Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1280: WANG PAMPASAN ATAU HIBAH BAGI KEMATIAN BUKAN HARTA PUSAKA

wang pampasan atau hibah.JPG

Soalan:

Assalamualaikum wbt, Saya staf daripada Syarikat A yang menguruskan bahagian sumber manusia. Salah seorang daripada staf kami meninggal tempoh hari akibat kemalangan. Syarikat kami ada mengambil perkhidmatan takaful daripada pihak ketiga untuk membayar pampasan akibat kematian bagi setiap kami. Justeru kami ingin membayar pampasan tersebut kepada staf tersebut. Namun, staf tersebut tidak meletakkan penama dalam kontrak, melainkan menyebut ayahnya sebagai jika terjadi apa-apa. Apabila kami merujuk ayahnya, beliau tidak mahu menerima sebaliknya ingin menyerahkan keseluruhan wang pampasan tersebut kepada ibu staf kami itu. Adakah pembahagian sebegini dibenarkan dalam Hukum Syarak? Adakah ia melanggar hukum faraid atau bagaimana? Mohon penjelasan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, Ahli Keluarga, Para Sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Pembalasan.

Para ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/344-347). Dalam al-Fiqh al-Manhaji (5/71) pula, harta pusaka ialah setiap yang ditinggalkan oleh si mati selepas kematiannya, daripada kategori harta mudah alih seperti emas, perak, semua bentuk wang, dan pekakas-pekakas, ataupun daripada kategori harta yang tidak boleh dialih seperti tanah-tanah, bangunan-bangunan dan selainnya.

Manakala takaful ditakrifkan sebagai permuafakatan sekumpulan individu untuk saling menjamin dan membantu antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan tertentu yang dipersetujui dalam kalangan mereka seperti memberi pampasan bagi sesuatu musibah yang menimpa serta keperluan kewangan yang lain. Majlis Penasihat Syariah pada mesyuarat ke-24 bertarikh 24 April 2002 telah memutuskan bahawa model perniagaan takaful yang berasaskan tabarru` dan wakalah adalah dibenarkan. Kontrak wakalah berlaku antara peserta dengan syarikat takaful, manakala kontrak tabarru` berlaku sesame peserta sahaja. Rujuk Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam Edisi Kedua (hlm. 63) oleh Bank Negara.

Dalilnya adalah firman Allah Taala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

Surah al-Ma’idah: 2

Mengambil kira pampasan yang dibayar itu adalah berdasarkan konsep hibah, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara juga telah memutuskan bahawa pembayaran manfaat takaful tidak akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka dan tidak tertakluk kepada hutang peserta takaful yang meninggal dunia. Rujud Ibid. (hlm. 88).

Tambahan lagi, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam Muzakarah kali ke-49 pada 19 Sempter 2000 telah membincangkan dan memutuskan isu Wang Pampasan Kematian Pekerja Yang Dianugerahkan Oleh Kerajaan Atau Syarikat Swasta bahawa wang pampasan yang diperolehi dari kematian
pekerja, wang pampasan melalui tuntutan mahkamah, wang SOCSO dan
seumpamanya tidak dianggap harta pusaka. Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia 2016 (hlm. 62)

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa wang pampasan yang hendak diberikan oleh pihak syarikat kepada pekerja syarikatnya yang meninggal dunia bukanlah pusaka yang diwajibkan pembahagian secara faraid. Ini kerana wang pampasan berkenaan tidak termasuk dalam kategori harta pusaka yang ditinngalkan oleh si mati. Pihak syarikat berhak untuk memberikan wang pampasan tersebut mengikut cara dan kepada siapa yang difikirkan layak. Sekiranya terdapat perjanjian antara pekerja dan pihak syarikat berhubung penama atau waris yang akan menerima pampasan tersebut, maka hendaklah dihormati perjanjian tersebut dan diberikan kepada penama. Sekiranya penama atau waris itu enggan menerima dan mencadangkan nama orang lain, pihak syarikat sewajarnya mengambil kira dan menghormati cadangan tersebut dengan memberikan wang tersebut kepada nama yang dicadangkan.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kita berdoa kepada Allah ﷻ agar pekerja yang meninggal dunia itu dicucuri rahmat dan diberikan maghfirah dari sisi-Nya. Amin.