Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI # 884: HUKUM SUAMI BERKATA “MENYESAL BERNIKAH DENGAN ISTERI”

 

untitled-5c-20i_34128922.png

 

Soalan

Apakah hukum suami berkata menyesal bernikah tetapi suami tiada niat untuk menceraikan isteri? Adakah ia termasuk dalam lafaz talaq?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan hukum talaq menggunakan lafaz yang jelas dan talaq menggunakan lafaz yang tidak jelas (kiasan). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:

 

Pertama: Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas

Lafaz talaq yang jelas (صريح) ialah lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Ia merupakan talaq yang jelas menggunakan lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talaq.

Lafaz yang jelas juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.

Hukum Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas: Penceraian dengan lafaz yang jelas menyebabkan jatuh talaq sama ada berniat talaq ataupun tidak. Hal ini kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talaq tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.

 

Kedua: Talaq Menggunakan Lafaz yang Tidak Jelas (Kiasan)

Sementara lafaz talaq yang tidak jelas atau kiasan (كناية) ialah yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq.

Terdapat banyak lafaz talaq secara kiasan, antaranya:

  • Engkau tiada apa-apa lagi denganku.
  • Engkau berasingan daripadaku.
  • Engkau terputus hubungan denganku.
  • Kembalilah kepada keluargamu.
  • Pergilah ke mana engkau mahu.
  • Pergi jauh daripadaku.
  • Asingkanlah diri daripadaku.
  • Aku biarkan kamu dengan caramu.
  • Engkau haram bagiku.

Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talaq kerana ia membawa maksud talaq dan maksud yang lain.

Hukum Talaq Menggunakan Lafaz Tidak Jelas (Kiasan): Lafaz talaq kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talaq, seperti: “Engkau haram atasku” tidak menyebabkan jatuh talaq melainkan apabila suami berniat menceraikannya. Jika suami berniat yang lain selain talaq atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh. (Lihat kitab al-Fiqh al-Manhaji, 3/14-18).

 

Apa Hukum Suami Berkata “Menyesal Bernikah dengan Isteri”?

Berdasarkan persoalan yang timbul, kami dapati ucapan yang dilafazkan tersebut bukanlah lafaz talak. Ia tidak termasuk sama ada di dalam lafaz talaq yang jelas atau tidak jelas. Ia hanyalah sekadar satu kata-kata meluahkan perasaan kekesalan yang tidak ada kaitan dengan konsep talaq yang dibincangkan. Oleh itu, talaq tidak jatuh terhadap isteri tersebut.

Kami berpendapat, amat perlu belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.

Sekiranya memerlukan orang tengah untuk mendamaikan pertelingkahan, maka lakukanlah sebagaimana firman Allah SWT:

 

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا

Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”

(Surah al-Nisa: 34-35)

 

Ibn Kathir berkata: “Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengutus seorang lelaki yang soleh (dipercayai) daripada pihak keluarga lelaki dan seorang yang sama daripada pihak keluarga wanita. Hal ini untuk meneliti siapa di antara keduanya yang melakukan perkara buruk. Jika suami yang melakukan keburukan, maka mereka dapat melindungi isteri dan membataskan kewajipannya dalam memberi nafkah. Jika isteri yang melakukan keburukan, mereka dapat mengurangkan haknya dari suami dan menahan nafkah yang diberikan kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)

Selain itu, boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama’, ibu dan ayah, saudara mara yang amanah, rakan-rakan yang dipercayai dan adil yakni yang baik agamanya. Jika tidak, maka rujuklah kepada peguam, hakam dan sebagainya.

Sekiranya di Wilayah Persekutuan, boleh mendapatkan nasihat daripada Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) yang merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bersedia membantu pada bila-bila masa. Ini bagi mendapatkan mendapatkan khidmat runding keluarga (kaunseling) dan sebagainya. Atau sekiranya menetap di negeri lain, boleh juga merujuk kepada badan yang menjalankan khidmat nasihat di negeri-negeri berkaitan.

Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita dalam melayari kehidupan rumahtangga dan tercapai apa yang dimaksudkan dengan Baiti Jannati. Amin.

WallahuA'lam.