Pendahuluan
Nabi Isa al-Masih AS merupakan figura agama yang penting terutama dalam Islam, Kristian dan Yahudi. Namun begitu, agama Islam, Kristian dan Yahudi memiliki pemahaman yang berbeza tentang Nabi Isa al-Masih AS. Perbezaan yang demikian memberi implikasi yang besar dari aspek akidah terhadap Nabi Isa al-Masih AS. Oleh itu, terdapat banyak perbahasan Nabi Isa al-Masih AS dalam al-Quran, antaranya termasuklah seperti berikut:
Gelaran al-Masih dan Mukjizat Nabi Isa AS
Kalimah al-Masih disebut beberapa kali dalam al-Quran, bahkan terdapat perbincangan dalam kalangan ulama ketika mentafsirkan maksud serta sandaran kalimah ini kepada Nabi Isa AS. Hal ini dibincangkan melalui ayat suci al-Quran:
إِذۡ قَالَتِ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ يَٰمَرۡيَمُ إِنَّ ٱللَّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍۢ مِّنۡهُ ٱسۡمُهُ ٱلۡمَسِيحُ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ وَجِيهًا فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمِنَ ٱلۡمُقَرَّبِينَ
Maksudnya: “(Ingatlah) ketika malaikat berkata: Wahai Mariam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakan, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Mariam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat dan dia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).”
(Surah ali ‘Imran: 45)
Dalam ayat “nama anak itu adalah Al-Masih, Isa Ibni Maryam,” Ibn Kathir mentafsirkan maksud nama tersebut merupakan nama yang masyhur di dunia dan dikenali dalam kalangan orang beriman. Dinamakan sebagai al-Masih juga menurut sebahagian ulama salaf kerana Nabi Isa AS banyak melakukan perjalanan. Begitu juga terdapat pendapat lain bahawa kerana disebabkan Baginda AS mempunyai tapak kaki yang rata tidak berlekuk.[1] Al-Razi turut menukilkan banyak perbincangan berkenaan kalimah ini, antaranya termasuklah pendapat daripada al-Nakha’i bahawa maksud al-masih adalah kebenaran.[2]
Selain itu, menurut Ibn Manzur bahawa maksud kalimah al-Masih yang disandarkan kepada Nabi Isa AS disebabkan kerana Baginda AS banyak mengembara di atas muka bumi dan tidak menetap pada satu tempat. Dikatakan juga gelaran al-Masih kepada Nabi Isa AS kerana Baginda AS mengusap dengan tangannya ke atas orang yang sakit, orang yang buta sejak lahir, orang yang menderita sakit kusta. Kemudian, mereka yang diusap itu sembuh dengan izin Allah SWT.[3] Oleh itu, jelas bahawa nabi Isa AS digelar sebagai al-Masih kerana keistimewaan mukjizat-mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda AS.
