SOALAN:
Saya terbaca di internet dalam satu posting di Facebook menunjukkan Imam al-Ghazali menyatakan bahawa perbuatan manusia adalah terhasil daripada dua kudrat iaitu kudrat Allah SWT dan kudrat manusia. Memandangkan Imam al-Ghazali merupakan tokoh yang terkenal dalam masyarakat Melayu, jadi saya mohon pandangan dari Pejabat Mufti mengenai isu ini. Adakah benar pandangan ini selari dengan Ahli Sunnah Waljamaah? Terima kasih”
RINGKASAN JAWAPAN:
Perbincangan mengenai perbuatan manusia (af’al al-‘ibad) merupakan topik dalam ilmu akidah yang membahaskan nas-nas syarak yang secara zahir menunjukkan bahawa Allah SWT mencipta segala perbuatan dan nas-nas syarak lain yang secara zahir menunjukkan bahawa manusia berkemampuan untuk melakukan perbuatan dengan kehendak mereka sendiri. Mazhab al-Asha’irah yang merupakan pandangan yang dipegang oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat bahawa segala perbuatan manusia adalah merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dan Allah SWT juga memberikan pilihan kepada manusia untuk memilih sendiri perbuatan yang dikehendakinya untuk dilakukan. Perkara inilah yang dikenali sebagai istilah “kasb”. Terdapat beberapa petikan daripada karya-karya Imam al-Ghazali berkaitan permasalahan perbuatan manusia telah dikenal pasti. Antaranya termasuklah kenyataan beliau dalam kitab Qawa’id al-‘Aqaid, kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad, kitab al-Maqasid al-Asna dan kitab al-Arba’in fi Usul al-Din. Oleh itu, pegangan Imam al-Ghazali berkenaan perbuatan manusia merupakan ciptaan Allah SWT dengan kuasa dan keupayaan-Nya. Perbuatan tersebut dilakukan oleh manusia mengikut pilihannya sendiri yang dikenali sebagai istilah "al-kasb" sepertimana pegangan akidah menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
HURAIAN JAWAPAN:
Perbincangan mengenai perbuatan manusia (af’al al-‘ibad) merupakan antara topik utama yang dibincangkan di dalam ilmu akidah Ahli Sunnah Waljamaah. Perbahasan mengenai isu ini bertitik tolak daripada usaha para ulama dalam berinteraksi dengan nas-nas syarak yang secara zahir menunjukkan bahawa Allah SWT mencipta segala perbuatan[1] dan nas-nas syarak lain yang secara zahir menunjukkan bahawa manusia berkemampuan untuk melakukan perbuatan dengan kehendak mereka sendiri.[2]
Pandangan-pandangan ulama Ahli Sunnah Waljamaah berkaitan perbuatan manusia (af’al al-‘ibad)
Secara umumnya, perbezaan pandangan ulama Ahli Sunnah Waljamaah berkaitan isu perbuatan manusia ini, boleh disimpulkan kepada tiga pandangan utama, iaitu;
(i) Pandangan Mazhab al-Jabariah,
Mazhab al-Jabariah berpandangan bahawa segala perbuatan manusia adalah merupakan perbuatan yang dilakukan dengan kuasa dan kehendak Allah SWT dan manusia tiada pilihan dalam perbuatan mereka melainkan mereka hanya melakukan apa-apa sahaja yang dikehendaki Allah SWT. Pandangan ini juga turut menyatakan bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh manusia yang disebutkan “perbuatan manusia” secara majazi sahaja.[3]
(ii) Pandangan Mazhab al-Muktazilah,
Berlawanan dengan pandangan ini, pandangan kedua ialah pandangan Mazhab al-Muktazilah yang berpandangan bahawa manusia bebas dalam melakukan perbuatannya mengikut kehendaknya sendiri dan melakukannya dengan sendiri mengikut kudrat yang telah diberikan oleh Allah SWT.[4]
(iii) Pandangan Mazhab al-Asha’irah.
Manakala pandangan al-Asha’irah yang merupakan pandangan yang dipegang oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah pula ialah pandangan pertengahan di antara pandangan pertama dan pandangan kedua.
