Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

HUKUM PERLEBARAN TEMPAT SA`I

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 123 (15 DISEMBER 2015 / BERSAMAAN 4 RABIULAWAL 1437H)

 

SOALAN:

Assalaamualaikum tuan,

Saya ada membaca artikel yang mendakwa pelebaran mas'a yang dilakukan oleh Kerajaan Arab Saudi tidak sah dan sesiapa yang bersa'i di kawasan itu tidak sah sa'inya. Mohon Al-Fadhil Dr menjelaskan.

Terima kasih.

 

JAWAPAN:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

 

Boleh dan sah. Kami telah jawab dengan panjang lebar dalam Muzakarah Haji peringkat Kebangsaan:

Pembesaran al-Masʿa: Hukumnya[1]

 

Pertama: Sejarah Mas`a

Sebenarnya Mas`a mempunyai sejarah yang panjang dan lama sejak daripada peristiwa Hajar, ibu kepada Nabi Ismail AS yang melakukan sa`ie daripada Safa dan Marwah semata-mata mencari air untuk menyelamatkan keadaan anaknya yang ketika itu dalam keadaan kritikal kehausan kerana habis bekalan dan air. Kisahnya banyak dirakamkan dalam Qasas al-Anbiya’.

Syeikh Sya`rawi di dalam tafsirnya menyebut: Dua bukit Safa mengingatkan nostalgia lama bagaimana Saidatina Hajar iaitu ibu Ismail AS sedang berulang alik antara keduanya mencari air untuk anaknya selepas ditinggalkan kedua-duanya oleh Ibrahim di sisi Baitullah al-Haram. Bagaimana fikiran seorang perempuan ketika ditinggalkan suaminya bersama dengan anak yang masih kecil di tempat yang tidak mempunyai makanan dan sumber air? Di sinilah ucapan Hajar yang masyhur: Kepada siapa kamu serahkan kami, adakah Allah yang perintahkan kamu demikian itu? Lantas jawab Ibrahim: Ya. Dengan penuh yakin, isteri soleh itu berkata: Kalau begitu Allah SWT tidak akan mengabaikan kami. Justeru dia terkaya dengan Khaliq daripada makhluk.

Seperti yang diketahui Mas`a ialah ruang tempat sa`ie yang terletak di antara Bukit Safa dan Marwah. Sa`ie adalah termasuk dalam rukun ibadah haji dan umrah. Tanah tempat sa`ie ini, asalnya merupakan tanah yang berliku, curam dan tidak rata. Pembaikan dan pembaharuannya dilakukan sedikit demi sedkit sepanjang sejarah sehingga keadaannya seperti hari ini.

Sebelum ini Mas`a seperti Masjid al-Haram tidak bersambung dan dipisahkan oleh bangunan-bangunan. Ia terletak di kawasan pasar yang di kiri kanannya terdapat kedai-kedai dan para penjaja. Jadi pada waktu itu orang bersa’ie dengan dengan kesibukan di tengah-tengah deretan kedai. Lihat al-Tarikh al-Qawim (6/112).

Sebenarnya banyak buku sejarah yang membicarakan berkenaan dengan Masjid al-Haram, Makkah dan termasuk Mas`a itu sendiri. Sama ada dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Melayu.

 

Kedua: Definisi Bukit Sofa’, Bukit Marwah dan Sa’i

Oleh kerana salah satu daripada rukun haji atau umrah adalah bersa`ie dan antara syaratnya mestilah bersa`ie antara bukit Safa’ dan Marwah, maka penulis ingin mengemukakan definisi tiga perkara di atas.

 

1. Bukit Safa’

Bukit Safa’, dibaca dengan baris atas atau dipendekkan apabila dijama’kannya menjadi Sofah iaitu batu yang melintang dan licin atau disebut batu yang licin, keras yang bercampur dengan batu-batu kecil dan pasir. Lihat Mu’jam Ma’alim al-Hijaz Makkah al-Mukarramah (hal. 143). Al-Jauzi berkata: Safa adalah batu yang keras yang tidak ditumbuhi oleh sesuatu pun. Lihat Hudud al-Safa wa al-Marwah (hal 23). Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki berkata: Safa adalah salah satu dari dua bukit tempat sa`ie iaitu Safa’ dan Marwah. Mu’jam al-Manasik ala Mazhabi al-Imam Malik (hal 101).