Penganut Kristian menganggap Nabi Isa al-Masih AS adalah Anak Allah SWT
Penganut Kristian berpegang bahawa Nabi Isa al-Masih AS adalah sinonim dengan panggilan Jesus Christ yang digelar sebagai Son of God/God the Son. Perkara ini merupakan salah satu elemen kepercayaan Trinity dalam agama Kristian. Penggunaan istilah Anak Allah SWT ini telah digunakan oleh penganut Kristian sepertimana yang dinukilkan dalam al-Quran:
وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَى ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ ٱللَّهِ
Maksudnya: “Orang Nasrani berkata: Al-Masih ialah anak Allah”
Surah at-Taubah (30)
Dalam tafsiran ayat di atas oleh al-Syawkani, penganut kristian memanggil gelaran sedemikian ketika mana mereka melihat Nabi Isa al-Masih AS menghidupkan orang yang telah mati serta peristiwa kelahiran Baginda AS tanpa bapa.[4]
Menurut Wahbah al-Zuhayli, penggunaan awal kepada istilah Anak Allah adalah sebagai kiasan yang menunjukkan penghormatan kepada kemuliaan Nabi Isa al-Masih AS di sisi Allah SWT. Lalu, penganut Kristian kemudiannya terpengaruh dengan fahaman Hinduism yang mentakrifkan pengertian sebenar bahawa Anak Tuhan merupakan Tuhan dan Roh Kudus.[5]
Selanjutnya, perihal ini dicatatkan dalam pembukuan Injil selepas kewafatan Nabi Isa al-Masih AS sepanjang tempoh satu hingga tiga abad. Sementera itu, pembukuan injil tersebut dipengaruhi dengan fahaman paganisme golongan Rom selepas Injil asal yang diwahyukan kepada Nabi Isa al-Masih AS telah hilang.[6]
Nabi Isa al-Masih AS sebagai Utusan Allah SWT Dalam Pandangan Islam
Adapun begitu, Nabi Isa al-Masih AS bukanlah dianggap sebagai anak Allah SWT, tetapi Nabi Isa AS merupakan sebahagian nabi dan rasul yang wajib diimani oleh setiap umat Islam yang mukalaf. Kerasulan Nabi Isa al-Masih AS telah diiktiraf melalui perintah Allah SWT terhadap kaum Yahudi dan Nasrani supaya mengikut ajaran Baginda AS. Perintah ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam Firman-Nya:
يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لَا تَغۡلُواْ فِي دِينِكُمۡ وَلَا تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡحَقَّۚ إِنَّمَا ٱلۡمَسِيحُ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ رَسُولُ ٱللَّهِ وَكَلِمَتُهُۥٓ أَلۡقَىٰهَآ إِلَىٰ مَرۡيَمَ وَرُوحٌ مِّنۡهُۖ فََٔامِنُواْ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦۖ وَلَا تَقُولُواْ ثَلَٰثَةٌۚ ٱنتَهُواْ خَيْرًا لَّكُمْ إِنَّمَا ٱللَّهُ إِلَٰهٌ وَٰحِدٌ سُبۡحَٰنَهُۥٓ أَن يَكُونَ لَهُۥ وَلَدٌ ۘ لَّهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا
Maksudnya: “Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa Ibni Mariam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Mariam dan (dia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan janganlah kamu mengatakan: (Tuhan itu) tiga. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).”
Surah al-Nisa’ (171)
Al-Tabari mentafsirkan ayat “janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar” bahawa apabila kalian menyatakan bahawa Nabi Isa itu anak Tuhan, maka kenyataan itu adalah tidak benar terhadap Allah SWT yang tidak mempunyai anak. Allah SWT menggelarkan Nabi Isa al-Masih AS sebagai seorang rasul yang sebenarnya dalam kalangan ciptaan-Nya.[7]
Perintah untuk berkata yang hak terhadap Allah SWT merangkumi sifat, perbuatan, syariat serta Rasul-Nya. Dalam konteks perutusan Nabi Isa al-Masih AS, telah ditetapkan kebenaran tentangnya yang jelas bertentangan menurut kaca mata penganut Yahudi dan Kristian.[8] Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa kerasulan Nabi Isa al-Masih AS jelas diperakui oleh Allah SWT sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran.
Nabi Isa al-Masih AS diselamatkan oleh Allah SWT daripada disalib
Nabi Isa al-Masih AS juga diselamatkan oleh Allah SWT dengan diangkat ke langit. Hal ini berbeza daripada pegangan penganut Kristian yang mendakwa Nabi Isa al-Masih AS sebagai Jesus Christ yang disalib oleh kaumnya. Allah SWT berfirman:
وَقَوۡلِهِمۡ إِنَّا قَتَلۡنَا ٱلۡمَسِيحَ عِيسَى ٱبۡنَ مَرۡيَمَ رَسُولَ ٱللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَٰكِن شُبِّهَ لَهُمۡۚ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِّنۡهُۚ مَا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمٍ إِلَّا ٱتِّبَاعَ ٱلظَّنِّۚ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينَۢا
Maksudnya: “Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Mariam, Rasul Allah. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa) dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.”
