Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1176: MENDAPAT GILIRAN HAJI, TETAPI SAKIT KANSER

GILIRAN HAJI KANSER.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah yang perlu dilakukan bagi pesakit kanser yang telah mendapat giliran bagi mengerjakan haji. Adakah dia perlu tangguhkan dahulu sehingga sudah sembuh atau meneruskan rukun Islam tersebut. Seperti yang diketahui, imun sistem pesakit kanser sangat lemah dan boleh mengakibatkan kematian sekiranya terdedah di tempat awam semasa mengerjakan haji. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser atau barah adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidak seimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Biasanya, sel ini akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun ada kalanya sel ini bertambah secara tidak normal menyebabkan berlakunya ketumbuhan tidak normal atau juga dikenali sebagai tumor.

Tumor boleh dikategorikan sebagai bukan barah (benign) ataupun barah (malignant). Tumor bukan barah tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain. Barah pula terdiri daripada sel-sel barah yang sekiranya tidak dirawat boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain. Sel barah boleh merebak ke organ yang lain menyebabkan komplikasi sistemik. Komplikasi dan kehilangan fungsi multi organ akan menyebabkan kematian.

Apabila sel ini sampai ke bahagian tubuh badan yang lain, ketumbuhan baru boleh terjadi di organ tersebut. Keadaan barah merebak ini adalah dikenali sebagai barah sekunder atau metastasis. Perkataan barah juga boleh digunakan dalam keadaan pertambahan sel yang tidak normal tetapi tidak diikuti dengan ketumbuhan atau tumor. Ini adalah seperti yang berlaku dalam penyakit yang melibatkan sel penghasilan darah iaitu penyakit leukimia. (Lihat Apa Itu Kanser di portal Kementerian Kesihatan Malaysia, http://www.myhealth.gov.my/apa-itu-kanser/ )

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan nas Ilahi di mana Allah SWT berfirman:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini, menaqalkan kata-kata Imam al-Syafie berkenaan istito’ah: “Kemampuan mempunyai dua jenis:

Pertama: Seseorang itu mampu dari segi kesihatan di samping mempunyai perbelanjaan untuk menunaikan haji.

Kedua: Seseorang itu tidak mampu dari segi kesihatan akan tetapi dia mampu untuk mengupah orang lain untuk menunaikan haji bagi pihak dirinya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 4/95)

Perkataan istito’ah pada bahasa bermaksud: “Kemampuan untuk melakukan sesuatu perkara” (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 62)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji disebut: Kemampuan mempunyai dua jenis, iaitu kemampuan secara langsung dan secara tidak langsung:

Pertama: Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadah haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan kerja-kerja ibadah tersebut tanpa mengalami kemudaratan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.

Kedua: Kemampuan secara tidak langsung bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Hal ini adalah kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/155)

Dr. Usamah bin Ibrahim Filali dalam kertas kerjanya bertajuk “Istito’ah fi al-Haj wa al-Mutaghayyirat al-Mu’asirah” berkata: Jika (seseorang mukallaf) lemah dengan sebab tua, atau sakit yang tiada peluang untuk sembuh, hendaklah dia mewakilkan kepada orang lain untuk melakukan haji untuknya.

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-25, di dalam resolusinya menyebut: “Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti sakit buah pingggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadat haji. Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan; dan sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadat haji jika berkemampuan.”

Manakala Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21 menyebut: Kewajipan menunaikan ibadat haji tidak akan gugur bagi golongan berikut: (a) Terlalu tua; (b) Penyakit yang tidak ada harapan sembuh; (c) Penyakit yang teruk. Oleh itu wajib ke atas mereka menggantikan dengan badal haji jika mereka mampu membiayai kos mengerjakan haji semasa hayatnya.”

 

Kesimpulan

Dalam kes seperti di atas, kanser tersebut perlulah dilihat, sudah sampai ke tahap berapa. Sekiranya telah mencapai tahap yang parah dan menyusahkan serta menyukarkan, maka kebiasaannya doktor akan memberi rekomendasi supaya tidak pergi. Disebabkan itulah, pesakit yang seperti ini perlu dilihat secara case by case tahap keadaannya.

Kami lebih cenderung kepada seseorang pesakit seperti ini berbincang dengan pakar perubatan terlebih dahulu bagi menentukan status kebolehan untuk melaksanakan ibadat haji dan ia termasuk dalam maksud istito’ah. Justeru, itu menjadi neraca tentang boleh atau tidak seseorang itu menunaikan ibadat haji.

Niat yang baik untuk melaksanakan ibadat haji adalah amat baik dan diharap diberi pahala. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

نِيَّةُ الْمُؤْمِنِ خَيْرٌ مِنْ عَمَلِهِ

Maksudnya: “Niat seorang mukmin lebih baik berbanding amalannya.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (5942)

Maksud niat lebih baik berbanding amalan adalah kerana niat tidak akan dimasuki kerosakan, manakala amalan pula boleh dimasuki oleh kerosakan. Adapun yang dimaksudkan dengan kerosakan itu adalah seperti riya’. Perkara ini boleh dilihat daripada kata-kata Abu Sahl dan dikatakan juga bahawa niat tanpa amal boleh menjadi ketaatan. Ini berdasarkan sebuah hadith, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا، كُتِبَتْ لَهُ حَسَنَةً

Maksudnya: “Barangsiapa yang berazam untuk lakukan kebaikan tetapi dia tidak sempat melakukannya. Maka akan ditulis baginya satu kebaikan.”

Riwayat Muslim (206)

Untuk itu, mereka mengatakan bahawa amalan yang dilakukan tanpa niat tidaklah menjadi satu ketaatan. (Lihat Syu’ab al-Iman, 176/9)

Semoga Allah memberi kesembuhan kepada orang yang sakit dari kalangan kita. Saya akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”