Berdasarkan takrif di atas jelas Safa merupakan sebuah bukit yang tinggi kedudukannya pada Jabal Abi Qubais berada di selatan masjid berhampiran dengan pintu al-Safa’ yang menjadi permulaan Sa`ie. al-Balaziri berkata: Ia adalah kawasan yang tinggi daripada Jabal Qubais terbentang dengan lembah Masjid al-Haram.

Al-Qurtubi berkata: Disebut dengan Safa dan Marwah dengan lafaz makrifah sebagai tanda bukit yang makruf dan dikenali di Kota Makkah. Disebut Safa kerana Adam AS al-Mustafa (yang terpilih) pernah berhenti di atasnya lantas dinamakan dengannya. Sedangkan Hawa’ berhenti di atas Marwah, justeru dinamakan dengan Marwah dan dimuannaskan dengan demikian itu. Lihat al-Jami` li Ahkam al-Quran (1/309).

 

2. Bukit Marwah.

 Bukit Marwah ialah batu yang putih bercahaya lagi pejal atau kuat yang bercerakah. Ia adalah bukit yag dimuliakan Allah SWT. Lihat Lisan al-Arab 15/275 dan Taj al-Aruz (39/530). Fairuz Abadi memberi definisi Marwah dengan batu yang putih bercahaya merupakan bukit di Makkah al-Mukarramah, disebut bersama Safa’ dan Allah menyebut kedua-duanya dalam kitab-Nya yang mulia. Lihat al-Qamus al-Muhit hal (1719).

 

Al-Asmui berkata ; “Dinamakan dengan bukit Marwah kerana batunya putih dan berkilauan.

  1. Yusuf al-Amili berkata : Marwah pada asalnya ialah batu yang keras dan asal daripada sebuah bukit yang terletak di sebelah timur laut daripada masjid. Mu’jam al-Manasik ala Mazhabi al-Imam Malik (hal 101).
  2. Dr. Syauqi Abu Khalil berkata: Marwah terletak di sebelah Makkah al-Mukarramah yang berhampiran dengan Qu`aiqian yang menjadi kesudahan tempat sa`ie dari sebelah utara. Lihat Atlas al-Hadith al-Nabawi (hal. 339).

 

Berdasarkan kepada takrif di atas jelas menunjukkan bahawa Marwah merupakan sebuah bukit yang berhampiran dengan Kaabah al-Musyarrafah yang sekarang bersambung dengan binaan Masjid al-Haram selepas diperbesarkannya.

 

3. Sa`ie

 

Sa`ie pada bahasa ialah bekerja dan juga diberi maksud dengan cepat dapat perjalanan iaitu berlari. Sedangkan sa`ie antara Safa’ dan Marwah ialah Tawaf antara keduanya. (Mu’jam Lughah al-Fuqaha’). Sa`ie juga dengan maksud apa-apa pekerjaan yang dilakukan atau usaha dan digunakan juga dengan maksud berjalan banyak sebagaimana yang tercatat dalam firman-Nya:

وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٞ يَسۡعَىٰ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ

Maksudnya: Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: "Wahai kaumku! Turutlah rasul-rasul itu.”

(Surah Yasin: 20)

  1. Mengikut Sa`di Abu Jaib, antara maksud sa`ie itu ialah kerja, usaha dan mengambil upah. Lihat al-Qamus al-Fiqhi Lughtan wa Istilahan (hal. 173).
  2. Pada istilahnya iaitu berjalan antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pergi dan balik selepas tawaf haji dan umrah. Lihat al-Muhazzab (2/769).
  3. Amalan sa`ie adalah wajib mengikut pendapat ulama’ Hanafi. Sedangkan ia menjadi rukun mengikut jumhur ulama’ termasuk mazhab Syafi’e. (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 3/180).

 

Ketiga : Hukum melakukan sa`ie ditingkat atas Mas`a.

Sebelum dibincangkan hukum berkenaan dengan sa`ie di tingkat atas, suka dinyatakan di sini bahawa isu ini tidak timbul kecuali selepas pembesaran Masjid al-Haram dan dibina bertingkat-tingkat termasuk kawasan sa`ie atau mas`a yang juga dibina bersambung dengan Masjid al-Haram. Justeru, hal ini menjadi persoalan, adakah sah atau tidak bersa`ie di tingkat atas.

