Soalan:
Apakah hukum mencabut gigi asal disebabkan jongang dan digantikan dengan gigi palsu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Gigi yang jongang ataupun malocclusion mengikut istilah perubatan boleh terjadi disebabkan oleh dua perkara:
- Berpunca dari tulang muka yang tidak normal (skeletal).
- Berpunca dari gigi itu sendiri (dental).
Jadi, sebelum mencabutnya dan digantikan dengan gigi palsu, kami menasihatkan agar dibawa kes ini untuk dirujuk kepada pakar orthodontics kerana rawatan bagi gigi jongang ini berbeza mengikut sebab-sebab yang dinyatakan di atas.
Adakah Ianya Dikira Sebagai Mengubah Ciptaan Allah SWT?
Terdapat larangan yang jelas melalui al-Quran dan juga hadis Nabi SAW, melarang untuk mengubah ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَلَأُضِلَّنَّهُمۡ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمۡ وَلَأٓمُرَنَّهُمۡ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلۡأَنۡعَٰمِ وَلَأٓمُرَنَّهُمۡ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلۡقَ ٱللَّهِۚ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيۡطَٰنَ وَلِيّٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدۡ خَسِرَ خُسۡرَانٗا مُّبِينٗا
Maksudnya: dan aku benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka meubahnya". Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata.
(Al-Nisaa’: 119)
Difahami melalui ayat di atas sebahagian ahli tafsir iaitu terdapat larangan untuk menukar apa yang telah Allah SWT ciptakan dari rupa bentuk terhadap makhluk ciptaannya.[1] Bahkan dalam hadis yang lain, Nabi SAW telah melaknat golongan yang melakukan pengubahan terhadap tubuh badan seperti bertatu, menjarangkan gigi serta mengasahnya dan menipiskan bulu kening.
Mengubah ciptaan Allah SWT bukan sahaja mendapat laknat daripada Allah SWT dan Rasul-Nya, tetapi ianya juga merupakan satu pembaziran. Mereka sanggup menghabiskan banyak wang untuk kelihatan cantik dan dipandang oleh manusia tanpa mengambil berat terhadap hakikatnya dan mengutamakan jasad daripada roh.
Tetapi jika terdapat pada manusia itu sebarang kecacatan atau keaiban yang menyebabkan kesakitan pada anggota badan seperti lebihan daging dan seumpamanya yang menyebabkan sakit dan pedih, maka perkara seperti itu dibenarkan oleh Allah SWT untuk mengubahnya dengan tujuan untuk mengubati penyakitnya. Allah SWT tidak mahu menyusahkan hamba-Nya dalam berpegang kepada agama-Nya[2].
Sekiranya sesuatu yang ditukarkan itu atas dasar kecantikan maka syara’ melarangnya sepertimana nas hadis yang menunjukkan laknat Nabi SAW kepada golongan golongan wanita yang menjarangkan gigi dan juga mengasahnya. Adapun untuk menghilangkan ‘aib yang terdapat pada sesetengah orang seperti gigi yang tidak tersusun, jongang dan sebagainya maka dibolehkan untuk menghilangkan ‘aib tersebut namun perlulah mendapat nasihat daripada doktor yang pakar terlebih dahulu untuk melihat rawatan mana yang bersesuaian dengan keadaan gigi yang bermasalah tersebut. Wallahu a’lam.
[1] Lihat Tafsir Al-Waseet li Tantawi. Dar Nahdhah MIsr, (3/316)
[2] Ustaz al-Bahiy al-Khauli menyatakan di dalam kitabnya: Al-Mar’ah Baina al-Baiti wa al-Mujtama’ hlm. 105