Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #786 : TIDAK KHUSYUK KERANA TELEVISYEN MASJID

Soalan :

Assalamualaikum Tuan Mufti. Maafkan saya,saya ingin mendapat sedikit pandangan. Saya lihat rata-rata di setiap masjid ada televisyen yg menontonkan iklan-iklan tazkirah ataupun perkara-perkara bermanfaat. Saya jadi terganggu dan tertanya-tanya kerana semasa solat iklan-iklan itu bergerak. Persoalan saya, adakah perlu iklan-iklan itu ditayangkan semasa solat? Dan yang kedua, adakah solat saya sah kerana pada mulanya saya mula khusyuk tp apabila iklan-iklan bergerak jadi sedikit terganggu solat saya. Mohon pencerahan.

Jawapan  :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Khusyu’ adalah sesuatu yang dituntut. Bahkan ia dianggap sebagai lubuk dan jantung kepada solat. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Uthman Bin Affan :

مَا مِنِ امْرِئٍ مُسْلِمٍ تَحْضُرُهُ صَلاَةٌ مَكْتُوبَةٌ فَيُحْسِنُ وُضُوءَهَا وَخُشُوعَهَا وَرُكُوعَهَا إِلاَّ كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا قَبْلَهَا مِنَ الذُّنُوبِ مَا لَمْ يُؤْتِ كَبِيرَةً وَذَلِكَ الدَّهْرَ كُلَّهُ

Maksudnya :” Bagi seorang Muslim yang mana telah datang padanya solat maktubah (solat fardu), kemudian dia memperelokkan wuduknya, kekhusuyukannya dan rukuknya. Dosanya yang telah lalu akan diampunkan selagi mana dia tidak melakukan dosa yang besar dan diampunkan (dosanya) pada tahun tersebut.”

Riwayat Muslim ( 565)

Ini adalah satu amalan yang sangat dituntut khususnya di dalam solat.Kata Sheikh Ubaidullah al-Mubarakfuri  :

“Iaitu melakukan segala rukun dengan penuh tawaduk dan merendah diri. Serta buat dengan rukun-rukun tersebut dengan zahir, batin iaitu dengan hati dan juga anggota tubuh.”

Rujuk Mir’ah al-Mafatih Syarh Mishkah al-Masabih ( 3/31)

Berkenaan dengan persoalan yang dikemukakan , pada asasnya disunatkan untuk memandang ke arah tempat sujud. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ إِذَا صَلَّى رَفَعَ بَصَرَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَنَزَلَتْ (الَّذِينَ هُمْ فِى صَلاَتِهِمْ خَاشِعُونَ) فَطَأْطَأَ رَأْسَهُ

Maksudnya : “Sesungguhnya pernah sekali Rasulullah menunaikan solat sambil matanya diangkat ke langit. Lalu diturunkan ayat : الَّذِينَ هُمْ فِى صَلاَتِهِمْ خَاشِعُونَ. Lalu Baginda menundukkan kepalanya.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam (3683) di dalam Sunannya

Perbuatan menundukkan kepala dan memfokuskan mata ke tempat tempat sujud membantu untuk khusyuk di dalam solat. Kata Imam al-Nawawi :

“Para ulama berijmak bahawa perlunya ada khusyu’ di dalam solat dan harus menundukkan pandangan daripada apa yang melalaikan serta makruh menoleh-noleh di dalam solat.”

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (3/270)

Makruh hukumnya menoleh dan memandang selain ke arah tempat sujud.  Oleh itu, dengan cara menundukkan kepala dan menumpukan mata ke arah tempat sujud dapat fokus dan menumpukan sepenuh perhatian di dalam solat.

Antara cara lain untuk khusyuk di dalam solat adalah menutup mata bagi menghalang dari melihat perkara-perkara yang boleh menghalang dari fokus di dalam solat. Inilah pandangan yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau :

Tidak makruh menutup jika ada dia takut adanya kemudaratan. Ini membolehkannya untuk menggabungkan di antara khusyuk dan tetapnya hati. Ia juga menghalang dari pandangan yang  meliar dan menghalang juga dari terganggunya fikiran.”

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (3/271)

Di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah menyatakan :

“Disunatkan menutup mata jika di hadapannya ada sesuatu yang boleh menganggunya.”

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Fi Masail al-Mufidah (hlm 238)

Maka, kami menyimpulkan sunat kepada  kita menundukkan kepala dan menumpukan pandangan kita ke arah tempat sujud. Dan juga diharuskan menutup mata bagi menghalang dari melihat perkara yang boleh merosakkan khusyuk di dalam solat. Kami juga menasihati pegawai masjid atau surau, seeloknya televisyen atau iklan-iklan yang berada di hadapan dimatikan sebaik sahaja iqamat dilaungkan. Ini supaya Jemaah dapat memberi perhatian sepenuhnya ketika solat tanpa diganggu oleh iklan-iklan atau tazkirah-tazkirah yang muncul di televisyen.

Wallahu’alam.