Surat pertanyaan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi (bil. 26/10612) yang bertarikh 21/3/1393H ditujukan kepada Lembaga Ulama Besar Arab saudi.

Ahli Majlis Ulama Besar Arab Saudi dalam Persidangan ke-4, pada 29/10/1393H dan 12/11/1393H telah membuat keputusan: “Harus melakukan sa`ie di tingkat atas jika perlu dengan syarat seseorang mesti melalui semua jarak di antara Safa’ dan Marwah dan tidak keluar daripada sempadan kawasan Mas`a. Begtu juga kerana terlalu ramainya manusia di tempat sa`ie atau mas`a, khususnya pada musim haji.” Lihat Abhas Hai’ah Kibar al-Ulama (1/7).

Penulis bersetuju dengan pendapat bahawa sa`ie di tingkat atas adalah diharuskan dan dibolehkan sama seperti tawaf pada tingkat atas masjid. Ini berdasarkan kepada masyaqqah yang mengheret ke arah kemudahan. Begitu juga kebanyakan ulama’ yang mengunjungi Kaabah menerima pendapat atau pandangan yang mengharuskannya.

 

Keempat : Adakah Mas`a termasuk dalam hukum Masjid al-Haram.

Mungkin timbul persoalan, adakah Mas`a termasuk dalam masjid al-Haram dan mengambil hukumnya seperti hendaklah perempuan yang berada di dalamnya suci daripada haidh. Ini menjad perbincangan di kalangan ulama’ dan juga di dalam kitab-kitab feqah.

Al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami (Islamic Fiqh Council) dibawah Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam persidangannya ke-14 pada 20 Syaaban 1415H bersamaan 21 Januari 1995 telah membuat keputusan dengan pendapat ramai : “Bahawa Mas`a selepas dibina bersambung dengan binaan Masjid al-Haram tidak termasuk dalam binaan dan hukum Masjid al-Haram”.

Mas`a ialah suatu masy’ar (tempat ibadat) yang tersendiri, Allah SWT berfirman :

إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِۖ

Maksudnya : Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah.

( Surah al-Baqarah : 158)

 

Begitu juga mengikut pendapat jumhur ulama’ antaranya ialah imam mazhab empat. Dari segi hukum adalah harus melakukan solat padanya dan berimamkan imam Masjid al-Haram, sama seperti tempat suci lain. Orang yang berhadas besar, haidh, junub boleh duduk dan melakukan sa`ie, namun adalah disunatkan untuk melakukan  sa`ie dengan berwudhuk.

 

Kelima : Hukum Pembesaran Mas`a

Pada tahun 1428H atau 2007M pula, Kerajaan Arab Saudi telah membesarkan Mas`a dengan menambah sebuah bangunan baru bersebelahan dengan bangunan yang lama. Kemudian diruntuhkan bangunan lama untuk dibina bangunan baru yang sama dengannya.

Pembesaran ini telah menimbulkan perbezaan pendapat  di kalangan ramai ulama’. Ia dibantah oleh kebanyakan anggota Ulama’ Besar Arab Saudi berdasarkan fatwa lama yang dibuat oleh mantan mufti Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Latif Al al-Syeikh  Rahimahullah. Ia juga mendapat sokongan daripada sebahagian ulama’ seperti Sheikh Abdullah al-Mani’ dan lain-lain. Ini kerana masalah ini adalah dianggap sebagai baru dan tidak menepati realiti sebenarnya. Antara mereka yang menentang pada peringkat awalnya ialah Syeikh Solah al-Luhaidan, Pengerusi Majlis Mahkamah Tinggi Arab Saudi, al-Syeikh Soleh al-Fauzan yang termasuk di kalangan ulama’ besar Arab Saudi, Syeikh Abdul Rahman Nasir al-Barrak dan beberapa ulama’ lain.

Tetapi mengikut keputusan ulama’ besar Arab Saudi yang dipimpin oleh Samahah al-Syeikh Abdul Aziz Al al-Syeikh yang bersidang pada 22/2/1427H yang dibuat keputusan bilangan 227 mengharuskan sa`ie di tempat Mas`a yang baru dengan pendapat majoriti di kalangan ulama’. Antara yang menyokong pendapat ini ialah Syeikh Abdullah Jibrin dan Syeikh Abdullah al-Mani’, anggota Fatwa Arab Saudi.

