Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #844 : NIAT IHRAM DI RUMAH SENDIRI

af844_33353617_compressed.jpg

Soalan :

Assalamualaikum ustaz.Saya ingin bertanya,sekiranya seseorang niat ihram di rumahnya walaupun dia tidak akan mengerjakan umrah atau haji dalam masa terdekat adakah dia dikira sudah berada dalam keadaan ihram dan perlu menjaga larangan ihram?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Ihram ialah niat untuk memulakan nusuk (amalan haji atau umrah) dengan cara-caranya. Ia merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Kata Ibnu Ruslan di dalam matan al-Zubad :

أركانه الإحرام بالنية قف # بعد زوال التسع إذ تعرف

Maksudnya :” Rukunnya adalah Ihram dengan niat. Juga berwukuf selepas gelincir matahari pada 9 haribulan jika ianya diketahui.”

Niat ihram dilintasi di dalam hati dan disebutkan oleh mulut secara perlahan.

Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, niat ihram perlulah dilakukan di miqat atau sebelum melintasinya. Ini berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas :

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ ذَا الْحُلَيْفَةِ وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الْجُحْفَةَ وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الْمَنَازِلِ وَلِأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمَ هُنَّ لَهُنَّ وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ

Maksudnya :”Sesungguhnya Nabi saw telah menetapkan miqat bagi penduduk Madinah di Zulhulaifah, bagi penduduk Syam di al-Juhfah, bagi penduduk Najd di Qarn al-Manazil dan bagi penduduk Yaman di Yalamlam. Itulah miqat bagi mereka dan sesiapa yang melintasi Kawasan selain dari mereka untuk sesiapa yang mahu menunaikan haji dan umrah. Sesiapa yang selain dari itu, maka ia berihram dari tempatnya sehinggalah penduduk Mekah berniat ihram dari Mekah.”

Riwayat al-Bukhari (1524)

Jika seseorang melalui jalan yang mana ianya tidak berhenti pada miqat yang telah ditetapkan sama ada melalui jalan darat,laut atau udara maka miqatnya adalah tempat yang berhampiran dengan miqat yang telah ditetapkan sama ada kanan atau kiri. Ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Umar :

لما فُتِحَ هَذَانِ الْمِصْرَانِ أَتَوْا عُمَرَ فَقَالُوا يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّ لِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنًا وَهُوَ جَوْرٌ عَنْ طَرِيقِنَا وَإِنَّا إِنْ أَرَدْنَا قَرْنًا شَقَّ عَلَيْنَا قَالَ فَانْظُرُوا حَذْوَهَا مِنْ طَرِيقِكُمْ فَحَدَّ لَهُمْ ذَاتَ عِرْقٍ

Maksudnya :” Ketika mana dibuka dua kawasan. Penduduk di kawasan tersebut datang kepada Umar seraya mereka berkata : Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Rasulullah saw telah menetapkan bagi penduduk Najd miqat di Qarn. Tempat tersebut jauh sedikit dari tempat kami. Jika kami mahu (niat ihram) di Qarn maka ia amat susah bagi kami. Nabi saw bersabda : Lihatlah tempat yang terdekat dari kawasan kalian. Kemudian Nabi saw menetapkan bagi mereka (iaitu miqat untuk mereka niat ihram) di Zat Irqin.”

Riwayat al-Bukhari (1531)

Namun, jika seseorang berniat ihram di tempatnya atau di negaranya, adakah ianya dikira dan tertakluk dengan larangan-larangan ihram selepasnya?

Di dalam permasalahan ini, ada dua pandangan khususnya di dalam mazhab al-Syafie.

  • Imam al-Nawawi berpandangan bahawa lebih baik untuk berihram di miqat yang telah ditetapkan. Ini juga adalah pandangan tokoh besar di dalam mazhab al-Syafie semisal al-Buwaiti dan al-Muzani. Imam al-Ghazali juga berpandangan dengan pandangan yang sama.

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab ( 7/200)

Ini berdasarkan hadis sahih lagi masyhur.

