Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #159: MAQASID AKIDAH: SATU PENGENALAN RINGKAS

MAQASID_AKIDAH_-_SATU_PENGENALAN_RINGKAS.jpg

 

Maqasid Akidah ialah satu wacana baharu dalam perbahasan ilmu Kalam kontemporari. Ia merupakan ilmu yang membincangkan tentang objektif, matlamat dan tujuan utama daripada akidah Islam. Walaupun ia istilah yang baharu dan perbincangan mengenainya belum terperinci dan matang seperti Maqasid Shariah, namun perbahasan berkaitan Maqasid Akidah ini boleh dikatakan telah wujud dalam penulisan para ulama dalam kitab-kitab turath. Para ulama terdahulu telah membahaskan ilmu ini dengan istilah pelbagai seperti al-asrār (الأسرار), al-ḥikam (الحِكَم), al-agh’rāḍ (الأغراض), al-maḥāsin (المحاسن), dan al-manāqib (المناقب) yang berkaitan dengan perkara akidah daripada beriman kepada Allah SWT, sifat-sifat-Nya, kitab, rasul dan hari akhirat. Antara perkata lain seperti al-‘ilal (العلل) dan al-murad (المراد).

Pada asasnya, ilmu ini bertujuan untuk memberi kemaslahatan dan manfaat kepada umat berdasarkan perbahasan dalam ilmu akidah. Ini memandangkan bahawa antara cabaran akidah semasa ialah kecenderungan untuk membahaskannya sehingga membawa kepada perdebatan isu khilafiah dan furu’ yang tidak berkesudahan. Hal ini kerana perkara yang dzanni terbuka kepada pelbagai pandangan dan tafsiran yang dibenarkan dengan ijtihad selagi tidak bercanggah dengan usul agama. Selain itu, terdapat sesetengah golongan yang cenderung menggunakan pendekatan dalam perbahasan ilmu ini sebagai punca persengketaan dan perbalahan.

Sehingga hari ini, terdapat kajian-kajian ilmiah semasa yang membicarakan tentang Maqasid Akidah ini daripada pelbagai sudut. Antaranya adalah seperti berikut:

  1. Maqasid al-‘Aqa’id ‘inda al-Allamah al-Tahir ibn ‘Asyur oleh ‘Abd al-Rauf Taj al-Din Sawan. Kajian ini adalah tesis sarjana Kulliyah al-‘Ulum al-Islamiyyah Universiti al-Jazair pada tahun 2018. Kajian ini terdiri daripada 5 fasal, pertama latar belakang Ibn Asyur. Kedua, menjelaskan mengenai ta’sil maudu’ maqasid al-‘aqaid. Terdapat 3 perbahasan iaitu mafhum ilmu maqasid akidah, perbahasan ta’lil ‘af’al Allah, kaedah dan peringkat maqasid, kaedah istinbat, faedah dan bahaya kejahilan mengenainya. Ketiga, membincangkan khusus mengenai maqasid akidah di sisi Ibn Asyur dan kaitanya dengan maqasid syariah. Keempat, aspek aplikasi maqasid berkenaan keuumuman maqasid syariah dan kulliyyah bagi akidah.
  2. Maqasid al-‘Aqa’id ‘inda al-Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam oleh Bawtib ‘Abd al-Qadir. Kajian ini juga adalah daripada Universiti al-Jazair pada tahun 2013. Kajian ini terdiri daripada empat fasal. Fasal pertama mengenai latar belakang al-Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam. Fasal kedua mengenai maqasid akidah. Fasal ketiga membentangkan sebahagian daripada maqasid akidah yang dijelaskan oleh al-Imam al-‘Izz bin ‘Abd al-Salam bermula daripada maqasid al-Tauhid, maqasid al-Iman, pahala, dosa. Fasal Keempat mengkhususkan kepada aplikasi maqasid dalam aspek akidah.
  3. Maqasid al-‘Aqa’id ‘inda Abi Hamid al-Ghazali oleh al-Ustaz Muhammad ‘Abdu. Kajian ini merupakan tesis Phd dari Universiti Muhammad al-Khamis di Maghribi.
  4. al-Maqasid al-‘Aqdiyyah fi al-Mabahith al-Sam’iyyat oleh Haifa Hussain Nikmah. Kajian ini merupakan tesis Phd dari Universiti Baghdad pada tahun 2020.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, beberapa Maqasid Akidah dapat dikeluarkan daripada ayat-ayat al-Quran yang membicarakan tentang perbahasan akidah. Antara maqasid tersebut ialah:

