Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #970 : HUKUM PEMBEDAHAN HIDUNG KERANA TERLALU BESAR

af970

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Saya ada satu kemusykilan yang ingin saya tanyakan kepada Ustaz. Apakah hukumnya melakukan pembedahan hidung (Rhinoplasty) untuk tujuan memperbaiki bentuk hidung yang kembang. Tujuan utama ialah bukanlah untuk menambahkan kecantikan tetapi lebih kepada untuk menambahkan rasa percaya diri kepada anak saya. Saya berasa kasihan terhadap dia kerana dia berasa amat rendah diri untuk bergaul dan selalu menyendiri disebabkan kekurangan ini dan mengakibatkan kemurungan. Sekian terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Pada asalnya sebarang bentuk pembedahan yang membawa kepada perubahan kepada anggota badan manusia tanpa keperluan adalah diharamkan oleh Syarak. Ini berdasarkan firman Allah Taala tentang perkataan Iblis:

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَننْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Tentang mengubah ciptaan Allah SWT, ia bermaksud mengubah fitrah yang telah Allah SWT jadikan pada makhluknya; sama ada daripada sudut agama atau penciptaan-Nya. Berkata Imam al-Baidhawi Rahimahullah bagi ayat di atas: [Dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah] dari (asal) muka, rupa dan sifatnya. Lalu termasuk sekali dalam kategori ialah apa yang disebut seperti perbuatan menyucuk mata Hami (unta jantan yang pernah sepuluh kali membuntingkan), mengkasi hamba sahaya, bertatu, menjarangkan gigi, meliwat, perbuatan sihaq (lesbian), dan seumpama dengannya. Begitu juga menyembah matahari, bulan dan mengubah fitrah milik Allah Taala iaitu Islam dan menggunakan anggota dan kekuatan untuk membuat benda yang tidak mampu diterima oleh jiwa pada kesempurnaannya dan tidak layak dijadikan perantaraan kepada Allah (yakni penyembah berhala yang membina sendiri berhalanya). Umum lafaz ayat ini menegah secara mutlak perbuatan mengkasikan tetapi para fuqaha menyatakan rukhsah pada mengkasikan haiwan ternakan kerana keperluan.”

Rujuk Tafsir al-Baidhawi (2/98)

Daripada Abdullah bin Mas`ud RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ وَالمُتَنَمِّصَاتِ مُبْتَغِيَاتٍ لِلْحُسْنِ مُغَيِّرَاتٍ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu, wanita-wanita yang mencukur alis, demi mencari keindahan dan mengubah ciptaan Allah."

Riwayat al-Tirmidhi (no. 2706). Beliau mengatakan hadis ini hasan sahih.

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/177): “al-Baghawi dan al-Rafie berpendapat tidak harus untuk mengkasi haiwan yang tidak dimakan; sama ada sewaktu kecil atau dewasanya. Mereka berpendapat harus untuk mengkasikan haiwan yang dimakan sewaktu kecilnya kerana terdapat tujuan (syarie) iaitu mengelokkan dagingnya, tetapi tidak boleh jika waktu dewasanya. Wajh qaul mereka itu termasuk dalam umum ayat Allah Taala yang mengkhabarkan tentang perkataan syaitan [Dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah]. Cuma dikhususkan (dikecuali) amalan berkhitan dan al-wasm (cop panas pada badan haiwan) dan seumpama dengannya, sedangkan yang tidak masuk dalam pengecualiannya itu kekal tercela dan dilarang… al-kayy (rawatan besi panas atau besi penyelar) dengan api apabila tidak didorong dengan suatu hajat keperluan, adalah haram berdasarkan keumuman (lafaz) mengubah ciptaan Allah, padanya juga terdapat penyiksaan benda hidup; sama ada dilakukan ke atas dirinya atau kepada orang lain, atau selain manusia. Sekiranya perlaksanaannya didorong oleh hajat keperluan dan ahli al-khibrah (orang yang berpengalaman, seperti pakar perubatan) bahawa keadaan berkenaan adalah keadaan memerlukan, maka diharuskan rawatan itu pada dirinya, dan pada sekalian benda hidup yang lain. (Tetapi) meninggalkannya pada dirinya kerana bertawakkal (kepada Allah) itu lebih afdhal, mengikut hadis Ibn Abbas.[1]

Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti Rahimahullah dalam kitabnya Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah (1/191) menyebut pada asalnya hukum mencantikkan hidung dengan mengecilkannya dan mengubah bentuknya pada lebar dan tingginya, adalah termasuk dalam kategori pembedahan yang diharamkan. Ini kerana padanya terdapat elemen mencantikkan bahagian luaran dengan bentuk yang lebih bagus, rupa yang lebih cantik, tanpa wujudnya faktor darurat atau hajat keperluan. Namun begitu, beliau tetap meraikan kaedah bahawa perkara yang memberi mudarat itu boleh dihilangkan, sama ada mudarat itu sudah berlaku atau akan berlaku, melalui kaedah pencegahan (Rujuk Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah (1/146).

