)
Dalam karya al-Majmu’ah al-‘Aqdiyah yang dihimpun oleh sekumpulan penyelidik di bawah seliaan al-Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Saqqaf, terdapat beberapa kaedah penting yang digariskan dalam menyanggah dan menangkis hujah golongan sesat, salah satunya ialah:
الحَقُّ يُقْبَلُ مِنْ أَيِّ جِهَةٍ جَاءَ
Maksudnya: Kebenaran itu diterima walau dari mana ia datang.[2]
Kaedah dan prinsip ini menuntut sikap adil dan keterbukaan dalam menilai secara objektif segala hujah atau pandangan yang ada, meskipun ia dituturkan oleh musuh, lawan dan golongan sesat mahupun orang-orang kafir. Karya tersebut turut memberi contoh bahawa prinsip yang sama turut dipegang dan diamalkan oleh para ulama yang terzahir melalui penulisan-penulisan mereka, antaranya ialah Imam Ibn Taimiyyah yang menegaskan:
الْحَقّ يُقْبَلُ مِنْ كُلِّ مَنْ تَكَلَّمَ بِهِ
Maksudnya: Kebenaran itu diterima daripada siapa jua yang mengucapkannya.[3]
Beliau turut menulis di tempat yang lain:
فَلَا يَجُوزُ لَنَا إِذَا قَالَ يَهُودِيٌّ أَوْ نَصْرَانِيٌّ - فَضْلًا عَنِ الرَّافِضِيِّ - قَوْلًا فِيهِ حَقٌّ أَنْ نَتْرُكَهُ أَوْ نَرُدَّهُ كُلَّهُ، بَلْ لَا نَرُدُّ إِلَّا مَا فِيهِ مِنَ الْبَاطِلِ دُونَ مَا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ
Maksudnya: Apabila seorang Yahudi atau Nasrani, lebih-lebih lagi seorang yang berfahaman Syiah Rafidah mengucapkan suatu perkara yang mengandungi kebenaran, maka kita tidak boleh menolak, meninggalkan atau menolak secara keseluruhannya.[4]
Hal yang sama turut dipraktikkan oleh al-Hafiz al-Zahabi ketika memerihalkan biografi Aban bin Taghlib al-Kufi, kata beliau:
شِيْعِيٌّ جَلْد، لَكِنَّهُ صَدُوق؛ فَلَنا صِدْقُهُ، وَعَلَيهِ بِدْعَتُهُ
Maksudnya: “Aban ialah seorang Syiah totok, namun dia seorang saduq (berkata benar), maka kita mengambil manfaat daripada sikapnya yang berkata benar, namun dia sendiri yang menanggung dosa bidaahnya.”[5]
Kesimpulan
Islam menegaskan prinsip berlaku adil dalam setiap perkara dan kepada setiap golongan. Hal ini ditegaskan oleh banyak ayat al-Quran dan Hadith Rasulullah ﷺ, selain praktik yang diamalkan oleh para ulama.
Kebenaran yang diucapkan atau dilakukan oleh sesiapa sahaja perlu diiktiraf, hatta daripada orang bukan Islam, mahupun golongan yang menyeleweng. Pandangan atau perbuatan yang bercampur antara kebenaran dan kebatilan pula tidak ditolak secara pukal, bahkan ciri yang benar itu mesti diperakui kebenarannya, manakala ciri kebatilan itu sahaja yang ditolak.
Wallahu A'lam.
Rujukan:
[1] Rujuk Ibn al-Jauzi, Abu al-Farj (1422H), Zad al-Masir fi ‘Ilm al-Tafsir, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Arabi, cetakan pertama, tahqiq: ‘Abd al-Razzaq al-Mahdi, 3/361; Al-Syinqiti, Muhammad al-Amin (t.t) Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Quran bi al-Quran, Dar ‘Alam al-Fawa’id, 1/8
[2] Rujuk pautan: dorar.net/aqadia/190/القاعدة-الرابعة:-الحق-يقبل-من-أي-جهة-جاء (Diakses pada: 7 September 2021)
[3] Rujuk Ibn Taimiyyah, Taqiyuddin Abu al-‘Abbas (1995) Majmu’ al-Fatawa, Majma’ al-Malik Fahd, tahqiq: ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Qasim, 5/101.
[4] Rujuk Ibn Taimiyyah, Taqiyuddin Abu al-‘Abbas (1986) Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi’ah al-Qadariyyah, Jami’ah al-Imam Muhammad bin Sa’ud, cetakan pertama, 2/342
[5] Rujuk al-Zahabi, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad (1963), Mizan al-I’tidal fi Naqd al-Rijal, Beirut: Dar al-Ma’rifah, tahqiq: Ali Muhammad al-Bijawi, cetakan pertama, 1/5.