Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #739 : HUKUM “WANG PERTARUHAN” DALAM PILIHAN RAYA

Soalan

Adakah wang pertaruhan dalam pilihan raya yang dikenakan kepada setiap calon merupakan perjudian?

 

Jawapan

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, dua perkara yang perlu difahami terlebih dahulu iaitu; definisi perjudian dan wang pertaruhan dalam pilihan raya.

 

Sebagaimana kami telah bahaskan dalam beberapa isu lain sebelum ini, perjudian atau dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai qimar atau maisir, bermaksud apa jua aktiviti yang melibatkan pertaruhan, iaitu pihak yang menang akan mengambil semua pertaruhan dan pihak yang kalah akan kehilangan pertaruhannya (Al-Mughni: 9/372). Definisi di atas menggambarkan bahawa perjudian merupakan suatu bentuk gharar fahish yang jelas pengharamannya sepertimana ditegaskan dalam al-Qur’an dan hadis.

 

Manakala wang pertaruhan dalam pilihan raya pula merupakan suatu istilah yang tidak tepat. Ini kerana, dari sudut undang-undang ia tidak dinamakan wang pertaruhan sebaliknya wang deposit yang perlu dibayar oleh calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981, Perkara 5 (1) menyatakan:

 

Seseorang calon, atau seseorang lain bagi pihaknya, hendaklah mendepositkan atau menyebabkan didepositkan dengan pegawai pengurus atau Pegawai Pilihan Raya Negeri antara tarikh notis pilihan raya yang disebut dalam peraturan 3 dan pukul sepuluh pagi pada hari penamaan, wang sebanyak sepuluh ribu ringgit dalam hal pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau wang sebanyak lima ribu ringgit dalam hal pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri dalam bentuk tunai, draf bank atau apa-apa bentuk lain yang ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.”

 

Pada Perkara 7 pula mengatakan:

 

Deposit itu hendaklah terlucut hak jika selepas pengundian dijalankan dan, selepas penjumlahan rasmi undi oleh pegawai pengurus, calon itu didapati tidak mendapat lebih daripada satu per lapan daripada jumlah bilangan undi yang didapati oleh semua calon dalam bahagian pilihan raya itu.

 

Berdasarkan peraturan yang dinyatakan di atas, dapat difahami bahawa wang yang dibayar oleh calon bagi menyertai pilihan raya dibuat kepada SPR sebagai pihak ketiga (pengurus) dan bukan menjadi wang pertaruhan kepada mana-mana pihak lain yang bertanding. Bermaksud, pihak yang menang tidak akan mendapat wang deposit daripada yang kalah. Manakala pihak yang kalah pula akan mendapat kembali wang depositnya kecuali jika tidak memperoleh sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi.

 

Ini bermakna, kehilangan wang deposit tersebut bukan disebabkan kekalahan dalam pertandingan, tetapi kerana tidak memenuhi syarat untuk memperoleh semula wang tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan Pilihan Raya.

 

Kesimpulannya, kami berpandangan wang yang dikenakan terhadap calon dalam pilihan raya adalah harus berdasarkan hujahan berikut:

  1. Wang tersebut adalah wang deposit yang bertujuan bagi menyatakan keseriusan dan komitmen seseorang untuk menjadi calon pilihan raya. Ia boleh dikiaskan dengan jual beli ‘urbun yang diputuskan harus dalam keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami 72. (Lihat http://www.iifa-aifi.org/1955.html)[1]
  2. Wang tersebut tidak mempunyai sebarang unsur pertaruhan atau perjudian kerana tiada mana-mana pihak yang bertanding akan meraih keuntungan atau kerugian daripada wang tersebut.
  3. Wang tersebut hanya dilucutkan hak dan menjadi milik SPR jika calon tidak mencapai had bilangan undi yang ditetapkan. Ia boleh dianggap sebagai denda dalam bab ta’zir bi al-mal, bagi melindungi sistem pilihan raya disertai oleh orang yang sekadar ingin bertanding tanpa memiliki matlamat yang jelas demi kemaslahatan umat dan negara.

[1] Jual beli al-‘urbun iaitu pembeli membayar pendahuluan, dengan niat jika pembelian diteruskan, pendahuluan itu akan menjadi sebahagian daripada harga beli, namun jika pembeli tidak meneruskan pembeliaan, pendahuluan tersebut akan menjadi milik penjual.