AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 235 (31 MAC 2016 M / 22 JAMADILAKHIR 1437 H)
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz.
Saya ada masalah dengan was-was. saya rasa was-was saya dah sangat teruk sebab kadang-kadang saya rasa penat dengan was-was. Bila saya nak abaikan was-was tu, saya takut ibadah saya tak sah. Kadang-kadang, saya takut nanti Allah tak sayang saya macam mana nak atasi masalah ni?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Pertama sekali amat penting kita hadam dengan sebaik mungkin bahawa was-was ini adalah mainan syaitan, sedangkan syaitan itu secara nyata adalah musuh manusia. Firman Allah SWT:
أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَابَنِي آدَمَ أَنْ لَا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ * وَأَنِ اعْبُدُونِي هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ
Maksudnya: "Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! "Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.”
(Surah Yasin, 36:60-61)
Justeru, menentang syaitan ialah suatu kewajipan. Antara serangan syaitan itu sendiri ialah melalui was-was, seperti yang difirmankan Allah SWT:
الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ
Maksudnya: "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia”
(Surah al-Nas, 114:5)
Perangkap syaitan ini juga jika tidak dibendung boleh membawa kepada rosaknya aqidah. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَأْتِي أَحَدَكُمْ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ السَّمَاءَ؟ فَيَقُولُ: اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ الْأَرْضَ؟ فَيَقُولُ: اللهُ، فَيَقُولُ: مَنْ خَلَقَ اللهَ؟ فَإِذَا أَحَسَّ أَحَدُكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ ، فَلْيَقُلْ: آمَنْتُ بِاللهِ وَبِرُسُلِهِ
Maksudnya: Sesungguhnya syaitan akan datang kepada salah seorang daripada kalian lalu bertanya: Siapa yang menciptakan langit? Dia menjawab: Allah Azza wa Jalla. Lalu syaitan bertanya lagi: Siapa yang menjadikan bumi? Dia berkata: Allah. Syaitan bertanya lagi: Siapa yang menjadikan Allah? Jika salah seorang daripada kalian berasa sesuatu seperti itu maka katakanlah: Aku beriman dengan Allah dan dengan Rasul-Nya (dalam riwayat lain: beristi`azahlah, atau mohonlah perlindungan, dengan Allah nescaya bisikan itu akan pergi).
Hadis riwayat Ahmad (8376) dalam Musnad
Jika was-was berlaku dalam perhitungan rakaat solat, Rasulullah SAW mengajar cara berikut:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلَاتِهِ، فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلَاثًا أَمْ أَرْبَعًا، فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ، ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ، فَإِنْ كَانَ صَلَّى خَمْسًا شَفَعْنَ لَهُ صَلَاتَهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا لِأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيمًا لِلشَّيْطَانِ
Maksudnya: Jika salah seorang daripada kalian berasa syak dalam solatnya, dan dia tidak ingat berapa rakaat telah dia solat; tiga atau empat rakaat. Maka buanglah syak itu dan tetapkan diri atas apa yang dia yakini, kemudian dia sujud (sahwi) sebanyak dua rakaat sebelum (mengucapkan) salam, kerana jika dia solat sebanyak lima rakaat maka akan genap sempurnalah bagi dia solatnya, dan jika nyata dia solat empat rakaat, maka jadila dua sujud (sahwi) itu suatu penghinaan bagi syaitan.
Hadis riwayat Muslim (571) dalam Sahih-nya
Mengambil bilangan rakaat yang lebih dan sujud sahwi itu bertindak sebagai penghalang kepada bisikan syaitan.
Selain itu, bentuk was-was ini juga jika dibiarkan boleh terbawa-bawa dalam bentuk-bentuk lain, seperti basahnya pakaian kerana berulang-ulang mengambil wuduk dan menyusahkan orang lain contohnya dalam al-Fatihah dan takbiratul ihram yang kuat dan mengganggu. Nasihat kami, bahawa tinggalkan dan abaikan perasaan itu, dan bina keyakinan dengan belajar ilmu agama, juga berdoalah kepada Allah Azza wa Jalla, contohnya seperti yang diajar oleh Allah SWT:
رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحْضُرُونِ
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku"."Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku".
(Surah al-Mukminun, 23:97-98)
Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sepert yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R.anha:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ
Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.
Hadis riwayat Imam Ahmad (26133) dalam Musnad
Semoga Allah SWT mengurniakan kemudahan, ilmu dan ketenangan dalam kita beribadah. Amin. Wallahua`lam.