Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #529 : KELEBIHAN ISTIGHFAR REJAB

 

SOALAN

Mengenai hadith istighfar Rejab dan fadhilatnya, adakah ianya betul atau tidak yang mengatakan sesiapa yang membacanya akan memperoleh pahala 80 ribu nabi, 80 ribu siddiqin, 80 ribu malaikat, 80 ribu mati syahid dan 80 ribu pahala haji dan umrah.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Istighfar secara umumnya bermaksud memohon keampunan kepada Allah SWT selaku hamba kepada pencipta. Oleh itu, kita digalakkan untuk melafazkan istighfar dalam amalan seharian kita. Dalam hadith sahih, Nabi SAW beristigfar paling kurang 70 hingga 100 kali sehari.

Daripada Abu Hurairah RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لأَسْتَغْفِرُاللَّه وَأَ تُوْبُ إِلَيْهِ فِي الْيوْمِ أَكْثَرمِنْ سَبْعِيْنَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih dari tujuh puluh kali.  [Riwayat al-Bukhari  (6307)]

Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوْبُوْا إلَى اللَّهِ وَاسْتَغْفِرُوْهُ فَإِنِّي أَتُوْبُ فِي اليَوْمِ مِأَتَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampunan kepada-Nya, karena sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak seratus kali. [Riwayat Muslim (1452)]

Merujuk kepada soalan yang diajukan di atas, istighfar Rejab beserta fadhilat dan kelebihannya yang dilakukan khusus pada bulan Rejab tidak kami temui asal hadith tersebut tidak kami temui dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar.

 

Kesimpulan

Dalam kehidupan seharian kita, kita digalakkan untuk memperbanyakkan bacaan istighfar kepada Allah SWT berdasarkan hadith-hadith Nabi di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita dan memberi kita kekuatan dalam beramal.