Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #797 : HUKUM JUAL BELI AIR MANI HAIWAN

 

Soalan :

Apakah hukum menjual air mani haiwan dengan harga yang agak tinggi?. Ia digunakan bagi menjaga dan mendapatkan baka haiwan yang terbaik. Seperti contoh kuda.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kesucian air mani yang terhasil selain dari manusia menjadi fokus perselisihan pandangan di kalangan para ulama.Sebelum membahaskan hukum jual beli air mani haiwan, ada baiknya kami memperjelaskan terlebih dahulu status air mani haiwan dari sudut kesucian atau kenajisannya. Ada tiga pandangan berkenaan kesucian air mani yang terhasil selain dari manusia :

  1. Kesemua air mani haiwan adalah suci kecuali air mani khinzir dan anjing.
  2. Kesemua air mani haiwan adalah najis. Kerana ianya dianggap sebagai lebihan dan hasil dari pemprosesan makanan.
  3. Air mani yang terhasil dari haiwan yang halal dimakan dagingnya adalah suci.

Rujuk Al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie ( 1/77)

Imam al-Nawawi cenderung kepada sucinya air mani selain dari air mani anjing dan khinzir atau yang lahir dari kedua-duanya. Inilah  juga pandangan yang dikemukakan oleh Sheikh Abu Hamid, al-Bandaniji, Ibnu Sabbagh dan al-Syasi.

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab ( 2/555)

Bertitik tolak daripada itu, dapat kita katakan bahawa barang jualan terbahagi kepada dua. Pertama, barang yang najis. Ini tidak boleh dibuat jual beli. Yang kedua ialah barang yang suci.Seperti lembu, kambing dan sebagainya. Antara contoh jual beli barang yang najis ialah menjual anjing, khinzir, arak dan lain-lain perkara yang dianggap sebagai najis. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah. Beliau mendengar Rasulullah  saw bersabda pada hari pembukaan kota Mekah. Nabi saw bersabda :

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الْخَمْرِ وَالْمَيْتَةِ وَالْخِنْزِيرِ وَالْأَصْنَامِ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ شُحُومَ الْمَيْتَةِ فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ وَيُدْهَنُ بِهَا الْجُلُودُ وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ فَقَالَ لَا هُوَ حَرَامٌ

Maksudnya :” Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai , khinzir dan berhala. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apa pandangan kamu tetang lemak bangkai (haiwan ) yang digunakan untuk menyalut sampan,meminyakkan kulit dan digunakan sebagai pelita. Nabi saw bersabda : Tidak boleh. Ia tetap haram dijual.”

Riwayat al-Bukhari ( 2236) & Muslim ( 4132)

Kita sedia maklum syarat barang yang dijual ialah :

  1. Suci dan bersih
  2. Barang yang mendatangkan manfaat
  3. Mampu diserahkan
  4. Dimiliki oleh penjual

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Muamalat ( hlm 14-15)

Syarat-syarat ini disimpulkan oleh Ibnu Roslan di dalam Sofwah al-Zubad :

في طاهر منتفع به قدر # تسليمه ملك لذي العقد نظر

Syarat ini perlu dipenuhi bagi menjadikan jual beli tersebut sah.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, kami berpandangan bahawa menjual air mani haiwan untuk menjaga dan mendapatkan baka haiwan adalah harus. Ini kerana ia mendatangkan manfaat dan ia juga adalah satu wasilah untuk menjaga baka haiwan. Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau :

“Kesemua barang yang suci yang boleh dimanfaatkan yang bukan waqaf, yang tidak dimiliki oleh hamba, tidak juga digadai dan tidak disewa harus menjualnya secara ijmak. Sepertimana yang disebutkan oleh penulis (Imam al-Syirazi). Sama ada yang boleh dimakan, diminum, dipakai, dihidu dan juga haiwan yang boleh dimanfaatkan daripadanya. Sama ada di ditunggangi, atau digunakan suaranya, ataupun diambil bulunya, diperah susunya begitu juga dimanfaatkan bakanya.”

Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab (9/297)

Oleh itu, tiada masalah dan sah jual beli air mani haiwan dengan sebab untuk menjaga bakanya dan memastikan keberlangsungan keturunan haiwan tersebut.

Wallahu’alam.