Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #500: BERSALAMAN DENGAN DATUK MERTUA TIRI

SOALAN:

Assalamualaikum wbt,

Apa hukum isteri bersalam dengan datuk tiri bagi suami?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Mereka berdua bukanlah mahram, maka haram hukumnya bersentuhan tanpa lapik melainkan kerana hajat seperti perubatan dan lain-lain. Begitu juga hukum bersalaman, maka haram juga hukumnya. Pengecualian jika keduanya bersalaman dengan lapik, dengan syarat aman daripada fitnah. Rujuk Nihayah al-Muhtaj (3/188) oleh Imam Syamsuddin al-Ramli.

Dalil bagi hukum ajnabiyyah antara keduanya ialah bersumberkan Surah al-Nisa:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Nisa, (4:23)

Di dalam ayat di atas, tidak dimasukkan kedudukan isteri kepada anak tiri sebagai mahram mu’abbad (kekal). Ini termasuklah isteri kepada cucu tiri. Maka, hubungan mereka dianggap mahram mu’aqqat (sementara) dan boleh berkahwin keduanya jika bercerai atau kematian pasangan. Perlu diperhatikan juga, jika cucu tiri berkenaan mendapat anak perempuan, maka hukum cicit tiri dengan moyang tiri adalah mahram kerana cicit tiri itu dianggap rabibah berdasarkan potongan ayat di atas:

وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم 

Maksudnya: dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri

Wallahua’lam.