Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KENAPA MUFTI TIDAK JAWAB SOALAN SAYA?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 155 (15 JANUARI 2016 / BERSAMAAN 5 RABIULAKHIR 1437H)
 
 
SOALAN:
 
Assalamualaikum Ustaz,
 
Boleh saya bertanya satu perkara? Maaf kalau terkasar bahasa. Kenapa ustaz ada tidak menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh orang ramai? Adakah ustaz memiliki alasan khusus berbuat demikian?
 
Terima kasih.
 
JAWAPAN:
 
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
 
Alhamdulillah kami mengucapkan ribuan terima kasih atas pertanyaan ini. Untuk pengetahuan saudara, kami menjawab persoalan dalam isu-isu ilmiah dan berkaitan dengan agama serta hal yang ada kena-mengena dengan kehidupan kita ini.
 
Kadang-kadang kami tidak menjawab persoalan kerana beberapa sebab:
• Sudah ada keterangan daripada Ashab al-Samahah mufti-mufti yang menjawab persoalan yang dibangkitkan.
• Masalah tersebut telah dibincangkan secara umum dan terbuka telah diambil tindakan oleh pihak-pihak yang berautoriti.
• Persoalan itu bertujuan tertentu dan membawa kepada kepentingan seseorang.
• Kami cuba mengelakkan jika ditanya dan disebut nama ulama' dan pendapatnya. Ini kerana jika kami menjawab dengan jawapan berlainan, boleh jadi mentajrihkannya (melukakan maruahnya). Inilah biasa yang dinasihatkan guru kami Fadhilatul Syeikh al-'Allamah Dr. Muhammad Muhammad al-Mukhtar Al-Syanqiti.
• Mengambil pendapat kebanyakan ulama' Salaf yang menyebut "Aku tidak tahu separuh daripada ilmu".
• Tidak terlalu gopoh dalam berfatwa sebagaimana pesanan sebahagian ulama'"Orang yang paling berani di antara kalian dalam berfatwa adalah orang yang paling berani masuk neraka."
• Membaca kisah para sahabat seperti yang di nukilkan daripada Abdul Rahman Bin Abi Laila yang berkata: "Aku pernah bertemu dengan seratus orang Sahabat Rasulullah SAW dan ditanya mereka tentang persoalan. Dan tidak seseorang itu ditanya kecuali dia mengharapkan agar saudara dan sahabatnya menjawab baginya".
• Kadang-kadang kami melihat ada lagi yang berautoriti menjawab daripada kami seperti dalam isu pencemaran bauksit di Kuantan, isu yang berkaitan dengan keamanan negara, dasar luar negara, perlembagaan dan perundangan. Sejujurnya kami kurang arif dalam bab ini.
 
Justeru, dengan insaf, kami teringat satu kisah yang dinisbahkan kepada Imam kita, al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafie (w.204H) apabila beliau pernah ditanya berkenan suatu perkara, tetapi beliau diam sejenak dan berfikir. Dikatakan kepadanya : Tidakkah kau mahu menjawab? Balas beliau Rahimahullah :
 
حتى أدري الفضل في سكوتي أو في الجواب
 Maksudnya : Sehingga aku tahu kebaikan itu pada diamnya aku atau pada jawapanku. (Rujuk Sifat al Fatwa, Ibn Hamdan. Hlm. 10.)
 
Semoga dengan pencerahan ini, akan difahami oleh masyarakat dan kami hanya sejuzuk daripada juzuk besar masyarakat yang saling melengkapi dan menyempurnakan antara satu sama lain. Mohon maaf atas taksir dan kelemahan kami. Wallahua`lam.
 
 
Akhukum fillah,
 
S.S Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
15 Januari 2015 bersamaan 5 Rabiulakhir 1437H.