Surah al-Nisa’ (157)
Menurut al-Tabari, ayat di atas menjelaskan tentang sanggahan Allah SWT terhadap dakwaan orang Yahudi yang menyalib Nabi Isa al-Masih AS. Sebaliknya mereka menyalib orang yang menyerupai Baginda AS.[9] Umat Islam bersepakat berdasarkan hadis mutawatir bahawa Nabi Isa AS berada di langit dalam keadaan masih hidup. Baginda AS akan turun di akhir zaman untuk membunuh babi, mematahkan salib, membunuh Dajjal, memenuhi bumi dengan keadilan, menegakkan agama Nabi Muhammad SAW. Baginda AS juga menunaikan haji dan umrah ke Baitullah serta tinggal di muka bumi selama 24 tahun. Dikatakan juga Beliau AS tinggal selama 40 tahun. Kemudian, wafat mengadap Allah SWT.[10]
Kesimpulan
- Gelaran al-Masih disandarkan kepada Nabi Isa AS kerana mengandungi makna yang mulia dan suci khususnya dari sudut keimanan Baginda AS terhadap syariat Allah SWT.
- Nabi Isa al-Masih AS menurut al-Quran bukanlah dianggap sebagai Jesus Christ sebagaimana kepercayaan penganut Kristian.
- Nabi Isa al-Masih AS disebut dalam al-Quran dan diperakui sebagai utusan Allah SWT yang wajib diimani oleh setiap umat Islam yang mukalaf.
- Nabi Isa al-Masih AS bukanlah disalib, tetapi diselamatkan oleh Allah SWT dan akan muncul di akhir zaman. Oleh yang demikian, perbahasan al-Quran menunjukkan bahawa Nabi Isa al-Masih AS tidak sewajarnya disandarkan kepada Jesus Christ.
Wallahu A'lam.
Rujukan:
[1] Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail bin ‘Umar, Tafsir al-Quran al-’Azim. (Dar al-Tayyibah, 1999) J2, hlm 43.
اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ} أَيْ يَكُونُ مَشْهُورًا بِهَذَا فِي الدُّنْيَا، يَعْرِفُهُ الْمُؤْمِنُونَ بِذَلِكَ .وَسُمِّيَ الْمَسِيحُ، قَالَ بَعْضُ السَّلَفِ: لِكَثْرَةِ سِيَاحَتِهِ. وَقِيلَ: لِأَنَّهُ كَانَ مَسِيحَ (1) الْقَدَمَيْنِ: [أَيْ] (2) لَا أخْمَص لَهُمَا
[2] Al-Razi, Abu Abdullah Muhammad bin Umar. Mafatih al-Ghaib/ al-Tafsir al-Kabir. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, ed 3 1420H) J8 hlm 223.
وَقَالَ النَّخَعِيُّ: الْمَسِيحُ الصِّدِّيقُ وَاللَّهُ أَعْلَمُ
[3] Ibn Manzur. Lisan al-‘Arab. (Beirut: Dar Sadiq, ed.3, 1414 H),2: 594. Teks asal:
قِيلَ: سُمِّيَ بِذَلِكَ لِصِدْقِهِ، وَقِيلَ: سُمِّيَ بِهِ لأَنه كَانَ سَائِحًا فِي الأَرض لَا يَسْتَقِرُّ، وَقِيلَ: سُمِّيَ بِذَلِكَ لأَنه كَانَ يَمْسَحُ بِيَدِهِ عَلَى الْعَلِيلِ والأَكمه والأَبرص فَيُبْرِئُهُ بإِذن اللَّهِ
[4] al-Syawkani, Muhammad bin Ali bin Muhammad. Fath al-Qadir. (Damsyik: Dar Ibn Kathir, ed 1, 1414H) J2 hlm 402.
