Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

bersyariat tetapi tidak kenal Allah?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 162 (21 JANUARI 2016 / BERSAMAAN 11 RABIULAKHIR 1437H)

Soalan:

Assalammualaikum Dato Mufti.

Persoalan saya apa yang dimaksudkan ‘kenal Allah tapi tidak kenal perintah-Nya’ dan ‘kenal perintah Allah tapi tidak kenal Allah’?

Terima kasih. Wassallam.

Jawapan:

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
 

Ini merupakan ibarat. Dalam bahasa Arab, ia disebut:

العارف بالله و العارف بالأمر الله

Al-Arif billah membawa maksud ‘orang yang mengenal Allah’. Ini termasuklah mahabbah kepada Allah Taala dan ilmu tauhid mengikut kaedah tasawuf. Seperti kata mereka: من عرف نفسه عرف ربه

Maksudnya: Barangsiapa yang mengenal dirinya maka dia mengenal Tuhan-nya.

 

Antara cara untuk mengenal Allah adalah dengan nazhar (merenung dengan teliti) ciptaan-ciptaan Allah Taala, seperti firman Allah Taala:

 

وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ

 

Maksudnya: Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?

(Surah al-Dzariyat, 51:21)

 

Firman Allah lagi:

 

أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ وَإِلَى السَّمَاءِ كَيْفَ رُفِعَتْ وَإِلَى الْجِبَالِ كَيْفَ نُصِبَتْ وَإِلَى الْأَرْضِ كَيْفَ سُطِحَتْ

Maksudnya: Tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

 (Surah al-Ghasyiah, 88:17-20)

Daripada Ibn Abbas, sabda Rasulullah SAW:

 

تفكَّرُوا فِي خَلْقِ اللهِ ولَا تَفَكَّرُوا فِي اللهِ

Maksudnya: Berfikirlah kamu tentang makhluk Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (Zat) Allah.

Sahih Al-Jami’ al-Saghir (2976). Hadis Hasan

Allah menyuruh kita melihat memerhati makhluk-Nya untuk mengenalinya, tetapi tidak Zat-Nya kerana tidak mampu dicapai oleh manusia. Firman Allah Taala:

 

لَّا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ ۖ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ

Maksudnya: Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

(Surah al-An`am, 6:103)

 

Manakala, al-`arif bil amriLlah membawa maksud ‘orang yang mengetahui perintah Allah’. Ini merujuk kepada golongan yang mengenal syariat, hukum hakam dan ketetapan yang datang dari Allah SWT. Golongan ini mengkaji Illah dalam hukum hakam, mengenalpasti maslahah untuk diraih dan mafsadah untuk dihindari. Mereka digelar ahli fiqh yang mahir dalam persoalan amalan seperti solat, puasa, dan zakat, 

 

Antara kedua-dua jenis makrifah ini, alangkah baiknya jika dapat digabungkan bersama kerana akan terzahirlah matlamat sebenar ajaran Islam itu pada diri seseorang. Berbanding jika ditinggalkan salah satunya, maka jadilah tidak seimbang.

 

Wallahua`lam.