مَا أَهَلَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا مِنْ عِنْدِ الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ ذِي الْحُلَيْفَةِ

Maksudnya :” Rasulullah saw tidak berniat melainkan ketika berada berhampiran masjid iaitu berdekatan masjid Zulhulaifah (yakni Birr Ali).”

Riwayat al-Bukhari (5337)

Ibnu al-Arabi menceritakan daripada al-Zubair bin Bakkar bahawa Imam Malik Bin Anas ditanya oleh seorang lelaki.

يا أبا عبد الله من أين أحرم ؟ ـ قال : من ذي الحليفة من حيث أحرم رسول الله صلى الله عليه وسلم . فقال : إني أريد أن أحرم من المسجد . فقال لا تفعل . قال : فإني أريد أن أحرم من المسجد من عند القبر . قال : لا تفعل فإني أخشى عليك الفتنة . فقال : واي فتنة هذه ؟ إنما هي أميال أزيدها ، قال : وأي فتنة أعظم من أن ترى أنك سبقت إلى فضيلة قصر عنها رسول الله صلى الله عليه وسلم ؟ إني سمعت الله يقول : "فليحذر الذين يخالفون عن أمره أن تصيبهم فتنة أو يصيبهم عذاب أليم"

Maksudnya :”Wahai Abu Abdullah, daripada mana aku patut berniat ihram?. Imam Malik berkata : Daripada Zulhulaifah yang mana ia juga tempat Nabi saw berihram. Lalu lelaki itu berkata lagi : Aku mahu berihram daripada masjid (iaitu masjid Zulhulaifah).Lelaki itu berkata : Aku mahu berihram dari masjid yang mana ianya berdekatan dengan kubur. Imam Malik berkata : Jangan buat aku takut kamu akan ditimpa fitnah?. Lelaki itu berkata : Fitnah apa pula?. Ini hanya jarak yang aku tambah sahaja. Imam Malik berkata :Apa fitnah yang lebih besar bila engkau mendahului apa yang telah Nabi saw telah buat?. Allah swt berfirman : ‘Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Rujuk al-‘Itisam (1/100)

Antara sebab utama pandangan ini dikeluarkan adalah kerana jika seseorang berniat ihram di negerinya maka dia terdedah untuk melakukan larangan-larangan ihram. Oleh itu, berniat ihram di miqat adalah lebih baik.

  • Pandangan yang kedua mengatakan boleh untuk berniat ihram di negerinya. Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh al-Rafi’ie, al-Qadi Abu al-Tayyib dan sebahagian ulama. Ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah :

مَنْ أَهَلَّ بِحَجَّةٍ أَوْ عُمْرَةٍ مِنْ الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى إِلَى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ أَوْ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya :” Sesiapa yang bermula (ihram) haji atau umrah daripada Masjid Aqsa sehingga Masjidil Haram, diampunkan dosanya yang lalu dan akan datang.Atau wajib baginya syurga.”

Riwayat Abu Daud (1479)

Kami berpandangan dan mentarjihkan pandangan yang pertama iaitu lebih baik untuk berniat ihram di miqat. Perbuatan berniat ihram di negeri sendiri tidaklah tidak sah ihramnya akan tetapi ianya menyalahi sunnah Nabi. Ianya tetap sah dan terikat dengan larangan-larangan ketika berihram.

Sebagai tambahan, niat haji mestilah dibuat pada bulan-bulan haji. Ini berdasarkan firman Allah :

ٱلْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَـٰتٌ ۚ

Maksudnya :” (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum.”

(Surah al-Baqarah : 197)

Bulan-bulan tersebut ialah syawal, zulkaedah dan zulhijjah.Maka tidak sah jika berniat sebelum dari itu. Berbeza dengan umrah. Jika sekadar berniat ihram dalam keadaan tidak pergi untuk menunaikan umrah atau haji, maka kami melihat ianya termasuk di dalam tala’ub (bermain-bermain).Maka jauhilah.

Semoga Allah mengurniakan kefahaman kepada kita dalam beragama. Amin.