Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #688 : PEMBERIAN NAMA DAYYAN EIJAZ KEPADA ANAK

Soalan:

Assalamualaikum, maaf menganggu. Saya nak tanya boleh tak kalau saya nak namakan anak lelaki saya dengan nama Dayyan Eijaz. Ada maksud yang tidak baik tak pada nama itu ? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Soal pemberian nama anak adalah satu perkara yang dititik beratkan oleh syarak. Ini kerana, penamaan nama yang baik merupakan di antara faktor dalam membentuk peribadi yang soleh pada diri seseorang itu. Berikut merupakan beberapa nas nabawi yang menunjukkan kepada hal tersebut:

Daripada Abu al-Darda’ R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.

Riwayat Abu Daud (4948)

Hadis ini dinilai sanadnya oleh Imam al-Nawawi sebagai jayyid manakala Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub mengatakan bahawa hadis ini sebagai hasan. Maka jelas daripada teks hadis di atas menyatakan bahawa hendaklah seseorang itu memperelokkan pemberian nama anak-anak serta kaum kerabatnya.

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wahb al-Jusyamiy bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: Berikanlah nama dengan nama para anbiya’. Dan nama yang paling dicintai oleh Allah adalah Abdullah dan Abd al-Rahman.

Riwayat Abu Daud (4950)

Berdasarkan hadis di atas, Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub menyebutkan bahawa Bani Israil dahulu banyak menamakan anak-anak mereka dengan nama Emanuelle, dan maknanya adalah “Tuhan kami bersama dengan kami”. Oleh yang demikian itu, nama yang paling Allah S.W.T sukai adalah Abdullah dan Abd al-Rahman. Dari sudut seorang kanak-kanak itu, apabila dia dapat berfikir dan berakal kelak akan mengetahui bahawa dia adalah hamba kepada Allah dan Allah adalah sayyidnya dan juga maula (penolong) kepadanya. Rujuk Tuhfah al-Maudud (Hlm. 389).

 

Perkaitan Di Antara Nama Dan Keperibadian

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub Rahimahullah dengan katanya: Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama. Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah S.A.W itu dinamakan dengan Muhammad dan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri baginda S.A.W. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya. Lihat Tuhfat al-Maudud Bi Ahkam al-Maulud (Hlm. 250).

Maksud Nama Dayyan Eijaz

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, berikut kami nyatakan penjelasan berkenaan nama Dayyan Eijaz. Perkataan Dayyan دَيَّانُ mempunyai beberapa maksud seperti berikut:

  • Di antara nama-nama Allah S.W.T yang baik. Yang membawa erti yang menjatuhkan hukuman (Al-Hakim) dan yang melaksanakan hukuman (Al-Qadhi). Ini berdasarkan sebuah hadis yang mana Rasulullah S.A.W bersabda:

يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عُرَاةً غُرْلًا بُهْمًا ، ثُمَّ يُنَادِيهِمْ : أَنَا الْمَلِكُ أَنَا الدَّيَّانُ

Maksudnya: Akan dibangkitkan umat manusia pada hari kiamat dalam keadaan telanjang dan tidak berkhatan. Kemudian Allah S.W.T menyeru mereka: Aku adalah al-Malik dan Akulah al-Dayyan.

 

Riwayat Ahmad (15612)

 

  • Ia juga membawa maksud yang memberikan ganjaran kebaikan terhadap perbuatan baik dan memberikan balasan keburukan terhadap perbuatan jahat.
  • Ia juga membawa erti al-Qahhar iaitu yang Maha Perkasa.
  • Saidina Ali bin Abi Thalib R.A juga pernah disifatkan sebagai Dayyan oleh sebahagian salaf dengan kata mereka: Adalah Dayyan bagi umat ini selepas Nabi mereka adalah Ali bin Abi Thalib. Iaitu qadhi dan hakim bagi umat ini.

Manakala perkataan Eijaz إيجاز  pula membawa maksud berikut:

  • Ringkasan, iaitu tidak memanjang-manjang.
  • Lafaz yang sedikit tetapi mengandungi maksud yang banyak.

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami berpandangan bahawa penamaan anak dengan nama Dayyan Eijaz adalah dibolehkan. Ini kerana, nama tersebut tidak membawa maksud yang buruk, dan tidak juga dilarang oleh syarak selain ia turut membawa kepada maksud yang baik. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas lagi terang kepada kita dalam beragama. Ameen.