Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #780: SLOGAN "I AM MUSLIM AND I FOLLOW JESUS"

Soalan: Baru-baru ini saya ternampak di KL ada yang memakai t-shirt I am Muslim and I follow Jesus. Adakah slogan tersebut tepat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Isu ini memerlukan sedikit pencerahan supaya masyarakat awam tidak terburu-buru menolaknya atau menerimanya tanpa pemahaman yang baik. Kami bahagikan kepada beberapa poin penting:

  1. Adakah Nabi ‘Isa dan Jesus merupakan individu yang sama?
  2. Apakah bukti kita mengikuti Nabi ‘Isa?

Nabi ‘Isa adalah nama yang digunakan dalam al-Qur’an manakala jika kita meneliti terjemahan al-Qur’an dalam Bahasa Inggeris oleh penterjemah seperti Abdullah Yusuf Ali, A.J. Arberry, Marmaduke Pickthall dan lain-lain kesemuanya menterjemahkan Nabi ‘Isa sebagai Jesus. Al-Qur’an menyebutkan tentang Nabi ‘Isa dalam 71 ayat dan Islam mengiktiraf Nabi ‘Isa sebagai seorang hamba-Nya, Nabi dan juga Rasul yang wajib diimani. Walaupun konsep ini berbeza dengan pegangan Kristian, ia tidak menafikan bahawa Nabi ‘Isa dan Jesus adalah individu yang sama.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa Nabi ‘Isa dan Jesus adalah individu berbeza kerana nama Jesus berasal dari Bahasa ‘Ibrani (Hebrew) iaitu Yeshua. Jika diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab, ianya adalah Yashu’ dan perkataan Yashu’ tidak ditemui dalam al-Qur’an.

Jawapannya, al-Azhari menyatakan bahawa Nabi ‘Isa adalah nama bukan Arab (‘ajam) yang tidak mempunyai tasrif (morphology) kerana ketiadaan ma’rifah dan bercampur antara nama ‘ajam dan adanya ma’rifah padanya. Nama Nabi ‘Isa adalah dialihbahasa daripada Aisu’ sebagaimana pandangan pakar bahasa Suryani (Syriac). (Lihat Tahzib al-Lughah, 3/60-61). Menurut al-Jauhari, Nabi ‘Isa adalah nama ‘Ibrani atau Suryani. (Lihat al-Sihhah, 3/955). Manakala lafaz Nabi ‘Isa dalam Bahasa Suryani adalah Yashu’. (Lihat al-Kasysyaf, 1/188). Hujah-hujah lain yang menafikan persamaan keduanya adalah tidak jelas. Justeru, Nabi ‘Isa dan Jesus adalah individu yang sama.

Ketikamana Nabi ‘Isa masih bayi, Baginda diberikan mukjizat untuk berkata-kata. Baginda menjelaskan:

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30) وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (31) وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا (32) وَالسَّلَامُ عَلَيَّ يَوْمَ وُلِدْتُ وَيَوْمَ أَمُوتُ وَيَوْمَ أُبْعَثُ حَيًّا (33)

Maksudnya: Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat)".

(Surah Maryam: 30-33)

Allah SWT menegaskan:

يَاأَهْلَ الْكِتَابِ لَا تَغْلُوا فِي دِينِكُمْ وَلَا تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ إِلَّا الْحَقَّ إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ

Maksudnya: “Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya.”

(Surah al-Nisa’: 171)

 

Muslim Mengikut Nabi ‘Isa?

Ya, sememangnya sebagai umat Islam kita mempercayai bahawa akidah daripada Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad adalah sama. Kesemuanya membawa ajaran tauhid yang sama iaitu mengEsakan Allah SWT. Tidak beriman seorang Muslim sekiranya tidak beriman dengan Nabi ‘Isa.

Seruan utama Nabi ‘Isa kepada Bani Israel adalah menyembah Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa. Baginda menyatakan:

إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ ۗ هَٰذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".

Ibn Kathir menjelaskan inilah perintah Nabi ‘Isa kepada kaumnya ketika Baginda masih di buaian untuk menjelaskan kepada mereka bahawa Allah SWT adalah Tuhan mereka dan Tuhannya. (Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/231)

Disamping itu, penelitian terhadap Bible juga menunjukkan beberapa persamaan tentang apa yang dilakukan oleh Nabi ‘Isa yang juga dilakukan oleh umat Islam. Antaranya adalah:

  1. Lelaki Muslim berkhatan dan Nabi ‘Isa juga berkhatan

On the eighth day, when it was time to circumcise the child, he was named Jesus, the name the angel had given him before he was conceived

 (Luke 2: 21)

  1. Ucapan Assalamualaikum

While they were still talking about this, Jesus himself stood among them and said to them, Shalom Aleichem (Peace be with you).”

(Luke 23: 36)

Justeru, apa yang dilakukan oleh Nabi ‘Isa juga dilakukan oleh umat Islam sehingga sekarang. Ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi ‘Isa juga tidak berbeza dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan diikuti oleh umat Islam. Oleh itu, ini bermaksud kita umat Islam mengikut Nabi ‘Isa baik dari beberapa sudut perlakuannya dan juga akidahnya.