Mazhab al-Asha’irah berpandangan bahawa segala perbuatan manusia adalah merupakan makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT dan Allah SWT juga memberikan pilihan kepada manusia untuk memilih sendiri perbuatan yang dikehendakinya untuk dilakukan yang diistilahkan sebagai “kasb”.[5]
Imam al-Ghazali dan ketokohan beliau dalam bidang akidah Ahli Sunnah Waljamaah
Imam al-Ghazali merupakan seorang tokoh yang besar di dalam dunia keilmuan Islam, yang menguasai pelbagai disiplin ilmu yang berbeza. Beliau merupakan antara ulama yang paling bijak di dunia dalam setiap bidang yang beliau kuasai.[6] Beliau juga merupakan tokoh dalam bidang Fiqh, ketokohan beliau turut terserlah sehingga dianggap sebagai orang yang paling pakar di dalam fiqh berbanding sarjana lain yang sezaman dengan beliau dan merupakan antara reformis di dalam Mazhab al-Syafi'i.[7]
Imam al-Dhahabi juga turut memuji Imam al-Ghazali sebagai seorang yang menguasai pelbagai ilmu, digelar sebagai "Hujjatul Islam" dan mempunyai kebijakan yang luar biasa.[8]
Imam al-Ghazali juga dianggap sebagai tokoh di dalam mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, antaranya disebabkan kekuatan hujah-hujah beliau dalam mempertahankan akidah yang benar, usaha-usaha dakwah beliau kepada pemerintah, hasil-hasil penulisan beliau dan pelbagai lagi sumbangan-sumbangan beliau terhadap perkembangan ilmu Akidah.[9]
Pandangan Imam al-Ghazali berkaitan perbuatan manusia
Dalam artikel ini, beberapa petikan daripada karya-karya Imam al-Ghazali berkaitan permasalahan perbuatan manusia telah dikenal pasti. Antaranya termasuklah kata-kata beliau yang disebutkan dalam kitab Qawa’id al-‘Aqaid, kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad, kitab al-Maqasid al-Asna dan kitab al-Arba’in fi Usul al-Din.
Di dalam karya yang berjudul “Qawa’id al-‘Aqaid”, Imam al-Ghazali menyebutkan:[10]
أَن أَفعَال الْعباد مخلوقة لله تَعَالَى وَأَنَّهَا مكتسبة للعباد وَأَنَّهَا مُرَادة لله تَعَالَى
Maksudnya:“bahawa perbuatan-perbuatan hamba adalah makhluk Allah SWT dan ia adalah perkara yang diusahakan (muktasabah) sendiri oleh hamba-hamba dan ia adalah mengikut kehendak (iradah) Allah ...”
Berdasarkan kepada kenyataan yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali di atas ini, maka jelaslah bahawa pandangan Imam al-Ghazali adalah selari dengan pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyatakan bahawa segala perbuatan manusia adalah merupakan ciptaan Allah SWT dan manusia hanya diberikan pilihannya sendiri (ikhtiyar) untuk melakukan sesuatu perbuatan, yang diistilahkan sebagai “al-kasb”.
Huraian lebih lanjut oleh Imam al-Ghazali juga mengenai hal ini boleh dilihat dalam kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad, antaranya beliau menyebutkan:[11]
وحاصله أن القادر الواسع القدرة هو قادر على الاختراع للقدرة والمقدور معاً، ولما كان اسم الخالق والمخترع مطلقاً على من أوجد الشيء بقدرته وكانت القدرة والمقدور جميعاً بقدرة الله تعالى، سمي خالقاً ومخترعاً. ولم يكن المقدور مخترعاً بقدرة العبد وإن كان معه فلم يسم خالقاً ولا مخترعاً ووجب أن يطلب لهذا النمط من النسبة اسم آخر مخالف فطلب له اسم الكسب
Maksudnya: “Kesimpulannya, Yang Maha Berkuasa, Maha Luas[12] dan Maha Berupaya (qudrah) mampu untuk mencipta kekuatan dan sesuatu yang mampu untuk dilaksanakan. Oleh kerana nama Pencipta semata-mata adalah kepada Yang menciptakan sesuatu dengan kemampuannya. Kemampuan dan sesuatu yang mampu dilakukan kesemuanya adalah dengan kemampuan Allah, kerana itulah dinamakan Pencipta dan Pembuat. Dan sesuatu perbuatan yang mampu dilakukan itu bukanlah diciptakan sendiri oleh kemampuan manusia, maka kerana itulah manusia tidak dinamakan sebagai pencipta atau pembuat. Oleh itu, keadaan ini memerlukan kepada suatu istilah lain yang berbeza, maka kerana itulah digunakan bagi perbuatan hamba ini istilah (al-kasb)”.
