Soalan
Bersentuhan dengan bukan mahram:
Sekiranya berlainan jantina menghulur tangan untuk bersalam. Adakah perlu menyambut tangan untuk bersalaman kerana mahu menjaga hati?
Jawapan
Waalaikumussalam. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Tidak dinafikan bersalaman di atas tujuan bersilaturrahim kerana Allah SWT merupakan satu kemuliaan dan dijanjikan pengampunan dosa oleh Baginda SAW. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Bara’ bin Azib sabda Nabi SAW:
مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا
Maksudnya: Tidaklah dua orang muslim itu bertemu lalu mereka bersalaman melainkan diampunkan dosa keduanya sebelem mereka berpisah
Riwayat Abu Daud (5212)
Bersalaman Berlainan Jantina Ajnabi
Berkenaan dengan bersalaman berlainan jantina hadis daripada Muhammad bin Munkadir RA berkata, aku mendengar daripada Umaimah binti Ruqaiqah menceritakan:
جِئْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فِي نِسْوَةٍ نُبَايِعُهُ فَقَالَ لَنَا "فِيمَا اسْتَطَعْتُنَّ وَأَطَقْتُنَّ إِنِّي لاَ أُصَافِحُ النِّسَاءَ"
Maksudnya: Ketika aku datang bersama perempuan untuk membai’h kepada Nabi SAW, lalu Baginda SAW bersabda “Aku baia’h (perjanjian) kepada apa yang kalian mampu dan berupaya akan tetapi aku tidak berjabat tangan dengan wanita”
Riwayat Ibnu Majah (2984)
Begitu juga hadis daripada Saidatina A’ishah R.Anha berkata:
وَاللَّهِ مَا مَسَّتْ يَدُهُ يَدَ امْرَأَةٍ قَطُّ فِي الْمُبَايَعَةِ، مَا يُبَايِعُهُنَّ إِلاَّ بِقَوْلِهِ
Maksudnya: Demi Allah, Tangan Rasullullah SAW tidak pernah disentuh oleh wanita (bukan mahram) sekali pun dalam baia’h (perjanjian, Mereka hanya membaia’h dengan ucapan sahaja
Riwayat Imam Bukhari (4891)
Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam syarahnya melarang bersalaman di antara lelaki dan perempuan:
فَلَا يُصَافِحُ الرَّجُلُ الْمَرْأَةَ وَلَا عَكْسُهُ
Maksudnya: Dilarang bersalaman lelaki dan perempuan dan begitu juga sebaliknya (Rujuk: Tuhfatul al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/56)
Di dalam hal ini Imam Bujairimi di dalam Hasyiahnya menyatakan:
“Dan disunatkan bersalaman iaitu sesama jantina, adapun sekiranya berbeza (jantina) pada yang mempunyai hubungan mahram, suami isteri, kanak-kanak yang tidak mempunyai daya tarikan (bersyahwat) atau orang tua dengan menggunakan pelapik maka dibolehkan tanpa bersyahwat dan mengundang fitnah” (Rujuk: Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib, 3/385)
Pandangan Syeikh Yusuf al-Qardawi di dalam fatwanya menyatakan:
جواز مصافحة الرجل للمرأة بشرطين هما أن تكون هناك ضرورة، وحال أمنت الفتنة
Maksudnya: Diharuskan bersalaman di antara lelaki dan perempuan sekiranya dalam keadaan darurat dan aman daripada fitnah[1]
Syeikh Ali Juma’h menyatakan: “Hukum bersalaman di antara lelaki dan perempuan ajnabi ulama berbeza pendapat berkenaan dengannya. Jumhur ulama mengharamkannya melainkan mazhab Hambali dan Hanafi membenarkan bersalaman dengan orang tua yang tidak mendatangkan syahwat dan tidak mendatangkan fitnah” (Rujuk: Dar al-Ifta al-Misriyah, fatwa no. 2287)
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan di atas ulama’ berbeza pendapat berkenaan hal bersalaman dengan berlainan jantina ajnabi. Dan jumhur ulama’ termasuk mazhab Syafie’ mengharamkan bersalaman di antara lelaki dengan wanita yang bukan mahramnya. Walaupun terdapat pandangan yang membolehkannya dengan bersyarat. Sebaiknya keluar daripada perkara khilaf merupakan perkara yang dituntut. Ini seperti yang dinyatakan Syeikh Ali juma’h:
لمن ابتلي بشيء من هذا أن يقلد مَنْ أجاز ذلك مِن العلماء، والخروج من الخلاف مستحب
Maksudnya: bagi sesiapa yang diuji dengan sesuatu perkara, maka berpeganglah dengan pandangan yang diharuskan ulama, dan keluar daripada khilaf itu merupakan perkara yang dituntut. (Rujuk: Dar al-Ifta al-Misriyah, fatwa no. 2287)
Kami lebih cenderung kepada meraikan mazhab dan keadaan setempat. Sebagai contoh di Malaysia kebanyakannya bermazhab syafie’. Akan tetapi sekiranya dalam keadaan dan situasi tertentu dibenarkan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
Wallahualam.