Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 720 : HUKUM MENANAM GIGI (IMPLANT)

 

Soalan :

Assalamualaikum. Apakah hukum menanam gigi?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menanam gigi di dalam dunia perubatan gigi dikenali sebagai dental implant.Ada dua jenis implant. Pertama, endosteal implants dan subperiosteal implants. Kedua-dua ini adalah jenis implant yang selamat. Proses implant (penanaman) adalah berbeza dengan dental bridge. Ini kerana dental bridge (jambatan) tidak ditanam ke dalam gusi melalui pembedahan seperti implant.

Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, ada perkara utama yang perlu diambil. Apakah tujuan daripada penanaman gigi tersebut. Adakah ianya dilakukan untuk tujuan rawatan atau hanya sekadar untuk kecantikan. Maka di sini perlu kami jelaskan dan dipecahkan mengikut tujuan ditanam gigi tersebut kerana kedua-duanya mempunyai hukum yang berbeza.

Jika ianya dilakukan hanya kerana untuk tujuan kecantikan maka ianya tidak dibolehkan. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ تَعَالَى

Maksudnya :” Allah swt melaknat orang lelaki dan perempuan yang melukis tatu, yang menyambung rambut dan yang menjarangkan gigi untuk kelihatan cantik dan yang mengubah ciptaan pemberian Allah.”

Riwayat al-Bukhari (5931)

Kata Ibnu Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini :

“Difahami daripada hadis bahawa ia adalah satu bentuk perbuatan mazmumah jika dia melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jika ianya dilakukan kerana keperluan perubatan maka diharuskan.”

Rujuk Fath al-Bari  (10/372)

al-Qastalani menyebut :

“Jika apa yang dilakukannya itu adalah dengan tujuan kecantikan maka ia adalah haram. Jika ianya diperlukan untuk tujuan mengelokkan (mengubati) atau terdapat aib pada gigi maka ianya dibolehkan.”

Rujuk Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari (8/474)

Adapun jika dia melakukannya dengan tujuan rawatan maka ianya harus dan dibolehkan. Bahkan ia menjadi satu keperluan kerana dengan ditanam gigi tersebut maka memudahkan dia untuk makan dan bercakap.   Keharusan ini adalah keumuman hadis yang diriwayatkan daripada Usamah Bin Syarik :

تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ دَوَاءً غَيْرَ دَاءٍ وَاحِدٍ الْهَرَمُ

Maksudnya :” Berawatlah. Sesungguhnya Allah azza wa jalla tidak mendatangkan penyakit melainkan Dia datangkan juga ubat kecuali satu penyakit (yang tidak boleh disembuhkan ) iaitu tua.

Riwayat Abu Daud (3357)

Di sana juga ada peristiwa yang berlaku kepada seorang sahabat iaitu ‘Arjafah bin As’ad ketika peperangan. Kata beliau :

أصِيبَ أَنْفِي يَوْمَ الكُلاَبِ فِي الجَاهِلِيَّةِ ، فَاتَّخَذْتُ أَنْفًا مِنْ وَرِقٍ ، فَأَنْتَنَ عَلَيَّ فَأَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَتَّخِذَ أَنْفًا مِنْ ذَهَبٍ

Maksudnya :”Hidungku telah terputus pada hari peperangan Kulab di zaman Jahiliyyah. Maka aku mengambil (menggantikan) hidungkan dengan perak. Lalu (beberapa ketika) hidungku mula membusuk. Maka Rasulullah saw memerintahkan aku untuk menggantikan hidungku dengan emas.”

Riwayat al-Tirmizi (1877)

Emas yang asalnya haram digunakan maka ia menjadi harus jika digunakan untuk rawatan berdasarkan apa yang berlaku kepada sahabat Nabi saw iaitu ‘Arjafah Bin As’ad.

Dr Yusuf al-Qaradawi  menyebut ;

“Jika terdapat pada manusia kecacatan yang menyebabkan kesakitan sama ada yang nyata atau secara emosi maka tidak mengapa untuk merawatnya.Selagi mana dia dia lakukan untuk menghilangkan kesakitan tersebut yang mana kesakitan itu menyusahkannya dan menganggu kehidupannya. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan agama ini satu yang payah.”

Kesimpulannya, harus untuk menanam gigi kerana ada maslahat iaitu untuk rawatan yang mana jika tidak dilakukan maka akan menyusahkan dan menyukarkan kehidupan seperti tidak mampu untuk menguyah makanan dan lain-lain. Jika ianya sekadar untuk kecantikan seperti menggantikan gigi yang ada dengan yang lain yang lebih elok, maka seeloknya ianya tidak dilakukan.

Wallahu'alam