Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh jelaskan tentang maksud dan hakikat selawat dan salam kepada Baginda Nabi SAW?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
Surah al-Ahzab (56)
Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511)
Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa (hlm. 138-139) menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.
Al-Mubarrid berkata: Makna asal selawat adalah limpahan rasa kasih sayang. Namun jika selawat itu berasal daripada Allah SWT, maka maknanya adalah rahmat. Manakala jika berasal dari para malaikat, ia bermaksud kasih sayang dan doa permohonan rahmat kepada Allah SWT.
Disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW, bentuk bacaan selawat para malaikat untuk orang-orang yang duduk menantikan solat adalah “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ” (Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, berikanlah rahmat kepadanya). Tentu sahaja bentuk selawat seperti ini pada hakikatnya adalah bacaan doa.
Abu Bakar al-Qusyairi berkata: Selawat daripada Allah yang diberikan kepada selain Nabi adalah bermaksud rahmat. Manakala selawat Allah kepada Nabi adalah satu bentuk pemuliaan dan tambahan pangkat kepada Baginda.
Abu al-‘Aliyah berkata: Selawat Allah kepada Nabi adalah dalam bentuk pujian kepada Baginda di hadapan para malaikat. Manakala selawat para malaikat kepada Baginda merupakan dalam bentuk doa.
Al-Qadhi Abu al-Fadhl berkata: Dalam hadis yang menyebut berkenaan berkenaan cara membaca selawat, Rasulullah SAW telah membezakan antara lafaz selawat dan lafaz barakah. Kedua-duanya mempunyai makna masing-masing.
Adapun mengenai bacaan Salam yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, maka menurut al-Qadhi Abu Bakar bin Bukair, ia telah dijelaskan dalam ayat yang telah disebutkan di atas. Dalam ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan para Sahabat untuk membaca salam kepada Rasulullah SAW. Hal ini juga berlaku bagi orang-orang yang hidup setelah mereka. Dengan kata lain, orang-orang yang hidup setelah generasi Sahabat juga diperintahkan untuk membaca salam ketika mereka menziarahi maqam Rasulullah SAW atau ketika mengingati Baginda.
Mengenai makna lafaz salam kepada Rasulullah SAW, terdapat tiga bentuk:
- “السَّلَامَةُ لَكَ ، وَمَعَكَ” yang bermaksud, semoga keselamatan menjadi milikmu dan selalu bersamamu. Perkataan al-salam dalam susunan kalimat seperti ini, dalam tatabahasa Arab berbentuk masdar.
- “السَّلَامُ عَلَى حِفْظِكَ ، وَرِعَايَتِكَ” yang bermaksud, semoga Zat Yang Maha Pemberi Keselamatan memberikan penjagaan dan jaminan untukmu. Dengan kata lain, kata al-salam dalam kalimat itu bererti salah satu daripada nama Allah.
- Al-Salam yang maknanya pasrah dan tunduk. Hal ini sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 65: “فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا” (Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.) (Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, 138-139)
Wallahua'lam.