Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #399 : MENUDUH SESEORANG BERZINA KERANA PENGAKUAN ORANG LAIN

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 399 ( 11 OKTOBER 2016 M / 10 MUHARRAM 1438 H)

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz...teman tu ingin brtanya suami dia pernah bercinta dgn janda ank dua...c suami ckp dia pernah trlanjur dgn janda tu...mereka brcinta selama 8 tahun...c isteri telah brcakap dgn janda tu.....kau berzina dgn suami ku kan....sekarang ni...c isteri tu ada ka dia brdosa....dan dikra mnuduh c janda tadi....wajib ka teman saya tu meminta maaf...klau tidak.....isteri tadi brdosa...dan Allah tk mnerima taubat isteri tu....sekiranya janda tersebut tak memaafkan..

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt, menuduh orang berzina jatuh di bawah kesalahan qazaf yang mana menurut undang-undang Islam boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali sebatan, melainkan mendapat bukti sepert pengakuan atau saksi. Dalam kes di atas, si suami mengaku bahawa pernah terjadi penzinaan antara dia dan seorang janda sewaktu mereka berhubungan suatu ketika dahulu. Namun, tidak disebut bahawa wanita itu juga mengakuinya. Justeru, ada kemungkinan bahawa lelaki itu juga berbohong apatahlagi jika tiada saksi.
Hal ini sangat serius kerana melibatkan maruah seorang manusia dan Muslim. Jika benar sekalipun penzinaan itu pernah dilakukan, Islam amat menggalakkan taubat dan menutup aib daripada disebar kepada umum. Ini kerana Allah SWT itu sifat-Nya Maha Pengampun dan menutup aib hamba-Nya yang telah bertaubat. Allah berfirman:

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah al-Nur, 24:5

Imran bin al-Hussain al-Khuzaie RA meriwayatkan bahawa seorang wanita yang berzina lalu meninggal kerana hukuman rejam dan disolatkan oleh Rasulullah SAW. Saidina Umar kehairanan lalu bertanya:

تُصَلِّى عَلَيْهَا يَا نَبِىَّ اللَّهِ وَقَدْ زَنَتْ
Maksudnya: Engkau telah bersolat ke atasnya wahai Nabi Allah sedangkan dia telah berzina?

Jawab Nabi:

لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِينَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ لَوَسِعَتْهُمْ وَهَلْ وَجَدْتَ تَوْبَةً أَفْضَلَ مِنْ أَنْ جَادَتْ بِنَفْسِهَا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sesungguhnya dia telah benar-benar bertaubat yang kalau diagih-agihkan bahagian taubat itu kepada 70 orang penduduk Madinah nescaya akan mencukupi mereka, apakah engkau jumpa suatu taubat yang lebih utama daripada seseorang yang sanggup menggadaikan nyawa kerana Allah Taala?.

Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahih-nya (1696)

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda:

ومَن ستَرَ مسلمًا ستَرَه اللهُ يومَ القيامةِ
Maksudnya: Dan barangsiapa menutup keaiban seorang Muslim, Allah akan menutup keaibannya di Hari Akhirat.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahih-nya (2442)

Sebaiknya, perkara itu berhenti setakat itu sahaja, dan si isteri itu wajar memohon maaf, jika itu tidak lagi mengeruhkan keadaan. Jika janda tersebut menafikan hubungan zina dan tidak memaafkannya lantaran tuduhannya itu, berusahalah memperbaiki hubungan seperti memberi hadiah, menceritakan perkara yang baik tentang janda itu, dan mempertahankan maruahnya. Dengan itu, mudahan janda itu akan berlembut hati dan Allah SWT menerima penyesalan kita.

Wallahua’lam.