Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #791: SOLAT DENGAN PAKAIAN TIRUAN

Soalan: Apakah hukum solat dengan memakai pakaian tiruan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Imam al-Nawawi ada menjelaskan isu ini dengan katanya: “Ulama’ berijma’ akan bahawasanya haram seorang lelaki untuk solat dengan pakaian sutera. Maka sesungguhnya sah solat dengan pakaian berkenaan di sisi kami dan di sisi jumhurKami telah menyatakan bahawa sah kedua-dua solat dengan pakaian sutera dan pakaian yang diperoleh secara haram. Dan ini adalah pandangan jumhur ulama’… (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/180)

Terdapat dua hal yang perlu diberi perhatian:

  1. Sekiranya solat yang dilakukan itu menepati rukun dan syarat, maka solatnya dikira sah dan tidak perlu diulangi.
  2. Isu barang tiruan, ianya perlu dilihat samada telah dipatenkan atau tidak. Jika ia sudah dipatenkan, ia adalah salah dan aktiviti menjual barang tiruan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK). Perlu diketahui bahawa membeli/menjual barangan tiruan atau membuat salinan/cetak semula secara tidak sah untuk barangan yang telah dipatenkan, hukum asalnya adalah haram.

Dalam perbahasan fiqh, di sana ada satu istilah yang dinamakan sebagai jihah munfakkah (terpisahnya bahagian). Isu sahnya solat dan isu memakai pakaian tiruan adalah dua isu yang berbeza. Maka, disimpulkan bahawa solat dengan pakaian tiruan adalah sah, sekiranya memenuhi rukun dan syarat. Namun, si pemakainya tetap dikira berdosa.

Kami nyatakan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA untuk direnungi bersama-sama. Sabda Rasulullah SAW:

أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ "

Maksudnya: Wahai manusia, Sesungguhnya Allah itu baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang beriman sebagaimana dia memerintahkan para rasul-Nya dengan firman-Nya:  “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” Dan Dia berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” Kemudian Baginda menyebutkan ada seseorang dalam perjalanan jauh di mana keadaan kusut dan berdebu. Dia mengangkatkan kedua tangannya ke langit seraya berkata: Ya Tuhanku, Ya Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keperluannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka bagaimana doanya akan dikabulkan?

 (Riwayat Muslim, no. 1015)

Justeru, kami tidaklah melihat isu ini terlalu besar melainkan ianya hanya melibatkan etika berpakaian itu sendiri. Semoga Allah SWT menerima ibadah solat kita dan menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang bersyukur. Wallahua’lam.