Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1034: IMAM MEMBACA PERLAHAN DI DALAM SOLAT MAGHRIB

kafi-1034.png

 

 

 

Soalan:

Apakah hukum imam membaca perlahan di dalam solat Maghrib?

 

Jawapan:

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, solat berjemaah bagi orang lelaki adalah amat digalakkan dan ia termasuk di dalam perkara sunat mua’kkad menurut Imam al-Rafi’ie. Akan tetapi, pendapat yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa hukum solat berjemaah adalah fardhu kifayah. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abi Darda’ RA bahawa:

 

  • Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ ثَلَاثَةٍ فِي قَرْيَةٍ وَلَا بَدْوٍ لَا تُقَامُ فِيهِمُ الصَّلَاةُ إِلَّا قَدِ اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ، فَعَلَيْكَ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّمَا يَأْكُلُ الذِّئْبُ الْقَاصِيَةَ

Maksudnya: “Mana-mana (kumpulan yang jumlahnya) tiga orang, samada di sebuah kampung atau di pedalaman yang tidak mendirikan solat (berjemaah), nescaya mereka akan dikuasai oleh syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu memakan (ternakan) yang jauh (terpencil daripada kumpulannya).” [Riwayat Abu Daud (547)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah hasan]

 

Tambahan pula, di antara ciri-ciri orang yang beriman adalah orang suka memakmurkan masjid atau rumah-rumah Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran:

 

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

al-Taubah:18

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk..”

Berdasarkan soalan di atas, membaca surah al-Fatihah adalah rukun di dalam solat dan tidak sah solat jika tidak dibaca surah al-Fatihah melainkan bagi orang yang masbuq mengikut mazhab al-Syafie. Adapun membaca surah al-Fatihah secara kuat di dalam solat yang disunatkan membaca kuat seperti solat Maghrib, Isyak dan Subuh adalah termasuk di dalam sunat-sunat hai’ah (الهيئة) [Lihat: al-Muktamad, 310] dan jika seseorang itu sama ada makmum atau imam tidak membaca surah al-Fatihah (atau surah-surah selepas surah al-Fatihah) dengan kuat pada solat yang disunatkan membacanya dengan kuat maka ia adalah makruh kerana telah meninggalkan perkara-perkara yang sunat tetapi ia tidaklah menjadikan solat itu batal. Selain itu juga, perbuatan tersebut dikira telah menyelisihi sunnah Nabi SAW kerana Nabi SAW mengarahkan kita agar solat sepertimana Baginda SAW solat:

 

  • Sabda Nabi SAW:

وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Dan solatlah kamu sepertimana kamu melihat aku solat.” [Riwayat al-Bukhari (6008)]

 

Tambahan pula, Imam al-Syirazi di dalam al-Muhazzab menyatakan dengan jelas bahawa menguatkan bacaan pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh adalah termasuk di dalam perkara yang sunat sahaja bagi imam:

 

وَيُسْتَحَبُّ لِلإِمَامِ أَنْ يَجْهَرَ بِالقِرَاءَةِ فِيْ الصُّبْحِ وَالْأَوَّلَيَيْنِ مِنَ المَغْرِبِ وَالْأَوَّلَيَيْنِ مِنَ العِشَاءِ وَالدَّلِيْلُ عَلَيْهِ نَقْلُ الخَلَفِ عَنِ السَّلَفِ

Maksudnya: “Disunatkan bagi imam menguatkan bacaan pada solat Subuh, dua rakaat pertama solat Maghrib dan dua rakaat pertama solat Isyak. Dalilnya adalah nukilan ulama khalaf daripada ulama salaf.” [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 389/3]

 

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa solat di belakang imam yang membaca perlahan di dalam solat yang disunatkan membaca kuat seperti Maghrib, Isyak dan Subuh adalah sah dan tidak perlu diulang kembali solat tersebut kerana menguatkan bacaan pada solat-solat tersebut (solat Maghrib, Isyak dan Subuh) hukumnya adalah sunat sahaja sebagaimana yang telah kami sebutkan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang cintakan rumah-Nya serta menempatkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang melazimi solat berjemaah di masjid. Amin.

 

Wallahua’lam