Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #434 : HUKUM PEREMPUAN HAMIL BERPUASA

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 434 (4 NOVEMBER 2016 M / 4 SAFAR 1438H)

SOALAN:

Adakah wanita hamil wajib berpuasa? Saya mendengar wanita hamil tidak diwajibkan berpuasa tetapi hanya wajib qadha sahaja? Adakah benar kenyataan begitu?

JAWAPAN:

Puasa di dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada setiap umat Islam yang mencukupi segala syarat-syarat untuk berpuasa iaitu:

1) Islam
2) Baligh
3) Berakal
4) Sihat dan mampu untuk berpuasa
5) Bermuqim ( tidak bermusafir )

Apabila cukup segala syarat-syarat tersebut maka wajiblah bagi seseorang itu mengerjakan ibadah puasa.

Walau bagaimanapun bagi wanita yang hamil, adalah diharuskan baginya berbuka puasa dengan sebab-sebab yang tertentu:

1) Jika dia merasa takut berlaku mudarat ke atas dirinya sahaja atau takut ke atas dirinya dan anaknya, maka dalam hal ini wajib dia mengqadha puasa yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain seperti mana hal keadaan orang yang sakit.

Firman Allah Taala dalam Surah al-Baqarah, ayat 184:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Ertinya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam keadaan musafir (maka bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa mengqadha (sebanyak hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

2) Jika dia berasa takut akan berlaku mudharat ke atas anaknya sahaja, maka dalam hal ini boleh dia berbuka puasa tetapi wajib dia mengqadha puasa dan mengeluarkan fidyah sebanyak satu mud ( cupak ) bagi puasa yang ditinggalkan.

Firman Allah Taala dalam surah Al-Baqarah, ayat 184:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِين
Ertinya: “Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya untuk berpuasa ( kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu member makan kepada orang miskin.”

Kesimpulannya, wanita yang hamil juga diwajibkan berpuasa. Namun syarak memberi keringinan untuknya berbuka jika terdapat perkara-perkara yang disebutkan tadi. Semoga pencerahan ini dapat merungkai permasalahan saudari.

والله أعلم وأحكم