Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #158: MEMBEZAKAN UNSUR BUDAYA DAN RITUAL: ANALISIS HUKUM TERHADAP PERAYAAN TANABATA (FESTIVAL BINTANG)

PP_poster_300.jpg

 

PENDAHULUAN

Perayaan Tanabata merupakan salah satu tradisi musim panas masyarakat Jepun yang diraikan secara tahunan pada 7 Julai dan pada 7 Ogos di sesetengah kawasan seperti Hokkaido. Perayaan ini berakar daripada legenda purba mengenai kisah cinta dua watak langit iaitu Orihime (bintang Vega) dan Hikoboshi (bintang Altair) yang dipercayai hanya dapat bertemu setahun sekali di atas Laluan Bima Sakti. Menurut mitos tersebut, pertemuan ini berlaku setelah Maharaja Langit yang juga ayah Orihime, memberi keizinan kerana kedua-duanya telah mengabaikan tanggungjawab akibat terlalu asyik bercinta. Lantaran itu, Tanabata turut dikenali sebagai "Festival Bintang", yang bukan sahaja bersifat budaya tetapi mengandungi unsur kepercayaan kepada makhluk langit.

Dalam menyambut perayaan ini, amalan utama ialah menulis harapan dan impian pada potongan kertas kecil yang dikenali sebagai tanzaku, lalu menggantungkannya pada ranting pokok buluh (sasatake). Tradisi ini membawa kepercayaan bahawa permintaan yang ditulis akan dimakbulkan sebagaimana harapan Orihime untuk bertemu Hikoboshi telah diterima. Ini menjadikan Tanabata bukan sekadar festival kebudayaan, sebaliknya sarat dengan unsur ritual dan simbolisme spiritual yang menyerupai bentuk permohonan kepada makhluk selain Allah SWT. Perbuatan ini menunjukkan keyakinan terhadap kuasa entiti langit dalam merealisasikan hajat manusia.

Selain aktiviti ritual, Tanabata turut diraikan secara besar-besaran di bandar-bandar utama Jepun dengan pelbagai acara seperti perarakan kostum, pertunjukan kebudayaan, bunga api serta hiasan tradisional seperti furin (loceng angin) dan kusudama (bola hiasan berwarna-warni). Walaupun acara-acara ini kelihatan bersifat budaya dan komersial, hakikatnya ia tetap berpaksikan kepada mitos dan kepercayaan asal terhadap makhluk langit. Oleh yang demikian, penyertaan dalam festival ini walaupun atas nama pelancongan atau kebudayaan, tetap bersangkut paut dengan ritual yang membawa unsur kepercayaan batil yang bercanggah dengan akidah Islam.

LARANGAN PENYERTAAN DALAM PERAYAAN YANG BERUNSURKAN KESYIRIKAN KEPADA ALLAH SWT

Islam mengharamkan penyertaan umatnya dalam sebarang bentuk perayaan atau upacara yang berakar daripada kepercayaan kepada makhluk selain Allah SWT atau mengandungi ritual yang bertentangan dengan tauhid kerana ia boleh membawa kepada syirik. Perayaan Tanabata merupakan contoh yang mengandungi unsur ritual seperti menulis harapan kepada bintang atau makhluk ghaib (dewa) dan keyakinan bahawa makhluk langit mampu mengabulkan hajat manusia. Ini bercanggah dengan akidah Islam yang menetapkan bahawa hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan semua hal ghaib hanya boleh diyakini melalui wahyu, bukan melalui mitos atau rekaan. Hal ini ditegaskan dalam pesanan tegas Sayyidina Umar bin al-Khattab RA bahawa:

لَا تَدخُلُوا عَلى المُشرِكينَ فِي كَنائسِهم يَومَ عيدِهِم فإنَّ السخطة تَنزِلُ عَليهِم

Maksudnya:Janganlah kamu masuk ke tempat ibadat orang yang menyekutukan Allah SWT pada hari raya mereka kerana kemurkaan (Allah SWT) sedang turun ke atas mereka.”

