Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #719: MAYAT MENDAPAT MANFAAT SEDEKAH ORANG HIDUP

Soalan

Adakah mayat mendapat manfaat daripada pahala sedekah orang yang hidup kepadanya?

Jawapan

Kami cenderung kepada fatwa Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi yang menjelaskan bahawa mayat akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-Adawi dalam kitabnya “Masyariq al-Anwar” bahawa telah bersepakat para ulamak bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Berkata Imam al-Qurtubi lagi bahawa ulamak telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mayat. (Lihat al-Tazkirah, m. 279). Begitu juga membaca al-Quran dan berdoa dan beristighfar kepadanya. Benarlah sabda Nabi SAW:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651),
al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)

Imam al-Nawawi mengulas isu ini di dalam al-Azkar dengan katanya: Telah ijmak ulama bahawa doa untuk orang-orang yang sudah mati bermanfaat bagi mereka dan pahalanya sampai kepada mereka ianya berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr ayat 10: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami…” Juga ada diriwayatkan daripada hadis yang masyhur, bahawa Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi ahli Baqi’ al-Gharqad.” Hadis Sahih Riwayat Muslim. Doa Rasulullah SAW yang lain: “Ya Allah, ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kami…” Hadis riwayat Abu Daud dan lainnya. Imam An-Nawawi melanjutkan: Tentang bacaan al-Qur;an, terdapat perbezaan pandangan. Apa yang masyhur daripada mazhab Syafi’I bahawa pahala bacaan tersebut tidak sampai kepada si mati. Akan tetapi sekumpulan ashab Imam Al-Syafi’i sendiri sependapat dengan Imam Ahmad dan sekumpulan ulama lainnya yang mengatakan bahawa bacaan tersebut bermanfaat serta akan sampai pahalanya kepada si mati. Dan sebaiknya orang yang membaca al-Qur’an selepas selesai membacanya hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada Fulan…” dan juga disunatkan memuji dan menyebut kebaikannya. (Lihat al-Azkar, m. 164)