Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1259: BERBUKA PUASA DENGAN MEROKOK

 

AK1259.JPG

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Apakah sah berbuka puasa dengan cara merokok? Mohon penjelasan? Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Hukum merokok adalah haram. Kami telah hurai dan perbahaskan berkaitan isu merokok ini dalam artikel-artikel berikut:

  • Bayan Linnas Siri ke-18: Merokok: Hukum dan Penyelesaiannya

Sila lihat di pautan berikut: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2634-bayan-linnas-siri-ke-18-merokok-hukum-dan-penyelesaiannya

  • Irsyad al-Fatwa ke-63: Hukum Penggunaan Rokok Elektronik/Vapor

Sila lihat di pautan berikut: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1905-irsyad-fatwa-ke-63-hukum-penggunaan-rokok-elektronik-vapor

Justeru, hukum menghisap rokok adalah haram dimana sahaja kita berada dan pada bulan apa sahaja lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Dalam sebuah hadis daripada Anas Bin Malik R.A berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ 

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW berbuka puasa sebelum bersolat (Maghrib) dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka baginda minum beberapa teguk air.

Riwayat al-Tarmizi (696) dan Abu Daud (2356)
Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan gharib.

Imam al-Saharanfuri menyebut Nabi SAW akan berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum menunaikan solat Maghrib. Dikatakan juga, Nabi SAW akan berbuka puasa dengan buah tamar pada musim syita’ (musim sujuk) dan berbuka dengan air pada musim soifi (musim panas). Baginda SAW juga menyukai berbuka dengan tiga biji tamar atau sesuatu yang tidak dimasak. (Lihat Bazl al-Majhud, 11/91-92)

Imam al-Mubarakfuri menyatakan bahawa hadis ini adalah dalil kepada sunatnya berbuka puasa dengan rutab dan sekiranya tidak ada, maka berbuka dengan tamar dan sekiranya tidak ada tamar maka dengan air. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/311)

Menjawab kepada persoalan di atas, merokok termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bahkan, perbuatan merokok adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Justeru, amat penting bagi umat Islam untuk mengelakkan daripada perkara-perkara haram yang boleh mengurangkan atau membatalkan pahala puasa. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلاَّ السَّهَرُ

Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam.”

Riwayat Ibn Majah (1690)
Syeikh Syu’aib menilai hadis ini sebagai sahih dan sanadnya juga baik.

Demikian juga hadis riwayat Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”.

Riwayat al-Bukhari (1770)

Berdasarkan kepada hadis di atas, orang yang berpuasa yang tidak menjaga lisannya daripada berbohong, puasanya adalah puasa yang sia-sia apatah lagi bagi mereka yang berbuka puasa dengan dengan perkara yang haram, maka ganjaran pahala bagi puasanya adalah sia-sia.

KESIMPULAN

Tuntasnya, sunnah Nabi SAW untuk berbuka puasa dengan rutab atau tamar atau dengan air. Sekiranya, seseorang itu telah merokok pada waktu berbuka, maka dia telah dikira berbuka puasa. Namun begitu, perbuatan merokok tersebut adalah haram serta dilarang di dalam Islam. Justeru, amat penting bagi mereka yang berpuasa untuk memelihara diri daripada perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa mereka.

Semoga apa yang disampaikan ini memberi kefahaman serta membuka minda kita semua untuk beramal dengan berpandukan kepada Syariat Islam yang sebenar. Amin. Wallahu’alam.