قَالُوا هَذَا لَمَّا رَأَوْا مِنْ إِحْيَائِهِ الْمَوْتَى مَعَ كَوْنِهِ مِنْ غَيْرِ أَبٍ، فَكَانَ ذَلِكَ سَبَبًا لِهَذِهِ الْمَقَالَةِ
[5] Wahbah al-Zuḥaylī, al-Tafsīr al-Munīrfī al-‘Aqīdah wa al-Sharī‘ah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dār al-Fikr, 1991), 10: 182. Teks asal:
وكان قدماؤهم يريدون بالنبوّة معنى مجازيا لا حقيقيا، يعنون به أنه المحبوب المكرّم عند الله، ثم تأثروا بوثنية الهنود، فصاروا يعنون بالبنوّة معنى حقيقيا، وأن ابن الله هو الله، وهو روح القدس، إذ اندمجت هذه الأقانيم الثلاثة وصارت واحدا حقيقة، وكان أول من أعلن ذلك مجمع نيقية ٣٢٥ م أي بعد المسيح بثلاثة قرون، وصارت كلمة (الثّالوث) وهي الأب والابن وروح القدس تطلق على هذه الأقانيم الثّلاثة، التي حلّت في اللاّهوت.
[6] Wahbah al-Zuḥaylī, al-Tafsīr al-Munīrfī al-‘Aqīdah wa al-Sharī‘ah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dār al-Fikr, 1991), 10: 182. Teks asal:
وكتبت الأناجيل بعد المسيح عليه السّلام في مدّة تتراوح بين قرن وثلاثة قرون، وقد تأثّرت بوثنية الرّومان، بعد أن فقد الإنجيل الأصلي الذي نزل على عيسى عليه السّلام
[7] Al-Tabari, Abu Jaafar al-Tabari, Jami’ al-Bayan Fi Ta’wil al-Quran ( Muasassah al-Risalah, 2000) 9/415
لا تقولوا في عيسى غير الحق، فإن قيلكم في عيسى إنه ابن الله، قول منكم على الله غير الحق. لأن الله لم يتخذ ولدًا فيكون عيسى أو غيره من خلقه له ابنًا="ولا تقولوا على الله إلا الحق". ثم نعته الله جل ثناؤه بنعته ووصفه بصفته فقال: هو رسول الله أرسله الله بالحق إلى من أرسله إليه من خلقه.
[8] Al-Sa’di. Abd Rahman. Taisir al-Karim al-Rahman Fi Tafsir Kalam al-Manan ( Muasassah al-Risalah, 2000), 216. Teks asal:
.وَلا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلا الْحَقَّ} وهذا الكلام يتضمن ثلاثة أشياء:أمرين منهي عنهما، وهما قول الكذب على الله، والقول بلا علم في أسمائه وصفاته وأفعاله وشرعه ورسله، والثالث: مأمور به وهو قول الحق في هذه الأمور.ولما كانت هذه قاعدة عامة كلية، وكان السياق في شأن عيسى عليه السلام نصَّ على قول الحق فيه، المخالف لطريقة اليهودية والنصرانية
[9] Muhammad Ibn Jarir Ibn Yazid Al-Tabari, Jami’ al-Bayan Fi Ta’wil al-Quran (Beirut: Muassasah al-Risalah), 9: 367.
قال أبو جعفر: يعني بذلك جل ثناؤه: وبقولهم إنا قتلنا المسيح عيسى ابن مريم رسول الله. ثم كذبهم الله في قيلهم، فقال:"وما قتلوه وما صلبوه ولكن شبه لهم"، يعني: وما قتلوا عيسى وما صلبوه ولكن شبه لهم.
[10] Ibn ‘Atiyyah al-Andalusi, al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir alKitab al-‘Aziz, (Beirut: Dar al-Kutub al-
‘Ilmiyah), 1: 444. Teks asal:
وأجمعت الأمة على ما تضمنه الحديث المتواتر من أن عيسى عليه السلام في السماء حي، وأنه ينزل في آخر الزمان فيقتل الخنزير ويكسر الصليب ويقتل الدجال ويفيض العدل ويظهر هذه الملة ملة محمد ويحج البيت ويعتمر، ويبقى في الأرض أربعا وعشرين سنة، وقيل أربعين سنة، ثم يميته الله تعالى.