Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI KE - 527: BOLEHKAH MANUSIA BERKAHWIN DENGAN JIN?

Soalan: Bolehkah manusia berkahwin dengan jin?

Jawapan: Manusia diciptakan Allah daripada tanah sedangkan jin diciptakan Allah daripada api. Hal ini dengan jelas daripada ayat yang banyak dan nas yang banyak. Antara tujuan ciptaan jin dan manusia adalah untuk beribadat kepada Allah. Firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”

(Surah al-Zariyat: 56)

Al-Maraghi berkata: “Sebahagian ahli tafsir berpendapat, supaya mereka tunduk dan merendah diri kepada-Ku iaitu golongan jin dan manusia hendaklah patuh kepada perintah Allah dan mengikut apa yang ditakdir kepadanya.” 

Berkenaan dengan isu perkahwinan antara jin dan manusia, terdapat 3 pandangan ulama’:

  • Hukumnya haram. Inilah pendapat Imam Ahmad, Imam al-Zuhri, al-Hakam, Qatadah, Hasan al-Basri, Hajjaj ibn Artat, Abu Hammad dan Imam al-Ghazali
  • Hukumnya makruh. Inilah pendapat Malik, Qatadah, al-Hakam, al-Hasan, Uqbah al-‘Asam, Ishak bin Rahawaih.
  • Hukumnya harus. Ini sebahagian pendapat ulama’ Syafie. Ini juga pandangan sebahagian salaf seperti al-Tha'labi, al-A'masy, Uthman ibn Sa’id al-Dari,

Al-Imam al-Munawi dalam Syarh al-Jami’ al-Saghir berkata: “Dalam al-Fatawa al-Sirajiyyah oleh ulama’ Hanafi, tidak harus perkahwinan antara jin dan manusia kerana berlainan jenis. Begitu juga dalam Fatawa al-Barizi di kalangan ulama’ Syafiiyah tidak harus berkahwin antara keduanya. Begitu juga pandangan ulama' Syafie yang mengharamkannya seperti al-Khatib al-Syarbini. Katanya, : “Pengharaman dalam perkahwinan itu ada dua; bersifat selama-lamanya atau selamanya. Antara bentuk perkahwinan yang diharamkan selama-lamanya adalah perkahwinan antara jenis yang berlaianan. Contohnya, tidak dibenarnya perkahwinan antara lelaki dari kalangan manusia dan perempuan dari kalangan jin (atau sebaliknya)."  Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/232

Kami berpendapat, tidak harus perkahwinan antara jin dan manusia kerana ia berlainan jenis dan juga tabiatnya. Sifat jin adalah tidak berjisim dan sifat manusia adalah berjisim. Ini berasaskan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 72:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan.

Mafhum daripada kenyataan ini menunjukkan kepada kita bahawa manusia dikurniakan Allah isteri dan suami mereka dari jenis mereka sendiri dan ia terbeza yang amat ketara antara manusia dan jin. Ini dijelaskan lagi dengan firman-Nya

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

(Surah al-Rum: 21)

Al-Syeikh al-Syanqiti menyebut : “Ayat ini juga menunjukkan bahawa Allah tidak menciptakan manusia untuk pasangan-pasangan mereka kecuali untuk jenis dan diri pasangan mereka sendiri. Lihat Adwa’ al-Bayan, 3/43.

Antara beberapa masalah yang timbul akibat membenarkan pernikahan antara manusia dan jin adalah:

  • Boleh terjerumus kepada banyaknya perzinaan dan kemudian dinisbahkan kandungan kepada alam jin.
  • Nikah memberi maksud untuk memperoleh zuriat dan kehidupan keluarga serta anak-anak. Kepada siapa untuk dinisbahkan mereka dan bagaimana penciptaan mereka?
  • Berinteraksi dengan jin seumpama ini tidak sunyi daripada pelbagai kemudaratan sedangkan Islam menggesa untuk memelihara keselamatan manusia.
  • Lebih parah lagi, ia membawa kepada membuka pintu kepada banyak persoalan yang tidak berkesudahan dan sukar diselesaikan. 

Semoga dengan penjelasan ini kita memahami agama kita dengan sebaik-baiknya. Amin.