Antara alasan mereka ialah berdasarkan persaksian yang dibuat oleh mereka yang pernah tinggal di atas Bukit Safa dan Marwah, bahawa dua bukit itu adalah sebuah bukit yang besar pada asalnya. Ini bermakna perluasan yang dibuat itu masih dalam kawasannya dan tidak terkeluar dari tempat yang diperintahkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَآئِرِ ٱللَّهِۖ فَمَنۡ حَجَّ ٱلۡبَيۡتَ أَوِ ٱعۡتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَاۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيۡرٗا فَإِنَّ ٱللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah. Maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa’i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya.

(Surah al-Baqarah: 158)

Syeikh Dr. Aidh al-Qarni pada 6 Mei 2008M menjawab persoalan ini dengan pendapat yang harus bahawa Mas`a dibesarkan kerana bertepatan dengan maqasid al-syariah al-Islamiyyah dan qawaid usul al-fiqh.

Al-`Allamah Abdullah bin Bayyah pada 13 Jun 2008M ketika menjawab persoalan ini mengharuskannya pembesaran Mas`a dengan tiga alasan. Antaranya, menyokong kaedah sambung dengan yang disambung memberi hukum sambungan. Imam al-Juwaini dalam Nihayah al-Matlab bersetuju pembesaran tempat tawaf yang dilakukan pada zaman Harun al-Rasyid. Begitu juga dengan kaedah menolak kemudharatan sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Syatibi.

Pendapat ini juga telah mendapat sokongan daripada ulama’ antarabangsa seperti Dr. Yusuf al-Qardhawi, dalam satu kenyataannya yang termaktub dalam lawan web beliau iaitu www.qaradawi.net ketika ditanya berkenaan tindakan Kerajaan Arab Saudi itu. Beliau menyatakan keizinan itu adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT :

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Maksudnya : Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

( Surah al-Baqarah: 185)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ

Maksudnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Hajj: 78)

Juga sabda Nabi SAW yang bermaksud :

 

إنَمَا بُعِثْتُمْ مُيسرِيْنَ وَلم تُبْعَثُوْا مُعَسِّرِيْنَ

Maksudnya : “Kamu dibangkitkan dalam keadaan senang, dan kamu tidak dibangkitkan dalam keadaan kesusahan”.

Sahih al-Bukhari (213)

 

Allah SWT menyatakan dalam al-Quran tentang “jangka tempat” sa`ie itu iaitu antara Safa’ dan Marwah, tanpa Allah SWT menyatakan “lebar laluan” ke Safa dan “lebar laluan” ke Marwah. Oleh itu tidak menjadi satu kesalahan bagi Kerajaan Arab Saudi memperuaskan tempat sa`ie antara Safa dan Marwah. Ini kerana, tidak terdapat nas yang  mengharamkan perbuatan memperluaskan tempat sa`ie, bahkan yang wujudnya adalah nas yang menguatkan lagi dalil keizinan memperluaskannya dengan alasan “agama” Islam adalah agama yang mudah”.

 

Tarjih

Penulis bersama dengan panel Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji bersetuju bahawa perluasan Mas`a dibolehkan dan menerima pendapat yang membenarkannya. Ini kerana alasan yang banyak seperti fatwa oleh sebahagian besar ulama’ terkemuka dunia. Antaranya:

Dr Wahbah al-Zuhaili pada 20 November 2008, bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memfatwakan harus pembesaran Mas`a. Antara alasan ialah kerana  :

Pertama : Jaraknya adalah sama.

Kedua : Tempatnya adalah sama kecuali dilebarkannya.

Ketiga : Maslahat masa kini dan menepati kaedah

الأَمْرُ إِذَا ضَاقَ إِتَّسَع

Maksudnya : Perkara atau urusan jika sempit hendaklah diperluaskan.

Keempat : Keperluan semasa yang mendesak dengan  pertambahan Dhuyuf al-Rahman yang begitu ketara. Hal ini memerlukan kepada penambahan dan pembesaran al-Mas`a.

