Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI #828 : HUKUM SOLAT DALAM KERETAPI LAJU, BAGAIMANAKAH ARAH KIBLAT ?

Soalan:

Apakah hukum solat dalam keretapi dan bagaimanakah cara penentuan arah kiblat ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hukum Solat Di Dalam Kenderaan

Perbahasan berkenaan isu ini hakikatnya mempunyai sedikit sebanyak asas seperti yang ditunjukkan oleh beberapa riwayat. Di antaranya seperti yang ditunjukkan oleh sebuah hadis riwayat ‘Amir bin Rabi’ah beliau berkata:

 رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الرَّاحِلَةِ يُسَبِّحُ يُومِئُ بِرَأْسِهِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ وَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ ذَلِكَ فِي الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ

Maksudnya: Aku pernah melihat Rasulullah S.A.W dalam keadaan baginda sedang berada di atas haiwan tunggangan, baginda bertasbih dengan mengisyaratkan kepala baginda menghadap ke arah yang mana haiwan itu menghadap. Dan tidaklah baginda melakukan perkara sedemikian di dalam solat fardhu.

Riwayat al-Bukhari (1097)

Berdasarkan hadis di atas, haiwan tunggangan merupakan kenderaan yang diguna pakai oleh masyarakat pada zaman terdahulu termasuklah pada zaman Rasulullah S.A.W. Maka kenderaan moden seperti kereta, kapal terbang, keretapi, sampan, dan seumpamanya turut memakai hukum yang sama dengan haiwan tunggangan.

Justeru, adalah dibolehkan untuk solat secara umumnya sekiranya seseorang itu berada di atas kenderaan. Namun, kategori solat yang manakah dimaksudkan di dalam hadis di atas ini. Adakah ia untuk solat fardhu ataupun merujuk kepada solat sunat sahaja ?

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau meletakkannya di bawah ‘’Bab Baginda Turun (Dari Haiwan Tunggangan) Untuk Solat Fardhu’’.

Ini merupakan suatu isyarat yang menunjukkan bahawa solat yang boleh dilakukan dalam keadaan berada di atas atau dalam sesebuah kenderaan adalah solat sunat sahaja. Manakala untuk solat fardhu pula, para ulama menyatakan bahawa hendaklah seseorang itu turun dari haiwan tunggangannya untuk melaksanakannya. Dalam erti kata lain, tidak boleh untuk menunaikan sebarang solat fardhu dalam keadaan berada di atas haiwan tunggangan.

Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Batthal dalam isu ini yang menyatakan: ‘’Para ulama telah ijma’ akan pensyaratan hal ini (turun dari haiwan tunggangan) dan sesungguhnya tidak boleh bagi seseorang itu untuk menunaikan solat fardhu di atas haiwan tunggangan tanpa ada sebarang keuzuran’’.

Beliau mengatakan lagi: Perkataan ‘’baginda bertasbih’’ merujuk kepada solat sunat. Ini bersandarkan beberapa hadis yang menjadi sandaran kepada hal tersebut. Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/667).

Kami bahagikan perincian berkenaan solat di dalam kenderaan  kepada dua noktah berikut yang berkaitan dengan jenis kenderaan yang digunakan:

Pertama: Solat Di Atas Kenderaan Seperti Keretapi Atau Kapal Terbang

Dalam isu ini, adalah dibolehkan untuk seseorang itu solat di dalamnya sama ada untuk solat sunat atau solat fardhu sekalipun. Ini mengambil kira tempoh perjalanan yang panjang secara adatnya dengan menaiki kenderaan seperti ini, tambahan pula seseorang itu tidak ada cara untuk turun dari kenderaan seperti ini semata-mata untuk menunaikan solat melainkan hanya dapat turun sesampai sahaja kenderaan ini ke destinasi yang dituju. Maka ia jelas berbeza dengan konsep solat di atas haiwan tunggangan.

Perbahasan panjang lebar berkaitan hukum-hakam solat di atas kapal terbang ini telahpun kami kupas dengan begitu terperinci dan jelas di dalam pautan berikut https://bit.ly/2r3kfAe

Kedua: Solat Di Atas Haiwan Tunggangan

Berkenaan solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta, ia juga cukup mempunyai kesamaan yang jelas dengan kereta yang menjadi kenderaan moden pada hari ini. Ini kerana, seseorang yang menaiki kereta itu tidak menjadi kesukaran buat dirinya untuk berhenti dan keluar menunaikan solat di luar kereta yang dinaikinya itu. Hal ini mengambil kira suasana di negara kita yang begitu kondusif dalam menyediakan kemudahan tempat solat di kebanyakan tempat. Ini seperti surau-surau yang terdapat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, dan selainnya untuk didirikan solat padanya.

Hukum Solat Dalam Keretapi

Oleh itu, berkenaan hukum solat di dalam keretapi maka tidak terpakai ke atasnya hukum solat di atas haiwan tunggangan seperti kuda dan unta. Ini membawa erti bahawa dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat fardhu di dalam keretapi.

Syor Dan Cadangan

Namun kami menyatakan bahawa perlu dibezakan keadaan tertentu seperti berikut:

  1. Sekiranya perjalanan menaiki keretapi itu memakan masa yang panjang namun membolehkan seseorang itu untuk jamak ta’khir setibanya ke destinasi yang dituju, maka ini lebih memudahkan seseorang itu untuk solat dengan lebih selesa.
  2. Namun jika perjalanannya panjang dan tidak boleh untuk melakukan jamak solat, dan sekiranya tidak solat juga di dalam keretapi akan menyebabkan solat itu terlepas, maka boleh untuk dilakukan solat di dalam keretapi.
  3. Berkenaan isu kiblat pula, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام

Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.

Surah al-Baqarah (144)

Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat Al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).

Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka kami syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) sekiranya masih berada di dalam waktu ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi sekiranya sudah luput waktu.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa hukum menunaikan solat di dalam keretapi laju yang mengambil masa perjalanan yang panjang seperti ETS (Electric Train Service) adalah dibolehkan. Sekiranya seseorang itu merasakan kesukaran untuk solat di dalam keretapi tersebut dan membawa kepada terluputnya waktu solat, maka menurut mazhab Syafie, boleh untuknya menunaikan solat hormat waktu di dalam keretapi dan kemudiannya menunaikan solat qadha sesampainya dia ke destinasi.

Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.