Malah, umat Islam beriman bahawa pada akhir zaman nanti Nabi ‘Isa akan turun dan mentadbir dengan syariat yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad kerana Baginda merupakan pengikutnya. Nabi Isa tidak diutuskan dengan sebuah syariat yang baru akan tetapi Baginda merupakan salah seorang pemimpin bagi umat ini yang akan memperbaharui seruan Islam kerana agama Islam ialah penutup bagi segala agama dan tidak ada Nabi yang akan diutuskan selepas Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW:

كَيْفَ أَنْتُمْ إِذَا نَزَلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ فَأَمَّكُمْ مِنْكُمْ؟»، فَقُلْتُ لِابْنِ أَبِي ذِئْبٍ: إِنَّ الْأَوْزَاعِيَّ، حَدَّثَنَا عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ نَافِعٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، «وَإِمَامُكُمْ مِنْكُمْ» قَالَ ابْنُ أَبِي ذِئْبٍ: «تَدْرِي مَا أَمَّكُمْ مِنْكُمْ؟» قُلْتُ: تُخْبِرُنِي، قَالَ: «فَأَمَّكُمْ بِكِتَابِ رَبِّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى، وَسُنَّةِ نَبِيِّكُمْ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya : “Bagaimana keadaan kalian apabila Isa putera Maryam turun pada kalian dan menjadi pemimpin kalian?” Lalu aku berkata kepada Ibnu Abu Zi’b bahwa al-Auza’ie telah menceritakan kepada kami, dari az-Zuhri dari Nafi’ dari Abu Hurairah, “Pemimpin kalian adalah dari kalian.” Ibnu Abu Zi’b berkata, “Apakah kamu tahu sesuatu apa (yang dijadikan dasar) memimpin kalian?” Aku balik bertanya, “Apakah kamu akan mengkhabarkannya kepadaku?” Ibnu Abu Zi’b berkata, “Dia akan memimpin kalian berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Nabi kalian SAW.

(Riwayat Muslim, no. 246)

Berdasarkan kenyataan di atas, kami menyimpulkan bahawa slogan I am Muslim and I follow Jesus tidaklah bersalahan dengan akidah Islam bahkan ia sebenarnya mencetuskan kepada satu perbincangan ilmiah yang baik antara penganut Islam dan Kristian. Kami juga mendapat makluman yang ianya adalah usaha dakwah yang dilakukan oleh aktivis Islamic Education and Research Academy (iERA) yang berpengkalan di United Kingdom dan mempunyai cawangan di seluruh dunia termasuk Malaysia. Nabi ‘Isa adalah antara Nabi yang istimewa dalam Islam kerana digolongkan dalam ‘Ulul ‘Azmi malah nama ibunya Maryam juga dirakamkan dalam surah yang khusus dalam al-Qur’an. Cuma, kami mencadangkan ia diperincikan menjadi I am Muslim and I follow Jesus as my Prophet. Ini kerana, inilah pendirian kita selaku umat Islam yang tidak mengiktiraf ‘Isa sebagai Tuhan ataupun anak Tuhan. 

Kami berpendirian sebagaimana yang dinyatakan oleh Ja’far bin Abu Talib kepada Raja Najasyi berkenaan ‘Isa bin Maryam. Dikisahkan Raja Najasyi yang beragama Kristian pernah bertanya kepada Ja’far berkenaan ajaran Rasulullah SAW. Lalu Ja’far menceritakan satu persatu sehinggalah apabila beliau membaca Surah Maryam ayat ke-14, Raja Najasyi menitiskan air mata. Baginda bertitah: “Sesungguhnya, agama yang dibawa oleh nabi kalian dan agama kami berasal dari sumber yang satu.”

Ditanya lagi: ”Apa yang kalian katakan tentang Isa bin Maryam, dan juga tentang ibunya?”

Ja’far ibn Abi Talib menjawab,”Kami mengatakan sebagaimana Allah berfirman,’Isa adalah manusia (yang diciptakan oleh Allah dengan) kalimat dan ruh dari Allah yang disampaikan kepada Maryam, seorang gadis perawan yang tidak pernah disentuh manusia’.”

Mendengar jawapan ini, Raja Najasyi mengangkat sebuah tangkai kayu dari atas tanah, lalu baginda berseru: “Wahai orang-orang Habsyah! Wahai para pendeta! Demi Allah! Mereka tidak menambahkan perkataan apapun pada keyakinan kita tentang Isa. Kami mengucapkan selamat kepada kalian dan kepada orang yang mengutus kalian. Aku bersaksi, bahawa dia adalah Rasulullah. Dialah orang yang kami temukan di dalam kitab Injil. Dialah rasul yang dikabarkan oleh Isa bin Maryam. Tinggallah kalian di manapun yang kalian inginkan! Demi Allah, kalau bukan kerana kekuasaan yang ada padaku, maka sungguh aku datangi dia (Rasulullah), sehingga aku menjadi orang yang membawakan sandalnya. (Lihat Sirah Nabawiyyah, 2/10)

Semoga kehidupan bermasyarakat di Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat terus dimaknai dengan harmoni dan kasih sayang.