Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1126: HUKUM MENYEBUT ‘SAYA LUPA AL-QURAN’

SEBUT LUPA AL-QURAN.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato Seri Mufti. Ada orang kata, tidak boleh menyebut saya lupa al-Quran, tetapi dilupakan. Benarkah begitu?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Imam Nawawi Rahimahullah berkata: Makruh seseorang mengatakan, “Aku lupa ayat ini.” Bahkan hendaklah dia katakan, “Aku dilupakan terhadapnya.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran (terjemahan), hlm. 134)

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَقُلْ أَحَدُكُمْ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ هُوَ نُسِّىَ

Maksudnya: Janganlah seseorang daripada kamu berkata: “Aku lupa ayat begini dan begini.” Tetapi ia adalah sesuatu yang dilupakan.

Riwayat al-Bukhari (5032) dan Muslim (792)

Berdasarkan nas di atas, larangan daripada menyebut aku lupa ayat sekian-sekian. Dalam satu riwayat yang lain menyebut:

بِئْسَمَا لأَحَدِهِمْ أَنْ يَقُولَ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ ، بَلْ هُوَ نُسِّيَ

Maksudnya: Sungguh buruk seseorang daripada kamu yang mengatakan ‘Aku lupa ayat begini dan begini’, bahkan ia adalah sesuatu yang dilupakan.

Riwayat Muslim (791)

Al-Baghawi dalam kitabnya, Syarh al-Sunnah (4/495) berkata: Lupa iaitu hukuman dengan sebab dosa atau kurangnya penjagaan tentang al-Quran. Abu Ubaidah pula berkata: “Sesungguhnya, orang yang meninggalkan bacaan al-Quran dan menjauhkan daripadanya, itulah yang diisyaratkan dalam hadis supaya sentiasa ingat dan zikir dengan al-Quran.” Al-Dahhak pula berkata: “Tiada seorang yang belaajar al-Quran kemudian dia lupa, kecuali dengan sebab dosa yang dia lakukan.”

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ

Maksudnya: Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa);

Surah al-Syura (30)

Antara sebab untuk mengingat al-Quran dan tidak melupakannya iaitu selalu mengulanginya saban hari. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh.

Imam al-Nawawi berkata: Hendaklah seseorang memelihara bacaan al-Quran dan memperbanyakkan bacaan. Ulama salafus soleh mempunyai kebiasaan yang berlainan tentang tempoh dan jangka masa dalam mengkhatamkan al-Quran.

Kita juga pernah mendengar yang bahawa Imam al-Syafie khatam al-Quran sehari sekali serta dua kali sehari pada bulan Ramadhan. Hal ini disahkan oleh al-Rabi' bin Sulaiman, salah seorang murid kanannya dan telah diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim serta oleh al-Mizzi dalam Tahzib al-Kamal (1/335), Imam al-Zahabi dalam Siyar A'lam al-Nubala' (10/36), Imam al-Nawawi dalam al-Majmu' (1/12) daripada al-Humaidi dan Ibn Asakir dalam Tarikh Madinah Dimasyq (51/393).

Marilah sama-sama kita memohon kepada Allah supaya kita sentiasa ingat Al-Quran al-Karim dan dijauhkan daripada sifat pelupa. Amin.

الّلَهُمَ ذَكِّرْنَا مِنْهُ مَا نُسِّيْنَا، وَعَلِّمْنَا مِنْهُ مَا جَهِلْنَا، وَارْزُقْنَا تِلَاوَتَهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَأطْرَافَ الْنَهَار، واجْعَلهُ لَنَا حُجَّة يَا ربَّ الْعَالَمِيْن