Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #919: MAKSUD NAMA ALLAH AL-AKHIR (الآخر)

 

 

nama Allah.JPG

 

Soalan

Salah satu nama Allah iaitu al-Akhir (الآخر). Boleh terangkan dan syarahkan maknanya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Al-Akhir (الآخر) adalah berlawanan atau khilaf dengan yang terdahulu. Ada pendapat menyatakan Akhir (آخر) khilaf (berlawanan) yang pertama.

Dari segi syarak, telah sabit daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:

أَنْتَ الآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَىْءٌ

Maksudnya: “Engkaulah Yang Maha Terakhir tiada sesuatu pun setelah Engkau.”

Riwayat Muslim (7064), Abu Daud (5053),
Ibn Majah (3831), al-Tirmizi (3400)

Perkataan Akhir (آخر) mempunyai dua makna pada Syarak:

  • Tiada selepasnya sesuatu dan tiada kesudahan baginya dan bersifat kekal selepas binasa makhluk-NyaIbn Mandah berkata: Makna Akhir (آخر) iaitu yang akhir, yang sentiasa akhir selama-lamanya, kekal dan mewarisi setiap sesuatu dengan kekekalannya yang tiada berkesudahan. (Lihat Kitab al-Tauhid oleh Ibn Mandah, 2/82)
  • Kemuncak yang akan kembali kepada-Nya semua urusan makhluk. Ibn Qayyim berkata: Perkataan al-Akhir (الآخر) iaitu semuanya terhenti dan berakhir kepada-Nya sebagai puncak sama ada ibadah, iradah dan mahabbah. Tiada selain Allah sesuatu untuk diqasad, diibadat dan diabdikan. (Lihat Tariq al-Hijratain, 41)

Sebab dinamakan Allah sebagai al-Akhir (الآخر), yang bersifat kekal selama-lamanya kerana ‘ubudiyyah dan kehendak serta mahabbah makhluk hanya kepada Allah.

Justeru, wajib kita imani bahawa salah satu nama Allah, Akhir (آخر) yang Dia disifatkan dengan Akhiriyyah (آخرية) sepertimana yang telah kami bahaskan.

Kita yakin dengan nama-nama Allah dan disuruh untuk kita berdoa dengannya. Benarlah firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا

Maksudnya: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu,

(Surah al-A’raf: 180)

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita serta menjadikan daripada kalangan hamba-Nya yang bertaqwa. Amin.