(Riwayat al-Baihaqi)

Rentetan daripada itu, Sayyidina Umar bin al-Khattab RA telah menetapkan syarat supaya orang bukan Islam tidak dibenarkan menzahirkan perayaan agama mereka secara terbuka di wilayah umat Islam. Jika golongan bukan Islam sendiri ditegah daripada menzahirkan syiar keagamaan mereka, maka lebih-lebih lagi umat Islam tidak sepatutnya terlibat dalam perayaan tersebut. Tindakan menyertai atau meraikannya hanya akan memberi ruang dan semangat kepada mereka untuk menonjolkan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Larangan ini dibuat kerana perayaan sebegitu boleh membawa kepada kerosakan akidah sama ada kerana ia melibatkan unsur maksiat atau ia merupakan lambang kekufuran. Oleh itu, umat Islam wajib menjauhkan diri daripada sebarang bentuk penyertaan dalam perayaan yang berunsur keagamaan bukan Islam.[1]

Dalam konteks perayaan Tanabata, walaupun ia disaluti dengan unsur budaya dan hiburan, asasnya tetap berakar daripada mitos pemujaan bintang serta permintaan harapan kepada entiti langit yang tiada kena-mengena dengan konsep tauhid. Perbuatan menulis permintaan dan menggantungnya pada pohon buluh merupakan satu bentuk ritual yang menyerupai doa kepada makhluk selain Allah SWT, sekaligus membawa unsur kesyirikan. Maka, menyertai Tanabata walaupun secara simbolik adalah bertentangan dengan larangan syarak terhadap penyertaan dalam perayaan yang mengandungi unsur kekufuran dan syiar agama lain.

LARANGAN MENYERUPAI AMALAN DAN SYIAR AGAMA LAIN (TASYABBUH)

Islam juga menegah umatnya daripada menyerupai simbol, pakaian atau amalan khas agama lain, khususnya apabila ia berkaitan dengan syiar atau ciri pengkhususan ritual keagamaan. Sabda Nabi SAW:


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka."


(Riwayat Abu Dawud)

Hadis ini melarang umat Islam daripada menyerupai sesuatu kaum dalam aspek yang menjadi identiti khusus mereka. Larangan tersebut mencakupi tiga aspek utama iaitu bentuk fizikal, akhlak dan penampilan simbolik atau syiar. Namun begitu, aspek syiar dianggap paling jelas dalam konteks tasyabbuh kerana ia melibatkan ciri luaran yang mudah dikenal pasti dan sering dikaitkan dengan identiti keagamaan atau budaya sesuatu kelompok. Syiar merupakan maksud utama dalam larangan tasyabbuh kerana bentuk fizikal yang bersifat semula jadi tidak tergolong dalam penyerupaan, manakala akhlak tidak dinamakan sebagai tasyabbuh tetapi lebih tepat disebut takhalluq iaitu pengambilan akhlak yang baik.[2]

Dalam konteks perayaan Tanabata, perbuatan menulis harapan pada kertas tanzaku dan menggantungnya pada pohon buluh sebagai bentuk permohonan kepada entiti langit bukanlah sekadar adat tetapi menyerupai ritual agama lain. Penyertaan aktif dalam acara ini, walaupun atas nama budaya, termasuk dalam kategori tasyabbuh yang ditegah kerana ia menghidupkan unsur kepercayaan kepada makhluk selain Allah SWT. Walaupun Islam mengiktiraf kepelbagaian budaya, sebarang penyerupaan terhadap amalan berbentuk keagamaan mesti dielakkan sepenuhnya bagi memelihara ketulenan dan kesucian akidah tauhid.

MENYEIMBANGKAN KEPINCANGAN DALAM FIQH AL-MIZAN DENGAN ORANG BUKAN ISLAM

Berdasarkan dua dalil utama iaitu larangan menyertai perayaan syirik dan larangan menyerupai ritual agama lain, umat Islam ditegah daripada terlibat dalam sebarang bentuk upacara seperti Tanabata yang mengandungi unsur permohonan kepada makhluk ghaib selain Allah SWT serta penyerupaan terhadap syiar agama lain. Meskipun sesebuah perayaan itu dikatakan bersifat budaya, penyertaannya tetap tidak dibenarkan sekiranya masih terselit unsur kepercayaan agama kerana Islam menegakkan prinsip penjagaan akidah dan menutup segala jalan yang boleh membawa kepada syirik walau secara simbolik.

