Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #155: KEMURNIAN AKIDAH DALAM MENANGANI BUDAYA KHURAFAT DAN TAHYUL

KEMURNIAN_AKIDAH_DALAM_MENANGANI_BUDAYA_KHURAFAT_DAN_TAHYUL.jpg

SOALAN

Mengapakah masih ramai dalam kalangan masyarakat Islam, khususnya orang Melayu, yang mudah mempercayai cerita-cerita tahyul dan hantu seperti kisah "Cikgu Nina dan pocong" yang tular baru-baru ini, sedangkan kepercayaan seperti ini jelas menyeleweng daripada ajaran Islam dan boleh menyesatkan akidah umat?

RINGKASAN JAWAPAN

Sebahagian masyarakat Islam khususnya orang Melayu mudah mempercayai cerita tahyul seperti kisah "Cikgu Nina dan pocong" disebabkan kurang ilmu akidah, kelemahan rohani dan masalah psikologi yang menjadikan mereka terdedah kepada kepercayaan khurafat. Kepercayaan ini menyeleweng daripada maqasid penciptaan jin dan syaitan yang bertujuan sebagai ujian dan ibadah serta bukan sumber ketakutan melampau. Ia juga bercanggah dengan maqasid keamanan yang menuntut ketenteraman jiwa dan kestabilan sosial. Islam melarang perkara baru tanpa dalil sahih. Oleh itu, pendidikan akidah dan amalan ibadah perlu diperkasakan agar umat lebih rasional, menolak khurafat dan fokus kepada ilmu serta amal yang membina dunia dan akhirat.

HURAIAN JAWAPAN

Pendahuluan

Isu akidah dan kepercayaan terhadap makhluk halus serta fenomena ghaib menjadi polemik dalam masyarakat, terutama berhubung kepercayaan terhadap entiti seperti pocong yang dikaitkan dengan roh orang mati. Kisah Cikgu Nina yang didakwa tinggal serumah dengan pocong menggambarkan keyakinan sesetengah lapisan masyarakat terhadap kewujudan makhluk halus tersebut.

Realitinya, sebahagian masyarakat hari ini masih terpengaruh dengan budaya khurafat dan tahyul yang menjadikan jin dan makhluk ghaib sebagai pusat ketakutan serta penjelasan kepada pelbagai fenomena kehidupan. Kepercayaan yang melampaui batas terhadap jin seperti cerita-cerita tahyul, roh berkeliaran dan amalan mistik tanpa asas wahyu merupakan penyimpangan daripada maqasid sebenar penciptaan makhluk tersebut.

Khurafat dan tahyul tidak membina insan dan tamadun

Kewujudan jin dan syaitan adalah hakikat yang diakui dalam Islam sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah. Syariat turut menjelaskan bahawa penciptaan mereka mempunyai tujuan tertentu yang selari dengan ujian dan pentarbiahan Ilahi terhadap manusia. Antara maqasid utama penciptaan jin dan syaitan termasuklah untuk merealisasikan ibadah kepada Allah SWT serta menjadi alat ujian terhadap keimanan manusia melalui godaan dan bisikan jahat (waswas). Bentuk ujian ini bukan untuk menyesatkan secara mutlak, tetapi untuk menzahirkan kejujuran, kesabaran dan keteguhan seorang hamba terhadap Tuhannya[1] sebagaimana dalam firman-Nya:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Maksudnya: Ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku

Surah al-Zariyat (56)

Syariat Islam menetapkan bahawa agama ini telah sempurna dan tidak boleh ditokok tambah dengan perkara yang tidak mempunyai sandaran wahyu. Islam menolak sebarang perkara baharu yang direka dalam agama tanpa asas syarak. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baharu dalam urusan kami ini (agama), yang bukan daripadanya, maka ia adalah tertolak.

Riwayat Muslim

Mempercayai perkara tanpa bukti yang hanya menimbulkan ketakutan dan keraguan dalam masyarakat bercanggah dengan maqasid keamanan, salah satu prinsip utama syariah. Penolakan terhadap tahyul bukan sekadar isu akidah, tetapi usaha mempertahankan ketenteraman jiwa dan kestabilan sosial. Umat Islam perlu dipandu oleh wahyu, bukan khayalan dan usaha pemurnian akidah serta penolakan budaya khurafat amat penting bagi memastikan kehidupan yang aman, rasional dan selari dengan roh Islam. Kepercayaan yang tidak bersandarkan dalil hanya melemahkan umat dari sudut pemikiran dan spiritual.

Kecenderungan terhadap khurafat sering berpunca daripada kelemahan psikologi manusia. Dari sudut pemikiran, kurangnya ilmu menyebabkan seseorang gagal membezakan antara kebenaran dan tahyul. Dari aspek rohani, ketiadaan amalan ibadah seperti solat, puasa dan zikir menjadikan jiwa kosong dan mudah terpengaruh. Sementara itu, gangguan mental seperti kemurungan, tekanan dan hilang keyakinan diri turut membuka ruang kepada kepercayaan khurafat. Maka, kekuatan ilmu, rohani dan emosi amat penting sebagai benteng daripada pengaruh amalan yang menyeleweng.

Penutup

Oleh itu, umat Islam hari ini memerlukan pendekatan yang lebih rasional dan seimbang dengan membina sosok Muslim yang berinteraksi secara matang dengan realiti semasa (waqi‘), tanpa terjerumus ke dalam dunia khurafat yang tidak menyumbang kepada pembangunan insan mahupun ketamadunan. Pemurnian akidah dan pembinaan budaya ilmu yang sahih menjadi tanggungjawab bersama dalam mempertahankan warisan intelektual dan spiritual umat. Masyarakat disaran agar tidak menyibukkan diri dengan perkara yang tidak membawa manfaat kepada dunia dan akhirat, sebaliknya menumpukan perhatian kepada ilmu dan amalan yang membina. Hanya dengan mengembalikan kefahaman akidah yang murni serta membersihkan masyarakat daripada kepercayaan khurafat, barulah terbentuk individu Muslim yang mampu berinteraksi dengan realiti secara matang dan membina peradaban yang lestari.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Qaraḍāghī, ʿAlī Muḥyī al-Dīn, al-Irtiqāʾ min Maqāṣid al-Sharīʿah ilā al-Manẓūmah al-Maqāṣidiyyah, (Istanbul: Dār al-Aṣālah, 2023), 87.Teks asal:

النوع الثالث: مقاصد خلق الجنّ والشياطين وهي أيضاً كثيرة، ونذكر هنا أهمها بإيجاز شديد:-1عبادة الله تعالى.] الذاريات: 56 [

-2ابتلاء الإنسان بهم وبوساوسهم، وقيامهم بإضلال الإنسان بكل الوسائل المتاحة لهم، وذلك لكشف صدق الإنسان مع الله تعالى، وإيمانه والصبر والثبات، أو بالعكس.