Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI SIRI KE-526: BOLEHKAH NIKAH GANTUNG TERBATAL JIKA SUAMI ISTERI BERSAMA?

Soalan: Saya telah bernikah khitbah dengan isteri saya, isteri saya di Jordan dan kalau ade cuti semester dia akan balik. Masa dia balik Malaysia, saya akan balik rumah mak mertua saya untuk berjumpa beliau. Saya tido rumah mak mertua dalam 1 atau 2 malam,,kemudian saya balik semula ke rumah ayah saya. Adakah sudah terbatal nikah khitbah itu?

Jawapan:

Kami mulakan dengan takrif nikah. Nikah dari segi bahasa ialah dakap dan bertaut. Dikatakan pokok-pokok itu bernikah (dalam Bahasa Arab) bermaksud bertaut antara satu dengan yang lain. Sementara nikah pada syara’ pula ialah aqad yang mengharuskan hubungan suami isteri yang dibenarkan oleh syara’.

Ia diistilahkan sedemikian kerana nikah mengikat dan merapatkan hubungan individu. Orang Arab menggunakan lafaz nikah dengan maksud aqad bermesra dan persetubuhan. Namun, makna nikah yang sebenarnya (حقيقية النكاح) ialah aqad, manakala penggunaannya dengan makna persetubuhan adalah secara kiasan (مجاز). Walau bagaimanapun, al-Quran menggunakan lafaz nikah pada keseluruhannya dengan makna aqad pernikahan, bukan bermakna persetubuhan.  Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya, maka sekali-sekali tidak wajib atas mereka iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya.”

(Surah al-Ahzab: 49)

Maksud berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman adalah dengan beraqad nikah dengan mereka. Hal ini berdasarkan maksud ayat: “Kemudian, kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya,” iaitu menyetubuhinya. Lihat al-Fiqh al-Manhaji (terj.), 2/385-386.

Sebelum kami menjawab persoalan ini, suka kami nyatakan bahawa nikah khitbah tidak dibahaskan oleh fuqaha’ dengan panjang lebar. Ini kerana perkataan nikah memberi maksud tersendiri seperti yang telah dibahaskan di atas. Sedangkan khitbah pula memberi maksud pertunangan. Justeru, seolah-olah ia mengambil hukum nikah dari sudut berlakunya akad nikah tetapi masih dihadkan untuk bersama suami isteri kerana mengambil hukum khitbah iaitu pertunangan. Mungkin lafaz yang lebih ma'ruf dalam masyarakat kita adalah nikah gantung.

Dalam hal ini, kami nyatakan bahawa apabila termateri akad nikah antara pasangan suami isteri dengan lafaz ijab dan qabul, maka halallah semuanya termasuk bersama antara suami isteri. Ini berdasarkan kepada makna nikah itu sendiri mengikut takrifan fuqaha’ samada dengan makna aqad atau bersetubuh pada mazhab yang lain.

Dalam hadis, Nabi SAW bersabda

فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ، وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ

Maksudnya: “Maka sesungguhnya kamu mengambil mereka (isteri-isteri kamu) dengan amanah Allah. Dan kamu halalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.”

Riwayat Muslim (1218)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan selepas akad nikah maka hukumnya adalah halal bagi suami isteri untuk bersama tetapi, jika mereka bersetuju untuk tidak bersama kerana beberapa sebab seperti masih belajar atau kerana tempat berjauhan yang memerlukan tempoh dan sedikit masa untuk bersama, dalam hal ini para ulama’ mempunyai 2 pandangan:

  • Jumhur ulama’ berpendapat nafkah zahir hanya wajib diberi kepada isteri apabila ia menyerahkan dirinya kepada suami sedangkan nikah seperti ini masih lagi suami tidak boleh bersedap-sedap dan bersama dengan isterinya.
  • Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hazm bahawa nafkah zahir wajib diberi tatkala berlakunya akad kerana sah menjadi suami isteri dan wajib ke atas suami menafkahkan yang zahir ke atas isterinya.

Kami berpendapat, dalam isu ini amat perlu perundingan dengan sebaik mungkin agar kebertanggungjawaban antara suami isteri dalam menunaikan hak pasangan masing-masing dapat dilaksanakan dengan baik. Kami juga berpendapat sewajarnya tiada perlu bagi kedua ibu bapa atau pasangan membuat syarat-syarat yang secara tidak langsung menafikan maksud nikah itu sendiri.