Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #465 : HUKUM SEWA BELI PENAPIS AIR

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Saya ada ambil pakej sewa beli penapis air yang mana bayaran bulanannya rm 103 termasuk pakej servis tukar penapis air selama 5 tahun dengan jumlah keseluruhannya selama 5 tahun itu adalah rm 6180. Namun jika saya membeli secara tunai hanya rm3342 dengan servis tukar penapis selama 2 tahun. Adakah jual beli melalui sistem ini termasuk riba? 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Isu pertama ialah bagaimanakah bentuk kontrak transaksi itu. Jika ia melibatkan dua kontrak dalam satu transaksi maka ia akan mendatangkan masalah dalam keabsahan kontrak. Dalam erti kata lain, dua kontrak disebut dalam satu lafaz akad bagi waktu yang sama. Contohnya:

“Aku jual tanah ini dengan harga RM1000 tunai, dan dengan RM2000 secara ansuran atau selama setahun.”

Kemudian, pembeli bersetuju dengan kontrak itu sama ada secara tunai atau ansuran. Kontrak ini diharamkan Syarak dan dianggap terbatal kerana harga tidak ditentukan dalam suatu lafaz yang sama. Daripada Abu Hurairah RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang daripada meletakkan dua (harga) akad dalam satu (sighah) akad.

Hadis riwayat Imam al-Nasaie (4632)

Namun begitu, jika ditawarkan dua harga kontrak dalam dua sighah akad berbeza bagi satu barang, sama ada secara tunai atau ansuran, maka hukum tawaran itu adalah harus dan sah jika pembeli memilih salah satu daripadanya. Contohnya;

“Aku tawarkan kau untuk membeli tanah ini dengan harga RM1000 tunai,” atau;

“Aku tawarkan kau untuk membeli tanah ini dengan harga RM2000 secara ansuran.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (6/37)

Berhubung dengan soalan di atas, jika dua harga itu dalam kontrak yang sama maka batallah kontrak itu, manakala jika dua harga itu bagi dua kontrak yang berbeza maka dibenarkan dan sah salah satu kontrak tersebut.

Isu kedua ialah kontrak sewa beli tersebut hendaklah berlaku dalam dua kontrak yang berasingan. Haram dan terbatallah jika sewa beli itu dilakukan dalam kontrak yang sama. Kontrak itu boleh mengambil konsep al-Ijarah thumma al-Bay’ (AITAB) yang diguna pakai dalam fiqh muamalat moden.

Rujuk Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam (ms. 25-26)

Wallahua’lam.