Walau bagaimanapun, Islam tetap menekankan hubungan yang harmoni dan beradab antara umat Islam dan bukan Islam. Hubungan ini dibina atas dua neraca utama iaitu keamanan, dakwah dan hidup bersama. Dalam kerangka ini, umat Islam diajar untuk berinteraksi secara baik dengan bukan Islam berdasarkan prinsip kebaikan, ihsan dan keadilan tanpa mengorbankan asas tauhid. Sikap toleransi tidak bermakna mengiktiraf atau menyertai kepercayaan agama lain tetapi berperanan memelihara keharmonian sosial dan menyampaikan mesej Islam secara hikmah, sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusirmu dari negerimu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.”

Surah al-Mumtahanah (8)

Atas neraca inilah ditafsirkan semua ayat dan hadis sahih yang mengandungi perintah untuk berbuat baik, lemah-lembut, berdamai dan seumpamanya demi mencapai keamanan, keselamatan dan keharmonian.[3] Islam tidak melarang umatnya daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi agama dan tidak mengusir Muslimin dari tempat tinggal. Ini merangkumi hubungan kekeluargaan, jiran, tetamu serta urusan muamalat seperti menunaikan janji dan amanah. Ayat ini menunjukkan bahawa Islam menjunjung ihsan dan keadilan dalam interaksi sosial, asalkan ia tidak melibatkan pengiktirafan terhadap kepercayaan batil atau mengganggu prinsip keimanan dan tauhid umat Islam.[4]

Sekalipun hubungan damai dianjurkan, Islam menetapkan batas-batas yang tegas antara interaksi sosial dan pengiktirafan agama lain. Toleransi bukan bermaksud menyertai ritual atau kepercayaan syirik seperti dalam Tanabata yang mengandungi unsur permintaan kepada makhluk ghaib. Dalam Fiqh al-Mīzān, keseimbangan perlu dijaga antara prinsip akidah dan keadilan sosial. Maka, umat Islam wajib membezakan antara budaya yang dibenarkan dan amalan yang menyerupai syiar agama lain demi menjaga kesucian tauhid dalam masyarakat majmuk.

KESIMPULAN

Secara tuntas, pendekatan wasatiyyah dalam Islam menuntut keseimbangan antara menjaga keteguhan akidah dan membina hubungan antara budaya secara berhemah. Dalam konteks perayaan seperti Tanabata, umat Islam dilarang terlibat dengan unsur ritual yang membawa kepada kepercayaan syirik seperti menulis tanzaku dengan harapan kepada makhluk langit atau entiti ghaib selain Allah SWT. Prinsip sadd al-zarīʿah (menutup jalan kepada kemungkaran) menuntut agar segala bentuk penyertaan yang boleh membawa kepada normalisasi akidah yang bercanggah perlu dielakkan khususnya apabila perayaan itu jelas menghidupkan unsur mitos, permohonan ghaib dan simbol agama lain.

Namun begitu, Islam tidak menolak hubungan budaya secara total. Penyertaan umat Islam dalam konteks akademik, fotografi, pelancongan atau pemerhatian budaya tanpa melibatkan diri dalam ritual atau memberi pengiktirafan terhadap kepercayaan asal masih dibolehkan dengan syarat niat dan batas syarak dijaga dengan jelas. Kehadiran sekadar memerhati, tanpa terlibat dalam upacara serta menzahirkan akhlak Islam yang baik dalam hubungan dengan bukan Muslim seperti jiran, rakan atau ahli keluarga adalah ruang dakwah yang harus dimanfaatkan. Justeru itu, wasatiyyah Islam membimbing umat untuk membezakan antara penghormatan terhadap budaya dan pengiktirafan terhadap kepercayaan yang bertentangan dengan tauhid.

Wallahu a'alam.

