Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #673 : HUKUM MENUTUP KEPALA SEMASA BUANG AIR

Soalan:

Assalammualaikum S.S Tuan Mufti. Saya ingin bertanyakan tentang status atsar yang menyatakan bahawa Abu Bakar Al-Siddiq menutup kepala ketika membuang air, adakah ia sahih ? Kedua, adakah kita boleh mengamalkan perbuatan ini atas maksud mengikuti sunnah khulafa al-rashidin ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perbuatan Saidina Abu Bakr al-Siddiq R.A menutup kepala memang benar ia disebutkan di dalam beberapa athar yang sahih. Akan tetapi yang lebih tepatnya adalah, beliau menutup kepala apabila masuk ke dalam tandas atau bilik air. Di antara riwayat yang menyatakan hal ini adalah sebuah athar yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah:

رُوِىَ فِى تَغْطِيَةِ الرَّأْسِ عِنْدَ دُخُولِ الْخَلاَءِ عَنْ أَبِى بَكْرٍ الصِّدِّيقِ ، وَهُوَ عَنْهُ صَحِيحٌ

Maksudnya: Diriwayatkan pada perbuatan menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas daripada Abu Bakr al-Siddiq dan perkara ini sahih daripada beliau. Lihat Sunan al-Kubra, al-Baihaqi (1/96).

Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa riwayat lain yang turut menyentuh berkenaan bab menutup kepala ketika masuk ke dalam tandas ini yang disandarkan kepada Rasulullah S.A.W. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada A’ishah R.anha beliau berkata:

 كَانَ النَّبِي صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ غَطَّى رَأْسَه

Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas baginda menutup kepalanya.

Riwayat Al-Baihaqi (464)

Demikian juga sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Habib bin Salih Rahimahullah yang berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْخَلاَءَ لَبِسَ حِذَاءَهُ وَغَطَّى رَأْسَهُ

Maksudnya: Adalah Nabi S.A.W apabila masuk ke dalam tandas baginda memakai seliparnya dan menutup kepalanya.

Riwayat Al-Baihaqi (465)

Kedua-dua hadis di atas ini walaubagaimanapun dikritik berkenaan status kesahihannya. Hadis A’isyah dinilai dhaif oleh sebahagian ulama hadis disebabkan perawi di dalam sanadnya yang dikritik. Manakala hadis Habib dinilai dhaif kerana ia hadis mursal iaitu diriwayatkan terus dari tabiin kepada Rasulullah tanpa melalui seorang sahabat Nabi.

Adapun riwayat daripada Abu Bakr al-Siddiq R.A merupakan riwayat yang sahih, di samping dikuatkan lagi dengan beberapa riwayat lain yang juga datang daripada beliau R.A. Justeru, berdasarkan hal ini kita berhujah berdasarkan riwayat Abu Bakr yang sahih berkenaan isu menutup kepala apabila masuk ke dalam tandas.

Mengikut Sunnah Para Khalifah Al-Rasyidin

Kita dituntut mengikut jejak langkah ataupun sunnah para khulafa al-rashidin. Para khalifah al-rasyidin itu secara umumnya adalah empat tokoh besar yang menjadi pemerintah selepas kewafatan Nabi S.A.W iaitu Abu Bakr al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman Ibn Affan, serta Ali bin Abi Thalib R.anhum. Rasulullah S.A.W secara khususnya memberikan petunjuk dan arahan kepada para sahabat untuk mengikuti Abu Bakr al-Siddiq dan juga Umar al-Khattab. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

اقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ

Maksudnya: Hendaklah kamu semua mengikuti dua orang selepasku iaitu Abu Bakr dan juga Umar.

Riwayat Al-Tirmizi (3662)

Dalam hal ini, perlulah difahami bahawa sunnah para khalifah adalah menepati sunnah Nabi S.A.W. Hal ini jelas kita dapati apabila kita merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Irbadh bin Sariyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا

Maksudnya: Maka hendaklah kalian mengikut sunnahku dan juga sunnah para khulafa’ al-rasyidin, dan berpegang teguhlah dengannya.

Riwayat Ibn Majah (44)

Meneliti hadis di atas, sunnah Nabi S.A.W dan juga sunnah para khalifah al-rasyidin disifatkan sebagai satu. Oleh kerana itu Rasulullah S.A.W menyebut hal ini dengan perkataan عَلَيْهَا dan bukannya dengan perkataan عَلَيْهِمَا  dan begitulah juga di dalam riwayat yang lain, lafaz tersebut datang dalam perkataan تَمَسَّكُوا بِهَا dan bukannya dengan perkataan تَمَسَّكُوا بِهِمَا yang menunjukkan bahawa sunnah Nabi dan khulafa al-Rasyidin adalah satu perkara yang sama.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada beberapa riwayat yang kami sebutkan di atas, kami berpandangan bahawa hukum menutup kepala ketika seseorang masuk ke dalam tandas adalah mustahab iaitu sunat. Ini berdasarkan athar yang sahih daripada Abu Bakr al-Siddiq di samping mengambil kira pandangan para ulama yang berpegang bahawa hadis dhoif juga boleh diamalkan di dalam bab fadhail al-a’mal (fadhilat-fadhilat amal). Semoga Allah S.W.T memberikan kepada kita semua kefahaman yang tepat dalam beragama. Ameen.