Soalan: Bilakah waktu azan solat jumaat? Adakah selepas waktu solat zohor atau selepasnya? Jika azan jumaat sebelum masuk waktu zohor adakah sah azan tersebut atau sebaliknya?
Jawapan:
Kami mulakan dengan pensyariatan azan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu).[1]
(Surah al-Jumuah: 9)
Hadith pula ialah, sabda Rasulullah SAW:
إِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَأَذِّنَا وَأَقِيمَا، ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمَا أَكْبَرُكُمَا
Maksudnya: “Apabila tiba waktu solat hendaklah seorang di kalangan kamu azan dan yang lebih dewasa menjadi imam.”
Riwayat al-Bukhari (602) dan Muslim (674)
Permulaan Syariat Azan
Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah. Ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Umar RA katanya: “Ketika orang Islam sampai di Madinah mereka berkumpul dan menantikan waktu bersolat. Tidak ada cara yang diserukan bagi solat tersebut. Suatu hari mereka berbincang tentang perkara itu. Sebahagian daripada mereka mencadangkan loceng digunakan sebagai loceng orang Nasrani, dan sebahagian yang lain pula mengatakan serunai digunakan seperti trompet tanduk yang digunakan oleh orang Yahudi. Umar RA pula berkata: Kenapakah kamu tidak menyuruh seseorang menyerukan solat? Lalu Rasulullah SAW bersabda: Wahai Bilal, berdirilah dan serukan solat.”
Riwayat al-Bukhari (579) dan Muslim (377)
Dalam mazhab Syafie azan jumaat adalah selepas masuk waktunya. Adapun mazhab yang lain boleh dilakukan azan sebelum masuk waktu seperti mazhab Hanbali.
Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik. Amiin.
[1] Umar bin al-Khattab RA dan juga Ibn Mas’ud RA pernah membaca ayat tersebut dengan (فَامْضُوْا إِلَى ذِكْرِاللهِ). Sedangkan berjalan dengan cepat menuju solat telah dilarang, sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Sahihain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, beliau bersabda yang bermaksud:
“Jika kalian telah mendengar iqamah, berjalanlah untuk mengerjakan solat dengan tenang, dan janganlah kalian cepat-cepat. Solat yang kalian dapati, kerjakanlah dan sebahagian rakaat solat yang tertinggal, maka sempurnakanlah.” Riwayat al-Bukhari, Muslim dengan lafaz al-Bukhari