Begitu juga di dalam kitab al-Maqsad al-Asna, Imam al-Ghazali turut menegaskan pandangan beliau yang sama seperti berikut:[13]
وَأما الْخَالِق البارئ فَلَا مدْخل للْعَبد أَيْضا فِي هذَيْن الاسمين إِلَّا بِنَوْع من الْمجَاز بعيد وَوَجهه أَن الْخلق والإيجاد يرجع إِلَى اسْتِعْمَال الْقُدْرَة بِمُوجب الْعلم وَقد خلق الله تَعَالَى للْعَبد علما وقدرة وَله سَبِيل إِلَى تَحْصِيل مقدوراته على وفْق تَقْدِيره وَعلمه
Maksudnya: “Ada pun Maha Pencipta dan Maha Pembuat, manusia tidak mempunyai kaitan langsung dengan kedua-dua nama ini, melainkan secara majazi yang boleh dilihat pada sudut penciptaan dan pewujudan adalah berdasarkan kepada penggunaan kekuasaan dan pengetahuan. Sesungguhnya Allah SWT menciptakan kepada manusia pengetahuan dan keupayaan dan diciptakan juga baginya jalan untuk melakukan apa yang telah diberikan keupayaan untuk dilakukan mengikut ketetapan dan ilmunya”.
Manakala di dalam kitab Al-Arba’in fi Usul al-Din, Imam al-Ghazali menyebutkan mengenai isu perbuatan manusia ini dengan penjelasan yang sedikit berbeza seperti berikut:[14]
والمذهب الحق: هو أن المؤثر مجموع القدرتين؛ قدرة الله وقدرة العباد.
Maksudnya: “Dan pandangan yang benar adalah pandangan yang menyatakan bahawa yang memberi kesan ialah pada himpunan dua kemampuan (qudrah); kemampuan Allah dan kemampuan manusia”.
Walaupun kenyataan ini secara zahirnya menunjukkan seolah-olah perbuatan manusia ini adalah hasil gabungan keupayaan yang dilakukan oleh Allah dan manusia, namun kenyataan ini juga perlu difahami berdasarkan huraian Imam al-Ghazali sendiri selepas itu yang menyebutkan:[15]
فالأفعال الصادرة عن العباد كلها بقضاء الله وقدره، ولكن للعباد اختيار، فالتقدير من الله، والكسب من العباد، وهذا المذهب وسط بين الجبر والقدر، وعليه أهل السنة والجماعة.
Maksudnya: "Maka perbuatan-perbuatan yang dilakukan oleh manusia semuanya adalah mengikut keputusan dan ketentuan Allah. Tetapi, manusia hanya diberikan pilihan dan penentuan itu datangnya daripada Allah dan manusia hanya diberikan "kasb". Inilah pandangan pertengahan antara Jabariah dan Qadariah dan inilah pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah."
Bahkan Imam al-Ghazali sendiri setelah menyatakan perkara tadi lantas merujuk kepada kitab beliau iaitu al-Maqsad al-Aqsa.[16] Hal ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak menarik semula setiap pandangan beliau yang ditulis di dalam kitab-kitab beliau yang lain, bahkan ini menunjukkan juga bahawa perkataan Imam al-Ghazali di dalam kitab ini perlu difahami mengikut pandangan Akidah beliau seperti yang dapat dilihat dalam kitab-kitab beliau yang lain.
Dalam pada itu, Imam al-Ghazali sendiri di dalam kitab al-Arba'in, ketika menghuraikan mengenai sifat Qudrah pada Allah SWT, beliau menyatakan bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang menciptakan setiap makhluk dan Dia jugalah yang menciptakan setiap perbuatan makhluk tersebut.[17]
Oleh itu, pegangan Imam al-Ghazali berkenaan perbuatan manusia merupakan ciptaan Allah SWT dengan kuasa dan keupayaan-Nya. Perbuatan tersebut dilakukan oleh manusia mengikut pilihannya sendiri yang dikenali sebagai istilah "al-kasb" sepertimana pegangan akidah menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan ringkas yang telah dikemukakan, maka jelaslah menunjukkan bahawa pandangan Imam al-Ghazali berkaitan perbuatan manusia tidaklah bercanggah dengan pandangan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Imam al-Ghazali itu sendiri ialah tokoh yang tidak asing lagi dalam kalangan para sarjana dan ulama dalam pelbagai bidang termasuklah juga bidang Akidah.
