Soalan: Assalamuaaikum ustaz, apakah hukum menjadi Ejen Dropship?
Jawapan:
Dropship merupakan satu kaedah perniagaan di mana wakil penjual iaitu dikenali sebagai ejen akan mendapat keuntungan sekiranya berjaya membuat jualan. Secara ringkasnya, Dropship adalah apabila anda berniaga sesuatu produk dengan cara menjadi orang tengah dan menjual produk tersebut kepada pelanggan anda. Apabila anda menjalankan perniagaan secara dropship, anda tidak perlu menyimpan stok untuk jualan.
Ejen dan peniaga akan memeterai perjanjian dan menetapkan peratusan komisyen untuk ejen bagi setiap jualan. Selepas itu, ejen akan melakukan pengiklanan barangan tersebut sama ada di media sosial, media baharu dan sebagainya. Pembeli yang bersetuju untuk membeli akan membayar harga barangan itu kepada ejen. Seterusnya, ejen membayar kepada peniaga dengan jumlah setelah ditolak komisyen. Di akhirnya, peniaga akan menghantar barang kepada pembeli.
Kaedah perniagaan dropship seperti ini dilihat terbina atas kontrak ju’alah (result oriented) iaitu untung dibayar mengikut hasil kerja jika ejen berjaya membuat jualan. Ju’alah dari segi bahasa bermaksud hadiah atau upah. Manakala dari segi syarak pula ia merujuk kepada suatu iltizam (tanggung jawab) dalam bentuk janji memberikan imbalan upah tertentu secara sukarela terhadap orang yang berhasil melakukan perbuatan atau dihasilkan sesuai dengan yang diharapkan.
Ejen perlu memastikan bahawa barangan jualan ada dan ia bukan barang yang haram di sisi syarak. Ini penting untuk memastikan perniagaan yang dijalankan diberkati dan keuntungan yang diperoleh menjadi sumber rezeki yang halal.
Sekiranya barang tiada dan memerlukan tempahan, ia terikat dengan ketetapan dalam bai’ al-salam. Ejen perlu memastikan spesifikasi produk dapat disifatkan dengan tepat dan yakin wujud. Majoriti mazhab menyatakan bayaran tunai perlu dibuat di awal kontrak dan sesetengah ulama juga berpendapat tempoh siap produk juga perlu dinyatakan.
Oleh itu, kami nasihatkan kepada mereka yang terlibat adalam aktiviti Dropship ini agar berpegang kepada sifat jujur dan amanah dalam menguruskannya urus niaga seumpama ini agar kelak tidak mendatang kemudaratan kepada para pembeli. Maka ingatlah bahawa mereka (peniaga) yang jujur dan beramanah dalam berniaga tiada lain tempatnya melainkan dalam syurga Allah Taala.