  1. Tauhid
  2. Kebahagiaan di dunia dan diakhirat
  3. Ketaatan
  4. Kesatuan

Bagi menghuraikan beberapa maqasid ini, antara maqasid yang utama daripadanya ialah ialah mentauhidkan Allah SWT. Ini merupakan maqasid utama bagi akidah yang ditegaskan dalam ayat-ayat berkaitan akidah dalam al-Quran. Maqasid tersebut berpaksikan kepada penegasan konsep tauhid iaitu pengesaan Allah SWT dalam seluruh aspek ketuhanan, ibadah dan pengiktirafan terhadap nama serta sifat-Nya yang sempurna. Keseluruhan ayat-ayat akidah dalam al-Quran menyeru manusia kepada pengesaan Allah dengan menafikan sebarang bentuk kesyirikan dan memperkukuh keyakinan bahawa hanya Allah yang mencipta, memiliki dan mentadbir sekalian alam.

Selain itu, antara Maqasid Akidah juga ialah kesatuan umat Islam. Akidah yang benar asas penyatuan hati, mengelakkan perpecahan yang berpunca daripada asabiyyah, hawa nafsu, atau fahaman yang menyimpang daripada petunjuk wahyu. Dalam masa yang sama, setiap Muslim hendaklah menghindarkan diri daripada mencetuskan persengketaan yang tidak perlu dalam perkara khilafiah dan menjauhi perbuatan mengkafirkan sesama umat Islam dalam perkara ini.

Namun begitu, Maqasid Akidah ini masih terbuka kepada penambahan dan ijtihad. Hal ini hampir kepada apa yang disebut sebagai Maqasid al-Quran. Hal ini kerana antara kaedah mengeluarkan Maqasid Akidah ini ialah dengan memerhatikan kepada ayat-ayat al-Quran berkaitan perbahasan akidah kemudian melihat hikmah dan tujuan di sebalik ayat-ayat tersebut. Contohnya ayat 213, surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman:

وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ ۚ

Maksudnya: Dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan.

Dalam ayat ini Allah SWT menyatakan hikmah di sebalik pengutusan para nabi dan penurunan kitab-kitab bersama mereka kepada mereka ialah untuk menjalankan hukum di antara manusia terhadap apa yang mereka perselisihkan.

Di samping itu juga, antara kepentingan Maqasid Akidah ialah ia merupakan jalan penyelesaian isu-isu Polemik contohnya seperti isu-isu berkaitan dengan ayat-ayat mutashabihat. Setiap kefahaman berkaitan ayat-ayat mutashabihat ini perlu dirujuk dan dikembalikan kepada ayat-ayat muhkamat. Kaedah yang diterima dalam berinteraksi dengan ayat-ayat mutashabihat ini ialah tafwidh dan takwil dimana setiap daripadanya diaplikasikan mengikut kesesuaian dan tahap kefahaman mengikut lapisan masyarakat. Tahap kefahaman masyarakat terhadap akidah adalah berbeza-beza. Ada yang lemah tidak mampu untuk berfikir dan ada yang mempunyai akal yang cerdas. Oleh yang demikian, setiap individu memahami kefahaman akidah sesuai dengan tahap pemahaman mereka dan tiada taklif melebihi daripada kemampuan seseorang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Maqasid Akidah ini merupakan wacana baharu dalam ilmu Kalam kontemporari yang memberikan perhatian kepada sudut yang kadangkala diabaikan oleh sesetengah ilmuan dan pengkajinya. Ia bukan suatu perkara yang baharu yang tidak pernah dibahaskan, namun ia lebih kepada pendekatan memahami perbahasan akidah dengan konteks realiti semasa. Pemahaman terhadap ilmu ini akan dapat mengharmonikan perselisihan pandangan dan dapat menyelesaikan konflik yang berpanjangan dalam kalangan umat Islam. Oleh yang demikian, ilmu ini wajar diberikan perhatian dan dihayati demi kemaslahatan umat Islam secara keseluruhannya.

Wallahu a'lam