Tidak wajarlah untuk dipertikaikan keilmuan dan kehebatan tokoh yang telah diterima oleh umat Islam ini secara umumnya, terutamanya pada bidang akidah yang memang merupakan kepakaran beliau.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Umpamanya seperti firman Allah SWT di dalam Surah al-Saffaat:
واللَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
Terjemahan: “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!”.
[2] Umpamanya seperti firman Allah SWT di dalam Surah al-Nisa’ (66):
وَلَوْ أَنَّهُمْ فَعَلُوا مَا يُوعَظُونَ بِهِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَشَدَّ تَثْبِيتًا
Terjemahan: “Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka)”.
[3] Al-Shahrustaniy (1976), al-Milal wa al-Nihal, Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabiy, 87.
ومنها قوله في القدرة الحادثة: إن الإنسان لا يقدر على شيء، ولا يوصف بالاستطاعة، وإنما هو مجبور في أفعاله؛ لا قدرة له، ولا إرادة، ولا اختيار، وإنما يخلق الله تعالى الأفعال فيه على حسب ما يخلق في سائر الجمادات، وتنسب إليه الأفعال مجازا كما تنسب إلى الجمادات
[4] Ghalib ‘Aliy ‘Awajiy (2001), Firaq Mu’asirah Tantasib ila al-Islam wa Bayan Mawqif al-Islam minha, 3:1181.
اتفق كل أهل العدل على أن أفعال العباد من تصرفهم وقيامهم وقعودهم حادثة من جهتهم، وأن الله عز وجل أقدرهم على ذلك ولا فاعل لها ولا محدث سواهم. وأن من قال: إن سبحانه خالقها ومحدثها فقد عظم خطؤه
[5] Yahya ‘Abd al-‘Alim Ismail, Tatawwur Mawqif Imam al-Haramayn al-Juwayniy, 25.
ذهب جمهور الأشاعرة إلى أن أفعال العباد مخلوقة
[6] Ibn Kathir (1997), al-Bidayah wa al-Nihayah, Kaherah: Dar Hajar, 16:213.
كان من أذكياء العالم في كل ما يتكلم فيه
[7] Taj al-Din al-Subki (1413), Tabaqat al-Shafi'iyyah al-Kubra, Kaherah: Hajar li al-Tiba’ah wa al-Tawzi’, 6:194.
كان أفقه أقرانه، وإمام أهل زمانه، وفارس ميدانه، ومجدد المذهب في الفقه
[8] Shams al-Din al-Dhahabiy (2001), Siyar A'lam al-Nubala', Beirut: Muassasah al-Risalah, 19:323.
الشيخ الإمام البحر، حجة الإسلام، أعجوبة الزمان زين الدين أبو حامد محمد بن محمد بن محمد بن أحمد الطوسي، الشافعي، الغزالي، صاحب التصانيف، والذكاء المفرط .
[9] Abdull Rahman Mahmood, et. al. (2022), "Manhaj al-Imam al-Ghazali fi al-Difa' 'an al-'Aqidah al-Islamiyah", Islamiyyat (44).
[10] Abu Hamid al-Ghazali (1985), Qawa’id al-‘Aqaid, 145.
[11] Abu Hamid al-Ghazali (2004), al-Iqtisad fi al-I’tiqad, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 56.
[12] Allah SWT Yang Maha Luas pemberian-Nya, iaitu dengan keluasan rahmat dan ilmu-Nya yang meliputi setiap makhluk-Nya.
[13] Abu Hamid al-Ghazali (1987), al-Maqsad al-Asna fi Sharh Ma’ani Asma’ Allah al-Husna, Cyprus: al-Jaffan wa al-Jabiy, 79.
[14] Abu Hamid al-Ghazali (t.t.), al-Arba’in fi Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 10.
[15] Abu Hamid al-Ghazali (t.t.), al-Arba’in fi Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 10.
[16] Abu Hamid al-Ghazali (t.t.), al-Arba’in fi Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 10.
وذكرنا في كتاب المقصد الأقصى تدبير رب الأرباب ومسبب الأسباب، أصل وضع الأسباب...
[17] Abu Hamid al-Ghazali (t.t.), al-Arba’in fi Usul al-Din, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 6.
خلق الخلق وأعمالهم