Kelima : Dengan merenung dan memahami perkataan Safa dan Marwah yang merujuk kepada bukit, sudah pasti terbayang bahawa ia bersifat besar dan melebar kecuali degan pembangunan yang begitu pesat selepas dilebarkan masjid dan dibesarkannya menyebabkan Mas`a bersambung dengan masjid, begitu juga berlaku penarahan bukit tersebut. Akhirnya, ia menjadi kecil dan terhad yang dilingkungi oleh tembok masjid. Justeru, jarak antara Safa dan Marwah tetap sama kecuali sebelah tepi yang sudah hilang kerana tarahan tanah tersebut. Hukum yang asal seolah-olah masih lagi bersa`ie antara Safa dan Marwah.

Keenam: Di dalam Kertas Kerja Tambahan: Kajian Dasar Syar`ie, Perluasan Mas`a, Jamarat dan Mabit di Luar Mina menyebut: “Perluasan Mas`a daripada 20 meter kepada 40 meter yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi pada tahun 1428H/2008M, dibolehkan menurut syara’, bahkan menurut sebahagian ulama’ merupakan aturan `azimah (hukum asal) buka rukhsah (hukum keringanan), berdasarkan pertimbangan-pertimbangan maqasid al-syariah termasuk pencegahan jatuhnya korban jiwa akibat berdesak-desakan dalam melaksanakan sa`ie, penyataan kesaksian sekitar 30 orang yang dapat dipercayai yang mengetahui keadaan Mas`a sebelum perluasan tahun 1955, penelitian geologi, tidak adanya nas yang sarih mengenai batas lebar Mas`a pada zaman Nabi sehingga dinding awalnya membentang lebih luas antara Bukit Safa dan Marwah yang ada sekarang, dengan mengilhaqkan bolehnya memperluas tempat tawaf melebihi yang ada pada zaman Nabi, pendapat sejumlah ulama’ terkemuka baik dari Kerajaan Arab Saudi mahupun dari negeri-negeri Muslim di dunia.”

Ketujuh: Antara tugas pemerintah, khalifah atau ketua negara seperti yang dinyatakan dalam kitab Siasah Syariyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah, Tahrir al-Ahkam apa yang wajib dilaksanakan oleh para pemerintah antaranya menjaga agama. Antara lain katanya:”Pemerintah juga mesti mendirikan syiar-syiar Islam seperti fardhu solat, solat jama` dan berjemaah, azan dan iqamat, penyampaian khutbah, menjadi imam dan begitu juga memberi perhatian kepada ibadat puasa dan berbuka serta penentuan bagi permualaannya. Ibadat haji dan umrah juga mesti disempurnakan dengan memberi perhatian kepada perayaan, penyediaan kemudahan kepada jemaah haji daripada berbagai negara, membaiki jalan-jalan dan memastikan keselamatan perjalanan mereka serta melantik orang tertentu untuk mengendalikan urusan mereka.” Lihat Fiqh al-Siasah al-Syariyyah (hal. 190-191)

Antara tugas pemerintah, khalifah atau Ketua Negara seperti yag dinyatakan dalam kitab Siasah Syariyyah, al-Ahkam al-Sultaniyyah, Tahrir al-Ahkam apa yang wajib dilaksanakan oleh para pemerintah antaranya memelihara agama. Antara lain katanya : “Pemerintah juga mesti mendirikan syiar-syiar Islam seperti fardhu solat, solat jama’ dan berjemaah, azan dan iqamat, penyampaian khutbah, menjadi imam dan begitu juga memberi perhatian kepada ibadat puasa dan berbuka serta penentuan bagi permulaannya. Ibadat haji dan umrah juga mesti di sempurnakan dengan memberi perhatian kepada perayaan, penyediaan kemudahan kepada jemaah haji daripada berbagai negara, membaiki jalan-jalan dan memastikan keselamatan perjalanan mereka serta melantik orang tertentu untuk mengendalikan urusan mereka.”(Fiqh al-Siasah al-Syariyyah hal 190-191)

 

[1] Penulis (S.S. Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri) telah ditaklifkan untuk membentangkan tajuk berkenaan “Pembesaran Mas`a: Hukumnya” dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan 2009 pada 3-5 April 2009 bertempat di Persada Johor, Pusat Konvensyen Antarabangsa, Johor Bharu. Dinyatakan di sini sebhagaian daripada intipati kertas kerja tersebut.  

Wallahuaʿlam