 

 

Rujukan:

[1] Jalāl al-Dīn ʿAbd al-Raḥmān ibn Abī Bakr al-Suyūṭī, Ḥaqīqat al-Sunnah wa al-Bidʿah: al-Amr bi al-Ittibāʿ wa al-Nahy ʿan al-Ibtidāʿ, ed. Dhīb ibn Miṣrī ibn Nāṣir al-Qaḥṭānī (Riyadh: Maṭābiʿ al-Rashīd, 1409 H), 125. Teks asal:

وقد شرط عليهم عمر بن الخطاب رضي الله عنه أن لا يظهروا أعيادهم في بلاد المسلمين، فإذا كانوا ممنوعين من إظهار أعيادهم في بلادنا، فكيف يسع المسلم فعلها؟ هذا مما يقوي طمعهم وقلوبهم في إظهارها، وإنما منعوا من ذلك لما فيه من الفساد، إما لأنه معصية، وإما لأنه شعار الكفر. والمسلم ممنوع من ذلك كله

[2] Nūr al-Dīn ‘Alī ibn Sulṭān Muḥammad al-Qārī, Mirqāt al-Mafātīḥ Sharḥ Mishkāt al-Maṣābīḥ (Beirut: Dār al-Fikr, 1st ed., 1422 AH / 2002 CE), 7: 2782. Teks asal:

قَالَ الطِّيبِيُّ: هَذَا عَامٌّ فِي الْخَلْقِ وَالْخُلُقِ وَالشِّعَارِ، وَلِمَا كَانَ الشِّعَارُ أَظْهَرُ فِي التَّشَبُّهِ ذُكِرَ فِي هَذَا الْبَابِ. قُلْتُ: بَلِ الشِّعَارُ هُوَ الْمُرَادُ بِالتَّشَبُّهِ لَا غَيْرُ، فَإِنَّ الْخُلُقَ الصُّورِيَّ لَا يُتَصَوَّرُ فِيهِ التَّشَبُّهُ، وَالْخُلُقَ الْمَعْنَوِيَّ لَا يُقَالُ فِيهِ التَّشَبُّهُ، بَلْ هُوَ التَّخَلُّقُ

[3] ʿAlī Muḥyī al-Dīn Al-Qaraḍāghī, al-Irtiqāʾ min Maqāṣid al-Sharīʿah ilā al-Manẓūmah al-Maqāṣidiyyah, (Istanbul: Dār al-Aṣālah, 2023), 101. Teks asal:

وأما التعامل بين المسلمين وغيرهم، فيقوم على ميزانين وهما: -ميزان السلم والدعوة والتعايش: ففي هذه الحالة تكون علاقة المسلمين بغيرهم       قائمة على البر والإحسان والقسط، بنص القرآن الكريم الممتحنة: 8. وعلى هذا الميزان تُحمل جميع الآيات والأحاديث الصحيحة التي فيها الأمر بالبر واللين والسلم ونحوها، لتحقيق السلام والأمن والأمان.

[4] Wahbah Zuhayli, Al-Tafsīr al-Munīr fī al-‘Aqīdah wa al-Sharī‘ah wa al-Manhaj (Damascus: Dār al-Fikr; Beirut: Dār al-Fikr al-Mu‘āṣir, 1411 AH / 1991 CE), 28: 135-136. Teks asal:

{لا يَنْهاكُمُ اللهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ، وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ، وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ، إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ} أي لا يمنعكم الله من البرّ والإحسان وفعل الخير إلى الكفار الذين سالموكم ولم يقاتلوكم في الدين كالنساء والضعفة منهم، كصلة الرحم، ونفع الجار، والضيافة، ولم يخرجوكم من دياركم، ولا يمنعكم أيضا من أن تعدلوا فيما بينكم وبينهم، بأداء مالهم من الحق، كالوفاء لهم بالوعد، وأداء الأمانة، وإيفاء أثمان المشتريات كاملة غير منقوصة، إن الله يحب العادلين، ويرضى عنهم، ويمقت الظالمين ويعاقبهم. والمقصود بالآية أن الله سبحانه لا ينهى عن برّ أهل العهد من الكفار الذين عاهدوا المؤمنين على ترك القتال، وعلى ألا يعينوا عليهم، ولا ينهى عن معاملتهم بالعدل، مثل خزاعة، وغيرهم الذين عاهدوا رسول الله صلى الله عليه وسلم على ترك القتال.