Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1115: HUKUM BERCERITA TENTANG CERAI, APAKAH JATUH TALAK?

ak1115

Soalan:

Apakah hukumnya seseorang yang bercerita tentang cerai, apakah jatuh talaknya?

Jawapan :

Wa^alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.

Perselisihan di dalam rumah tangga merupakan perkara yang menjadi asam garam dalam kehidupan. Namun setiap permasalahan hendaklah diselesaikan dengan cara yang terbaik. Penceraian adalah perkara yang tidak digalakkan di dalam Islam.

Nabi ﷺ bersabda:

أبْغض الْحَلال إِلَى الله الطَّلاق

 

Mafhumnya: “Perkara yang paling dibenci Allah Taala adalah Talak” (HR Abu Dawud 2178 dan Ibnu Majjah 2018 )

Penceraian merupakan pilihan terakhir sekiranya usaha untuk membaik pulih hubungan suami isteri menemui jalan buntu. Itu pun sekiranya mempunyai sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak’.

Lafaz Talak

Lafaz talak (cerai atau lafaz yang pembubaran perkawinan) terbahagi kepada 2 :

Pertama          :           Lafaz sorih ( lafaz yang Jelas)

Kedua              :           Lafaz kinayah ( Lafaz sindiran)

Huraian

Lafaz sorih adalah lafaz yang jelas, terang, tiada keraguan bahawa lafaz tersebut menunjuk kepada terurai ikatan perkahwinan seseorang tanpa memerlukan niat.

Lafaz Kinayah adalah lafaz sindiran yang tidak jelas samaada lafaz tersebut diguna untuk talak (cerai atau lafaz yang membubarkan perkahwinan ) dan boleh digunakan untuk suatu yang lain. Lafaz Kinayah tidak berlaku talak kecuali dengan niat talak.

(Rujukan Kitab Al-Iqna’ Hasyiah al Bujairimi ala’ al-Khatib. Juzuk 3. Hlm.273)

Adapun permasalahan bercerita tentang talak, maka ia tidak jatuh talak. Syeikh Zakariya Al-Ansori Rahimahullahu Taala menyatakan ada tiga golongan yang tidak jatuh talaknya iaitu:

  • Bercerita tentang talak orang lain
  • Penjelasan talak oleh seorang ahli fikh
  • Panggilan kepada isteri yang bernama ‘Taliq’

Syeikh Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala menyatakan:

قوله: وقصد. أي قصد لفظه لمعناه أي قصد لفظه ومعناه؛ إذ المعتبر قصدهما ليخرج حكاية طلاق الغير، وتصوير الفقيه، والنداء بطالق لمن اسمها طالق

Maksudnya: ... yang dianggap (dalam talak) adalah kesengajaan dalam kata dan makna. Tidak termasuk dari talak adalah bercerita tentang talak orang lain, dan penjelasan talak seorang ahli fiqih, dan panggilan dengan kata "Taliq" (orang yang dicerai) bagi wanita yang bernama Taliq.

(Rujukan kitab Al-Ghurar Al-Bahiyyah fi Al-Bahjah Al-Wardiyyah hlm. 4/246)

 

Kesimpulannya tidak jatuh talak kepada isterinya jika sesorang itu menceritakan berkaitan talak orang lain seperti mana yang dinyatakan di dalam pandangan di atas.

Dinasihatkan bagi memperjelaskan lagi isu ini, puan boleh ke Pejabat Agama (Bahagian Nikah Kahwin Cerai dan Rujuk) yang berdekatan tempat tinggal tuan untuk sesi penjelasan. Jika masih ada keraguan, langkah selanjutnya boleh dirujuk kes ini di Mahkamah Syariah.

Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman dan penghayatan bersama.