Beliau berpandukan kata-kata Imam al-Syatibi Rahimahullah: “Difahami daripada sekalian (rujukan) Syariat bahawa diizinkan untuk menolak masyaqqah secara mutlak… bahkan diizinkan untuk menghindarkan diri daripada masyaqqah yang sedang berlaku atau sebelum ia berlaku, yang menyempurnakan tujuan seorang hamba dan memberikan keluasan kepadanya.” Rujuk al-Muwafaqat (2/102).

Kami juga ingin menukilkan kaedah yang disebut oleh Syeikh Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan Hafizhahullah, apabila membahaskan hadis Abdullah bin Mas’ud di atas: “Diikat dengan perkataan “lil husn” dalam hadis tadi menunjukkan bahawa larangan itu bersifat khusus dengan apa yang jika dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tambahan pada khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang standard). Jika dilakukan untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib maka harus hukumnya, seperti mana yang telah disebut sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa itu bukanlah bentuk perubahan yang diharamkan. Maka sabda baginda yang menyebut “lil husn” itu, huruf Lam itu adalah Lam Ta`lil (yang menunjukkan alasan pengharaman) yang mengecualikan larangan itu pada perkara yang melibatkan rawatan dan seumpama dengannya.”

Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah (hlm.73)

Kami telah bertanya sendiri isu dalam soalan di atas kepada Syeikh Abdul Karim Mustofa Abu Sulaiman al-Nadwi Hafizhahullah, salah seorang pakar rujukan fiqh dan hadis di Mesir, pada 19 Disember 2018, sewaktu kunjungan beliau di pejabat kami. Beliau menjawab bahawa tiada halangan untuk melakukan pembedahan rhinoplasty berkenaan kerana selain perubahan tersebut demi menghilangkan suatu keaiban, ia juga bukan perubahan yang begitu ketara sehingga mengubah ciptaan Allah. Itu bergantung kepada niat orang yang ingin melakukan pembedahan berkenaan. Beliau berdalilkan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

(Surah al-A`raf: 32)

Begitu juga hadis Asma’ binti Yazid RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ ذَبَّ عَنْ لَحْمِ أَخِيهِ بِالْغِيبَةِ كَانَ حَقًّا عَلَى اللهِ أَنْ يُعْتِقَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang menahan dirinya daripada memakan daging saudaranya dengan perbuatan mengumpat, maka menjadi “hak” ke atas Allah untuk membebaskannya daripada Neraka”

Riwayat Ahmad (no. 27609). Al-Haithami menghasankannya dalam Majma` al-Zawaid (8/95).

Menurut Syeikh, hadis ini adalah dalil bahawa pembedahan menghilangkan aib berkenaan adalah diharuskan bagi mengelakkan orang melakukan umpatan ke atas dirinya.

Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa pembedahan rhinoplasty untuk mengecilkan hidung yang terlalu besar dan kembang, sehingga mendatangkan mudarat berbentuk psikologi adalah diharuskan berdasarkan Hukum Syarak. Walau bagaimanapun, mudarat ini perlulah ditahqiqkan atau dipastikan oleh pakar perubatan dalam pembedahan plastik dan juga pakar kesihatan mental, sesuai dengan qias kepada ahli khibrah dalam isu rawatan menggunakan besi penyelar atau al-kayy di atas. Perubahan itu juga mestilah tidak begitu ketara sehingga melebihi kadar rupa paras yang standard (khilqah ma`hudah) dan tidak memiliki unsur penipuan. Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Wallahua’lam.

Nota hujung:

[1] Beliau meriwayatkan daripada Rasulullah ﷺ :

الشِّفَاءُ فِي ثَلاثَةٍ فِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ أَوْ كَيَّةٍ بِنَارٍ وَأَنَا أَنْهَى أُمَّتِي عَنْ الْكَيِّ

Maksudnya: “Kesembuhan itu pada tiga perkara; secawan bekam, seteguk madu, penyelar api, sedangkan aku melarang umatku (secara makruh; kurang afdhal jika terdapat hajat) daripada rawatan dengan besi penyelar.” Riwayat al-Bukhari (no. 5681).