Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #750 : HUKUM MELACUR MELALUI VIDEO/VOICE CALL

Soalan:

As-salāmu ‘alaykum YB Dato Mufti. Semoga sihat-sihat selalu. Sejak akhir-akhir ini tular di media massa mengenai isu segelintir masyarakat umumnya yang beragama islam yang membuat hubungan seks rambang dengan hanya melaui panggilan “video call” atau “voice call”. Adakah hal ini termasuk di dalam kategori zina? Adakah boleh kita menerima upah atau gaji jika berbuat sedemikian?  Saya memohon pencerahan dar YB Dato mufti. Sekian terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Firman Allah Taala:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)

(Surah al-Isra’, 17:32)

Berkata Ibn Kathir dalam Tafsir-nya bahawa Allah melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang membawa dekat kepada zina seperti sebab-sebab dan seruan-seruannya. Rujuk Tafsir al-Azim (5/72).

 

Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW:

 

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”

Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

 

Jelaslah maksud “jangan mendekati” dalam al-Quran menunjukkan bahawa semua sarana yang membawa kepada zina seperti pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat adalah haram dan dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.

Maka, berdasarkan konteks soalan, jelaslah bahawa perbuatan menjalinkan hubungan seks melalui panggilan video dan audio, rakaman suara dan video, antara dua individu adalah diharamkan di dalam Islam dan wajiblah ditinggalkan.

 

Berkenaan hukum mengambil upah daripada perbuatan seks atas talian, sama ada melalui video atau audio, maka hukumnya perlu kembali kepada hukum ijarah (sewa perkhidmatan). Ada 4 rukun ijarah:

  1. Orang yang mengupah
  2. Orang yang diupah
  3. Ujrah (bayaran)
  4. Manfaat bagi yang mengupah

Antara syarat syarat manfaat mestilah ia manfaat yang bernilai menurut syarak. Justeru perkara yang tiada nilai dagangan pada syarak tidak boleh dijadikan perkhidmatan dan haram perkhidmatan tersebut serta bayarannya. Berkata Syaikh Muhammad az-Zuhaili: “Dan tidak dibenarkan ijarah atas manfaat manfaat yang diharamkan kerana mengambil manfaat daripada perkara yang haram adalah haram juga. Justeru tidak boleh mengambil bayaran atau upah daripadanya juga seperti menggunakan mayat, darah, mengajar ilmu sihir, atau melakukan pelacuran.”

Rujuk al-Mu`tamad (3/219)

Berdasarkan keterangan di atas maka jelaslah haram mengambil upah daripada perbuatan seks melalui video dan audio. Semoga Allah taala memelihara diri kita daripada melakukan perkara keji itu dan keluarga serta masyarakat kita keseluruhannya. Amin.

Wallahu a`lam.