Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI 788: HUKUM MEMUAT NAIK VIDEO ISTERI BERSALIN

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Mufti. Apakah hukum seseorang yang memuat naik video isteri atau ahli keluarga yang sedang bersalin?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertama sekali, kami ingin menukilkan peringatan Allah SWT melalui firman-Nya:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ 

Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Setiap amalan yang kita kerjakan akan dihisab dan dinilai di sisi Allah SWT. Dalam apa jua tindakan dan amalan seharian kita pula, salah satu ukuran yang harus kita guna untuk menilai baik buruknya ialah samada ia memberi manfaat samada kepada diri kita dan orang lain. Sabda Nabi SAW:

مِنْ حُسْنِ إسلامِ المرءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya: Antara kesempurnaan Islam seseorang itu ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat padanya.

Riwayat Tarmizi (2318)

Sebagai seorang Muslim, segala tindak-tanduk dan tingkah laku kita juga harus mengambil kira pesanan Nabi SAW:

إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.

Riwayat al-Bukhari (6120)

Sifat malu daripada melakukan sesuatu yang menyanggahi adab, tatasusila dan kerukunan masyarakat merupakan satu sifat yang amat terpuji. Sifat malu inilah yang akan menjadi benteng masyarakat daripada terjebak ke dalam krisis moral, keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial.

Sifat malu ini amat dituntut dalam Islam, sehingga Nabi SAW meletakkannya sebagai sebahagian daripada iman melalui sabda Baginda SAW:

الْحَيَاءُ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Sifat malu itu sebahagian daripada iman.

Riwayat Muslim (36)

Dalam konteks zaman moden ini, teknologi internet dan media sosial menjadi wadah yang amat efektif dalam berkongsi maklumat dan menyampaikan pandangan. Namun demikian, amat mendukacitakan tatkala masih ramai yang tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin dan berkongsi kandungan yang tidak membawa sebarang faedah dan manfaat.

Dunia internet dan media sosial juga sering memperlihatkan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan adab dan akhlak Islami. Kandungan yang dimuat naik sering menimbulkan kontroversi dan mengundang polemik yang tidak berkesudahan.

Kami mengambil kesempatan ini  untuk berpesan agar kita sama-sama gunakan kesempatan dan ruang yang ada untuk menyebarkan ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan menyemai kesedaran masyarakat berkenaan isu-isu semasa. Semoga setiap perkongsian yang dilakukan menjadi bekalan untuk kita bertemu Allah SWT kelak.

 

Penutup

Kesimpulannya, kami berpandangan perlu ada sifat malu dalam kalangan kita yang amat dituntut oleh Islam. Bukanlah setiap perkara perlu dikongsi dan disebarkan, lebih-lebih lagi pada zaman teknologi yang  membolehkan suatu perkara disebarluaskan secara mudah dan pantas. Justeru, tidaklah sesuai dan wajar saat-saat isteri sedang bertarung nyawa itu menjadi tontonan ramai dan dihebohkan kepada mereka.

Akhir kalam, saya mendoakan agar anak-anak kita seluruhnya menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapa, agama, bangsa dan negara.

Wallahu a’lam.