Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #268: NAZAR DENGAN TA'LIQ MAKSIAT

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 268 (12 MEI 2016 M / 5 SYAABAN 1437 H)

SOALAN:

Assalam ustaz. Baru baru ini saya ada bernazar sekiranya saya mengeluarkan kata-kata kesat, saya menghukum diri saya dengan bernazar bahawa saya akan sedekah RM10 dlm hari itu juga kerana saya merasakan bahawa ketika itu saya mampu lakukannya..

Tapi ustaz selepas beberapa ketika saya merasakan janji itu berat dan saya bernazar atas sebab yg sama dgn wang yang lebih ringan.

Adakah saya prlu membayar kifarah atas sebab membatalkan nazar?

Mohon pencerahan ustaz

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Pertama sekali kita perlu mengetahui hakikat nazar. Nasar daripada segi bahasa ialah diambil daripada perkataan indzar, yang bererti menyampaikan dan memberi pengetahuan dengan perkara yang ditakuti. Manakala maksud daripada segi istilah syarak ialah:

ٍاِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam Syarak, sama ada secara mutlak, atau pun dengan menta’liqkan (yakni mengkaitkan) dengan suatu perkara. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (2/501)

Dalam kata lain, bernazar termasuk apa-apa perkara ketaatan kepada Allah SWT yang dibuat kerana mendapat suatu kebaikan atau terlepas daripada perkara yang buruk. Misalnya seseorang berkata, ‘ Jika aku berjaya mendapat 10A dalam SPM, aku akan berpuasa sunat tiga hari’.

Nazar itu terbahagi kepada tiga jenis:
1) Nazar al-Lajaj. Seseorang bernazar dengan maksud menegah dirinya atau orang lain daripada melakukan sesuatu, atau berlaku tahqiq (keberlakukan) bagi suatu berita. Contohnya, ‘Kalau aku bercakap dengan dia’ atau ‘Kalau aku tidak bercakap dengan dia’ atau, ‘Kalau dia tidak bercakap dengan aku’ atau, ‘Kalau berita itu betul’, ‘nescaya aku akan berpuasa’.
2) Nazar al-Mujazah. Seseorang itu bernazar dengan maksudnya jika datang suatu nikmat atau terhindar suatu perkara yang buruk.
3) Nazar Mutlak. Seseorang itu bernazar secara mutlak untuk melakukan suatu qurbah tanpa mengaitkan dengan sesuatu.

Nazar jenis kedua dan ketiga dimasukkan dalam kategori nazar al-tabarrur, yakni tidak boleh dikafarahkan dan perlu dilaksanakan apa yang dinazarkan meskipun dengan bertangguh.

Manakala Nazar al-Lajaj jenis pertama, sifatnya menyerupai sumpah, justeru diberi pilihan sama ada dilaksanakan apa yang dinazarkan atau dilaksanakan kaffarah sumpah, yakni membebaskan hamba, atau memberi makan sepuluh orang miskin dengan kadar satu cupak (kira-kira 600gram) biji-bijian makanan asasi seperti beras dan gandum, atau memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin. Jika dia tidak mampu kerana dia kefakiran atau melebihi tanggungan nafkah drinya dan keluarganya, maka dibenarkan berpuasa tiga hari.

Situasi penanya ialah nazar al-Lajaj. Sewajarnya nazar seperti ini tidak dilakukan kerana membawa faham seolah-olah jika seseorang itu bernazar daripada melakukan suatu maksiat, dia “menghalalkan” perbuatan maksiatnya dengan menebusnya dengan membayar kaffarah. Padahal dia tetap berdosa dan wajib baginya taubat. Hanya Allah yang berhak mengampuninya, bukan dengan kaffarahnya.

Juga dosa berkata-kata kesat ini sememangnya termaktub dalam Syarak. Firman Allah SWT:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”

(Surah al-Baqarah, 2:83)

Firman Allah SWT lagi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

(Surah al-Hujurah, 49:11)

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِطَعَّانٍ، وَلَا بِلَعَّانٍ، وَلَا الْفَاحِشِ الْبَذِيءِ

Maksudnya: Bukan daripada kalangan orang yang sempurna imannya mereka yang suka mencela, suka melaknat dan suka berkata-kata kotor.

Hadis riwayat Imam Ahmad (3839)

Oleh itu hendaklah kita tinggalkan perkataan-perkataan kesat dan bukan sekadar dijadikan ta’liq dalam nazar. Ini supaya kita tidak terjerumus menjadikan maksiat sebagai perkara yang dinazarkan. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaati Allah, manakala barangsiapa yang bernazar untuk bermaksiat melawan Allah maka janganlah dia bermaksiat kepada-Nya.

Hadis riwayat al-Bukhari (6696)

Sekalipun begitu, hendaklah kita mengetahui bahawa secara umumnya cara bertaubat itu termasuklah melakukan islah yakni memperbanyakkan amalan baik seperti solat, berpuasa dan bersedekah, seperti firman Allah SWT:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan

(Surah Hud, 11:114)

Semoga segala amalan dan taubat kita diterima Allah Azza wa Jalla dan dihindari-Nya daripada kekufuran dan maksiat.

Wallhua’lam.

 

Imej diperoleh dari OpenClipArt