Assalamulaikum nak tanya soalan, apa hukum duit penyertaan dalam sesuatu pertandingan itu bukankah terdapat unsur-unsur judi? Seperti membayar penyertaan pertandingan adakah ia dibolehkan? Apakah pandangan ulama berkenaan dengannya?
Muqaddimah
Waalaikumsalam, Alhamdulillah pertama sekali bersyukur kita kehadrat Allah S.W.T dengan nikmat Iman dan Islam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga Baginda, para Sahabat Baginda R.A dan kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T.
Definasi judi
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat judi “adalah permainan dgn memakai wang dll sebagai taruhan (main ceki, main dadu, dll)”. Judi dalam Bahasa arab disebut Al-Maisir, menurut Al-Fayyumi makna Al-Maisir adalah:
قِمَارُ الْعَرَبِ بِالأزْلاَمِ
Bermaksud: Pertaruhan orang arab dengan mengundi nasib menggunakan batang anak panah
(Al-Misbah Al-Munir 2/680)
Allah S.W.T berfiman di dalam Al-Quran yang menceritakan berkenaan perihal judi:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
(Surah al-Ma’idah, 5:90)
Konteks perjudian yang terkandung di dalamnya pertaruhan, adu nasib serta menzalimi satu pihak dan menguntungkan satu pihak yang lain. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi di dalam kitab beliau menyatakan:
“Tetapi sekiranya hadiah tersebut (atau benda pertaruhannya) dikeluarkan dari kedua-duanya sekali dan mereka yang bertaruh dengan syarat siapa yang menang antara keduanya, maka dia berhak mengambil kedua-duanya (taruhan) sekali. Maka jelaslah ini merupakan perjudian yang diharamkan oleh Islam.”
(Halal & Haram dalam Islam terjemahan Mufti Wilayah: 558)
Ini jelas judi merupakan perkara yang dilarang keras di dalam syariat islam sepertimana firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ كَذَلِكَ يُبيِّنُ اللّهُ لَكُمُ الآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: 'Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya'. Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ' Yang lebih dari keperluan.' Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir
(Surah Al-Baqarah: 219)
Definisi pertandingan (Al-Musabaqah)
Pertandingan mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud: 1 perlawanan atau peraduan (dlm permainan dll). Bahasa Arab menyebut pertandingan ini sebagai Al-Musabaqah diambil dari kalimah (السِّبَاقُ) “Mendahului dalam pertandingan berlari dan pertandingan yang lain” (Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah: 24/123).
Hukum Al-Musabaqah
Hukum pertandingan dan perlawanan tanpa mengenakan bayaran adalah harus mengikut jumhur ulama’ (Mausuah Fiqhiah Kuwaitiah: 24/123). Dalil umum Nabi S.A.W juga pernah menganjurkan pertandingan bersama sahabat-sahabatnya seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A:
سَابَقَ اَلنَّبِيَّ - صلى الله عليه وسلم -بِالْخَيْلِ اَلَّتِي قَدْ أُضْمِرَتْ, مِنْ الْحَفْيَاءِ, وَكَانَ أَمَدُهَا ثَنِيَّةِ اَلْوَدَاعِ.وَسَابَقَ بَيْنَ اَلْخَيْلِ اَلَّتِي لَمْ تُضَمَّرْ مِنْ اَلثَّنِيَّةِ إِلَى مَسْجِد بَنِي زُرَيْقٍ, وَكَانَ اِبْنُ عُمَرَ فِيمَنْ سَابَقَ
Maksudnya: Nabi s.a.w berlumba dengan kuda yang telah dilatih dari al-Hafya’ sehingga Saniyyatil Wada’ (nama tempat yang terletak di Madinah) dan baginda berlumba dengan kuda yang belum dilatih dari Saniyyatil Wada’ ke Masjid Bani Zuraiq dan Ibn Umar antara salah seorang yang turut berlumba.
(Riwayat al-Bukhari: 420 dan Muslim: 1870)
Pertandingan (Al-Musabaqah) berasaskan wang
Garis panduan Al-Musabaqah (pertandingan) sekiranya berasaskan bayaran atau hadiah fuqaha berbeza pendapat mengenainya. Terdapat Al-Musabaqah yang mematuhi syariah dan tidak mematuhi syariah. Syeikh Mustafa Bugha menggariskan ciri-ciri Al-Musabaqah diantaranya ialah:
- Hadiah pertandingan ditaja oleh kerajaan atau orang lain. Ia tidak mengambil dari wang atau yuran peserta. Contohnya: “Sekiranya kamu berdua bertanding, aku akan memberi hadiah”
- Hadiah ditaja oleh salah seorang peserta yang bertanding. Contohnya: “marilah bertanding denganku sekiranya kamu menang aku akan memberikan kamu hadiah dan sekira kamu kalah, kamu tidak perlu memberikanku hadiah”.
- Kesemua peserta membayar penyertaan dan bayaran itu akan dijadikan hadiah kepada pemenang.
- Ciri ini sama seperti ciri yang ketiga, namun terdapat muhallil (orang yang tidak dikenakan bayaran) dan muhallil itu diberikan hadiah yang serupa dengan peserta lain sekiranya ia menang.
Gambaran di atas menunjukkan situasi yang berbeza dan ciri yang ketiga terkandung di dalamnya unsur-unsur yang diharamkan iaitu perjudian (Al-Maisir) dan selebihnya diharuskan syarak.
(Fiqh Al-Manhaji Ala Mazhab Imam Syafie: 8/158)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan garis panduan dalam menganjurkan pertandingan yang berasaskan hadiah. Diantara kriterianya mestilah mengelakkan berlakunya eksplotasi, kesamaran, pertaruhan, nasib dan pembaziran.
(Rujuk: Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah Bil.5 Tahun 2013)
Kesimpulan
Menghuraikan permasalah di atas selepas didatangkan dalil-dalil dan pendapat ulama berkenaan dengan judi dan pertandingan dapat kami simpulkan disini:
- Pertandingan pada asasnya adalah diharuskan.
- Adapun pertandingan yang berasaskan hadiah dan wang penyertaan pihak penganjur mesti mengelakkan daripada melakukan penipuan, pertaruhan, eksplotasi dan pembaziran
- Mengikut apa yang digariskan oleh JAKIM berkenaan dengan garis panduan peraduan berasaskan hadiah.
- Pertandingan mestilah tidak menguntungkan sebelah pihak dan menzalimi pihak yang lain.
- Wang penyertaan tidak dijadikan hadiah bagi sesuatu pertandingan melainkan mengikut panduan yang ditetapkan syarak.
Oleh itu penganjur seharusnya berhati-hati dalam menganjurkan sesuatu pertandingan dalam menggunakan wang penyertaan serta mendapat khidmat nasihat daripada pihak yang berautoriti. Manakala peserta juga mesti meneliti terma dan syarat sesuatu pertandingan. Ini bertujuan untuk mengelak daripada melakukan sesuatu perkara yang dilarang syarak.
Wallahualam.