Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #781 : HUKUM AURAT YANG TERPISAH DARIPADA BADAN

Soalan

Apakah hukum aurat yang terpisah daripada tubuh badan?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami kemukakan dahulu definisi aurat. Dari segi syara’ ia bermaksud semua anggota yang wajib ditutup atau yang haram dilihat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/357)

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)

(Surah al-A’raf: 31)

Ibn Abbas R.Anhuma  menyatakan bahawa maksud ayat tersebut adalah untuk menerangkan perihal pakaian ketika bersolat.

 

Hukum Aurat yang Telah Terputus

Kami kemukakan di sini beberapa pendapat ulama:

  • Menurut pendapat ulama’ Hanafi dan Syafi’e, diharamkan melihat aurat lelaki sama ada bahagian yang menjadi aurat itu masih sedaging dengan tubuh badan atau sudah terpisah daripada tubuh badan seperti rambut, lengan ataupun peha.
  • Menurut pendapat ulama ulama’ Hanbali, bahagian aurat yang terpisah daripada tubuh badan tidak diharamkan melihatnya kerana hilang kehormatannya apabila terpisah.
  • Menurut pendapat ulama’ Maliki, harus melihat bahagian aurat yang sudah terpisah daripada tubuh ketika pemiliknya masih hidup. Tetapi diharamkan melihatnya sesudah dia mati sama seperti bahagian aurat yang masih sedaging dengan tubuh badan. 

Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (1/615-616)

 

Tarjih

Kami cenderung kepada Mazhab Syafi’e dan Hanafi yang menyatakan hukumnya adalah sama dan haram sama ada masih sedaging atau dalam satu badan ataupun sudah berpisah kerana ia tetap mengambil hukum asal. Walaupun begitu, jika darurat maka hukumnya dibolehkan untuk melihat seperti mazhab yang lain antaranya Mazhab Hanbali.

Rujuk juga perbahasan tentang rambut yang terputus di IRSYAD AL-FATWA KE-183: HUKUM RAMBUT WANITA YANG SUDAH DIPOTONG (https://goo.gl/aD7V4D)