Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MEMBACA ZIKIR DAN DOA SELAIN BAHASA ARAB DI DALAM SUJUD

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 206 (7 MAC 2016 M / 27 JAMADILAWAL 1437 H)

SOALAN:

 

Assalamualaikum Datuk,

Saya tahu doa dan zikir yang dilafazkan ketika sujud perlu dalam bahasa arab. Sekiranya saya tidak tahu bahasa arab, hanya perlu berdoa dalam hati sahaja

Baru-baru ini saya dengar boleh lafazkan doa ketika sujud menggunakan bahasa yang kita faham. Saya perlukan pencerahan dari dato.

Terima Kasih.

 

JAWAPAN:

 

Waalaikumussalam wbt,

Berdoa sewaktu sujud dalam solat memang amat digalakkan dalam Islam. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ، وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: Keadaan paling rapat seorang hamba dengan Tuhan-nya adalah ketika dia bersujud, maka perbanyakkanlah kalian dengan berdoa (pada waktu sujud).

Hadis riwayat Muslim (482)

 

Namun begitu, ibadat solat ini ini sifatnya ta`abbudi dan tauqifi, yakni perlu bertepatan dengan cara yang diajarkan oleh Syarak. Daripada Malik bin Huwairith RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah kalian seperti mana kalian melihat aku solat.

Hadis riwayat al-Bukhari (7246)

Diketahui bahawa para sahabat yang bukan Arab seperti Salman al-Farisi, sendiri tidak solat dalam bahasa beliau yakni Parsi, sebaliknya beliau belajar dan beribadah menggunakan bahasa Arab. Tiada ulama yang berkata boleh membaca doa dalam sujud menggunakan bahasa selain Arab, melainkan pendapat-pendapat yang syaz dan janggal. Jika tidak mengetahui bahasa Arab, cukup berdoa di dalam bahasa yang difahami di dalam hati.

Juga kami menggalakkan agar para masyarakat untuk mempelajari bahasa Arab khususnya pada makna dan sebutan dalam solat kerana demikian lebih terkesan kepada hati dan membawa kepada khusyuk.

 

Wallahua`lam.