Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #672 : HUKUM MEMBACA SURAH DI DALAM SOLAT TANPA MENGIKUT TURUTAN DALAM MUSHAF

Soalan:

Bolehkah saya membaca surah di dalam solat tanpa mengikut turutan surah yang terdapat di dalam al-Quran ? Sebagai contohnya, pada rakaat pertama saya membaca surah al-Ikhlas manakala pada rakaat yang kedua saya membaca surah al-Kauthar.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Isu ini disebut di sisi sebahagian ulama sebagai tankis (تنكيس), yang membawa erti mengubah sesuatu itu dan menjadikan bahagian atasnya di bahagian bawahnya. Manakala dari sudut istilah, al-tankis membawa erti: Membaca ayat yang terkemudian sebelum membaca ayat yang terdahulu daripada al-Quran al-Karim.

Tankis ini mempunyai beberapa keadaan seperti berikut:

  • Penukaran dari sudut huruf. Sebagai contoh, perkataan (رب) ditukar kepada (بر). Maka pertukaran seumpama ini jelas dilarang dan tidak dibenarkan kerana jelas ia mengeluarkan al-Quran dari bentuk yang disebutkan oleh Allah S.W.T dan sesiapa yang membaca al-Quran dengan sebutan seperti ini, batallah solatnya.
  • Pertukaran beberapa kalimah. Ini seperti sebutan kalimah (قل هو الله أحد) kepada (أحد الله هو قل). Ini juga diharamkan di sisi syarak kerana membawa kepada perubahan makna di dalam bacaan al-Quran.
  • Tankis kepada ayat, iaitu membaca ayat terkemudian sebelum membaca ayat yang sebelumnya. Sebagai contoh, seseorang membaca ayat (من شر الوسواس الخناس) sebelum dia membaca ayat (إله الناس). Dalam isu ini, para ulama menyatakan bahawa turutan ayat di dalam al-Quran yang terdapat pada hari ini adalah tauqif (terhenti) yang datang daripada Allah S.W.T. sebagaimana yang dinukilkan oleh para imam daripada Nabi S.A.W. Justeru, adalah menjadi suatu larangan ke atas seseorang itu untuk mengubah susunan ayat berbeza dengan apa yang telah terdapat di dalam mushaf al-Quran hari ini.
  • Membaca surah di dalam solat tanpa mengikut turutannya di dalam mushaf. Hal ini disebut sebagai tankis al-surah, iaitu membaca surah selepas kemudian baru membaca surah yang sebelumnya. Seperti contoh, seseorang yang membaca surah al-nas, kemudian dia membaca surah al-falaq berikutnya.

 

Perbahasan Sekitar Isu Tankis Al-Surah

Setelah kita jelas berkaitan pengertian tankis al-surah ini, maka di sini kami nyatakan bahawa para ulama fekah berbeza pandangan dalam menyatakan hukum perbuatan tersebut. Perbezaan ini hakikatnya adalah berpunca dari penentuan isu adakah susunan surah yang Lalu aku merasakan baginda akan rukuk keika samterdapat di dalam al-Quran pada hari ini adalah tauqifi, iaitu susunan ini datang daripada Allah S.W.T ataupun penyusunan dan penentuan surah-surah ini adalah berdasarkan kepada ijtihad para sahabat R.anhum. Justeru, implikasi dari perbezaan ini membawa kepada dua pandangan berikut:

Pertama: Para ulama yang berpendapat bahawa susunan surah dalam al-Quran itu adalah bersifat tauqifi, maka ini menatijahkan larangan mendahulukan pembacaan  surah yang terkemudian ke atas surah yang sebelumnya. Justeru, adalah tidak boleh untuk seseorang itu membaca surah al-nas sebelum dia membaca surah al-falaq.

Kedua: Para ulama yang berpendapat bahawa penyusunan dan turutan surah di dalam al-Quran adalah ijtihad dari kalangan para sahabat Nabi S.A.W, membawa kepada pandangan yang membolehkan pembacaan surah tanpa mengikut tertib susunan di dalam mushaf al-Quran.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata:

صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ لَيْلَةٍ فَافْتَتَحَ الْبَقَرَةَ فَقُلْتُ يَرْكَعُ عِنْدَ الْمِائَةِ ‏.‏ ثُمَّ مَضَى فَقُلْتُ يُصَلِّي بِهَا فِي رَكْعَةٍ فَمَضَى فَقُلْتُ يَرْكَعُ بِهَا ‏.‏ ثُمَّ افْتَتَحَ النِّسَاءَ فَقَرَأَهَا ثُمَّ افْتَتَحَ آلَ عِمْرَانَ

Maksudnya: Aku solat bersama Nabi S.A.W pada suatu malam, lalu baginda memulakan dengan pembacaan surah al-Baqarah. Lalu aku merasakan baginda akan rukuk ketika sampai ayat yang ke- 100. Kemudian baginda meneruskan pembacaan sehingga aku menyangka baginda akan membaca surah ini di dalam satu rakaat, lalu baginda meneruskannya sehingga aku mengatakan bahawa baginda akan rukuk usai membaca surah ini. Baginda kemudiannya memulakan pembacaan surah al-Nisa’ kemudian membaca surah Aali Imran.

Riwayat Muslim (772)

Hadis di atas menjadi hujah bagi kumpulan kedua yang menyatakan bahawa penyusunan surah di dalam al-Quran merupakan ijtihad daripada para sahabat dan bukannya tauqifi (terhenti kepada dalil).

Kesimpulan

Berkenaan dengan isu tankis surah ini, iaitu mendahulukan bacaan surah yang terkemudian pada rakaat pertama dan diikuti dengan bacaan surah sebelumnya pada rakaat yang kedua maka hukumnya adalah makruh dan khilaf awla (menyelisihi keutamaan) di sisi jumhur para fuqaha.

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Telah berkata para ashab kami: Yang sunnah adalah dengan membaca al-Quran dengan mengikut tertibnya secara berterusan. Maka, apabila seseorang itu membaca pada rakaat yang pertama hendaklah dia membaca pada rakaat yang kedua surah selepasnya yang bersambung dengan surah pertama itu tadi.

Kata al-Mutawalli: Sekalipun jika seseorang itu membaca surah قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ pada rakaat yang pertama, maka hendaklah dia membaca ayat-ayat terawal surah al-baqarah pada rakaat yang kedua. Sekiranya seseorang itu membaca satu surah pada rakaat yang pertama, kemudian dia membaca surah sebelumnya pada rakaat yang kedua maka dia telah menyelisihi yang utama (khilaf al-awla) dan tidak ada apa-apa ke atasnya (daripada dosa). Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (3/349).

Manakala tokoh besar dalam mazhab Maliki iaitu Imam al-Zurqani Rahimahullah berkata: Dan dimakruhkan perbuatan tankis kepada dua surah atau beberapa surah di dalam solat atau selainnya jika dengan tujuan untuk membaca al-Quran. Yang utamanya adalah membacanya dengan susunan sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran. Lihat Syarah al-Zurqani ‘ala al-Mukhtasar (1/203).

Dalam mazhab Hanbali pula, Imam al-Buhuti Rahimahullah berkata: Disunatkan untuk membaca surah dengan mengikut susunan sebagaimana yang terdapat di dalam mushaf. Dan Imam Ahmad berkata: Aku suka sekiranya seseorang itu membaca daripada al-Baqarah sehinggalah ke bawah (surah-surah selepasnya). Ini kerana, yang demikian itu dinukilkan daripada Rasulullah S.A.W. Rujuk Syarah al-Iqna’, al-Buhuti (1/344).

Akhir kalam, kami berpandangan bahawa perbuatan membaca al-Quran tanpa mengikut turutannya yang terdapat di dalam al-Quran adalah makruh hukumnya. Ini bertepatan dengan pendapat jumhur ulama dalam isu ini. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.